Artikel Popular

Wednesday, December 14, 2011

Gingrich "Taubat Main Perempuan"

RABU,  14  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Newt Gingrich, pencabar utama daripada Republikan untuk calon Pilihan Raya Presiden 2012 semakin mendapat perhatian dan mencetuskan kontroversi. Beliau mengejutkan negaranya dengan cadangan  penggunaan semula buruh kanak-kanak.   Dua hari lalu, The Daily Caller melaporkan bahawa beliau berkata, "Saya mempercayai orang Yahudi mempunyai hak untuk memiliki negara."  Tambah beliau, "Saya percaya komitmen yang dilakukan pada masa itu, ingat bahawa  tidak wujud negara Palestin.  Negara itu sebahagian Empayar Ottoman. Dan saya fikir kita mereka-reka orang Palestin, yang hakikatnya orang Arab, dan dari segi sejarah, sebahagian kaum Arab."

Berikutan komen beliau bahawa umat Palestin adalah direka-reka, atau dengan kata lain, tidak wujud sama sekali, Liga Arab, seperti yang dilaporkan The Huffington Post, menuduh Gingrich rasis dan mencari publisiti murahan untuk mendapatkan undi.  Walau bagaimanapun, menteri Kabinet Israel, Izi Landau berkata Gingrich adalah "betul."  Gingrich juga menyebut orang Palestin "pengganas."  Dalam akhbar yang sama, walau bagaimanapun,  Sam Stein mendedahkan bahawa Gingrich pernah "mendakap mesra,  bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat."

Pencabar terdekat Newt Gingrich untuk mewakili Republikan dalam Pilihan Raya Presiden tahun depan, iaitu Mitt Romney, menurut The Washington Post,  menuduh beliau, "pemimpin konservatif yang sangat tidak boleh dipercayai."  Dalam akhbar yang sama, Michael Gerson menulis masalah Gingrich berhubung dengan kritikan beliau terhadap undang-undang syariah.  

Walau bagaimanapun, beliau menyokong undang-undang yang mengharamkan perkahwinan sejenis.   Perubahan pendirian Gingrich ini adalah kerana beliau kini calon yang disebut-sebut akan menang dalam pemilihan Parti Republikan.  Beliau juga, seperti yang ditulis oleh Will Oremus dalam The Slate, seakan-akan "bertaubat tentang skandal seks yang beliau pernah lakukan" telah menjadi pengetahuan umum, dan  pernah didedahkan oleh The Huffington Post.

Oleh sebab Newt Gingrich telah "bertaubat," maka para pengundi patut memaafkan kesalahan beliau itu, sedangkan Tuhan mengampuni King David.  Demikian tulis Becky Garrison dalam The Guardian, memandangkan Gingrich kini mendahului pesaing lain dalam menentukan calon daripada Republikan untuk menghadapi Presiden Barack Obama. 

Semasa Newt Gingrich berkhidmat sebagai Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, berlaku penutupan kerajaan pada tahun 1994 - 1995 kerana  belanjawan tidak diluluskan. Ketika itu, selain menguasai Dewan Perwakilan, Republikan juga menguasai Senat.  Akibat penutupan itu, Gingrich dipersalahkan dan beliau terus terbenam, manakala Bill Clinton daripada Demokratik memenangi Pilihan Raya Presiden 1996 untuk penggal kedua. 

Kebangkitan beliau semula sekarang memeranjatkan  banyak pihak, termasuk bekas Presiden Bill Clinton sendiri turut memuji. Namun, The National Review mengingatkan "melepaskan  peluang keemasan jika Gingrich dicalonkan.  


Memandangkan peluangnya untuk mewakili Republikan terbentang luas, maka Newt Gingrich tidak teragak-agak lagi untuk"bertaubat" dan menentang perkahwinan sejenis - yang sebelum ini beliau keberatan untuk menyatakan pendiriannya.

Mungkin sudah puas "panjat" perempuan, kini Gingrich ingin memanjat Rumah Putih.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...