Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Berpuluh-puluh ribu orang, termasuk penentang, pencipta lagu, paderi, dan pemimpin politik yang membantu merancang keruntuhan komunisme di bekas blok timur, meredah kesejukan, gerimis yang tidak henti-henti, untuk memperingati 20 tahun sejak runtuhnya Tembok Berlin dan berakhirnya Perang Dingin. Dengan diketuai oleh Canselor Jerman, Angela Merkel, para pemimpin dunia, iaitu Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, Presiden Rusia, Dmitri Medvedev, termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton, dan pemimpin Kesatuan Eropah, berkumpul di ibu negara Jerman. Turut hadir sempena “detik ‘epik’ dalam sejarah” – memetik kata Merkel – ialah Presiden Kesatuan Soviet yang terakhir, Mikhail Gorbachev dengan ditemani Lech Walesa, bekas pemimpin kesatuan sekerja Solidarity dan bekas Presiden Poland. Sebagaimana 20 tahun lalu, orang ramai yang berkumpul di Bornholmer Strasse, di timur laut Berlin itu, meneriak “Gorby! Gorby!” sebagai pengiktirafan terhadap peranan Gorbachev.
Demikian antara liputan media tentang finale untuk hari peringatan, ucapan, dan acara yang berlangsung pada 9 November lalu untuk meraikan keruntuhan Tembok Berlin. Sempena perayaan dan peringatan itu majalah dan akhbar antarabangsa turut menyiarkan beberapa makalah yang ditulis, baik dalam editornya sendiri dan kolumnis, mahupun oleh intelektual terkenal, seperti Niall Ferguson, Timothy Garton Ash, dan Slavoj Zizek. Malah, Gorbachev turut menulis dan diwawancara.
Semasa berucap di hadapan Brandenburg Gate di Berlin, Angela Merkel antaranya menyebut: “Sebagaimana kita berjaya melakukan di kota yang dipisahkan pada tahun 1989, sememangnya juga suatu kemungkinan untuk mengatasi sekatan pada masa kita sendiri.” Beliau memberitahu orang ramai yang bersorak kegembiraan yang berkumpul dalam hujan unuk memperingati ulang tahun runtuhnya tembok itu dengan mengatakannya sebagai “hari perayaan semua Eropah.” Sementara Brown dilaporkan berkata, “kerana keberanian anda, dua Berlin menjadi satu, dua Jerman menjadi satu, dan kini dua Eropah menjadi satu.”
Presiden Barack Obama dalam amanat yang ditayangkan melalui video dalam acara yang besar itu mengalungkan penghargaan kepada penentang dan perusuh yang membawa kejatuhan tembok 20 tahun lalu: “Kita tidak boleh lupa 9 November 1989, tidak juga melupakan pengorbanan yang merobohkan tembak itu” dengan mendapat tepukan dan sorakan.
Mungkin secara kebetulan, keriangan itu turut dirasai oleh pasaran saham New York apabila Purata Industri Dow Jones (Dow) meningkat 203.52 mata (2.03 mata) kepada 10,226.04 mata, tertinggi setakat ini untuk tahun 2009. Keriangan pasaran ini mula kelihatan sejak awal urus niaga apabila sebelum tengah hari, dengan Dow telah pun mencecah paras 10,145.62 mata.
Runtuhnya Tembok Berlin diberikan pelbagai tafsiran yang mencerminkan rasa sangat gembira dan harapan yang menggunung tentang masa depan manusia dan dunia: “Revolusi terakhir,” “kemenangan Eropah,” “kelahiran Eropah baru,” “kemenangan terhadap totalitarisme.” Apabila Tembok Berlin runtuh dan Perang Dingin berakhir, ada yang mengatakan bermakna berakhirnya hanya dunia yang kita pernah kenali. Dari sudut ekonomi, berlaku suatu peralihan daripada (Karl) Marx kepada pasaran. Dengan runtuhnya tembok itu, berakhirnya Perang Dingin yang menandakan kemenangan kapitalisme, sebagai membuka peluang baru dan meruntuhkan konstren atau kekangan lama.
Sementara Timothy Garton Ash menulis dalam The Guardian: “Detik kebebasan Berlin yang mengubah sejarah dunia.” Kata kunci untuk 9 November tetap kebebasan: kebebasan peribadi lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang terpenjara di sebalik tembok selama 28 tahun dan 91 hari. Walau bagaimanapun, Garton Ash nampaknya lupa suatu hakikat penting bahawa di samping kebebasan, di mana-mana jua manusia menuntut keadilan.
Sering diperdebatkan tentang faktor keruntuhan, siapakah yang bertanggungjawab, dan siapakah pemenang Perang Dingin. “Tiga kuasa,” tulis Garton Ash, “tanpanya peristiwa bersejarah ini tidak akan berlaku: lampu hijau dan contoh pembaharuan dari atas (Gorbachev), tekanan popular dari bawah (Walesa dan aktivis Jerman Timur), dan media Jerman Barat yang menyebarkan mesej bahawa tembok telah dibuka, malah sebelum benar-benar dibuka, dan oleh itu, membantu menjadikannya berlaku.
Dikatakan bahawa satu-satunya orang yang layak diberikan penghargaan kerana runtuhnya tembok yang pernah berdiri megah ketika pertarungan ideologi, ialah Mikhail Gorbachev, dan bukannya Presiden Reagan. Segala-galanya berlaku dengan amat pantas dan Amerika tidak mampu menarik gelombang itu, meskipun jika negara itu mahu melakukannya.
Seperti yang diketahui umum, para wartawan, ahli politik, dan sejarawan Amerika menggembar-gemburkan bahawa Amerika Syarikat memenangi Perang Dingin. Namun, Gorbachev dalam wawancara dengan The Nation, sama sekali menafikan hakikat kemenangan itu. Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa seandainya kepimpinan baru di Soviet dan dasar luar baru negara itu tidak wujud, Perang Dingin tidak akan berakhir. Bagi beliau, ini bukannya berpunca dari satu tindakan, tetapi merupakan proses. “Kita semua (Amerika dan Soviet) memenangi Perang Dingin kerana kita menghentikan perbelanjaan AS$10 trilion, pada setiap pihak.”
Menoleh kepada sejarah, pada 13 Ogos 1961, tentera Jerman Timur memasang dawai berduri yang menghalang sepanjang Berlin untuk menyekat perjalanan antara bahagian timur dengan barat kota itu. Kini, walaupun igauan ngeri telah pun berlalu, tetapi mimpi indah belum menjelma. Di Eropah sendiri, berakhirnya Perang Dingin dikhuatiri berlaku pembahagian semula benua itu daripada antara Eropah Barat dengan Eropah Timur kepada antara Eropah Tengah dengan Balkan.
Yang pasti, sejarah belum berakhir dan Perang Dingin baru sedang membara. Meskipun Kesatuan Soviet telah berkecai, hantu Perang Dingin masih merayau di seluruh dunia dengan memakai topeng baru. Krisis antara Rusia dengan Georgia pada tahun lalu dan tindakan Rusia menyekat bekalan gas ke beberapa buah negara Eropah dilihat sebagai antara bibit Perang Dingin baru.
Tatkala golongan realis berasa kesunyian akibat berakhirnya Perang Dingin, ada orang yang mula berfikir “kemungkinan Perang Dingin kedua akan menimpa kita – perjuangan yang berpanjangan antara kita dengan syaitan-syaitan jenayah, tekanan penduduk, kemerosotan alam sekitar, wabak penyakit, dan konflik budaya.”
Meskipun Gorbachev dinobatkan sebagai wira, dan tanpa beliau, Tembok Berlin mungkin kekal seadanya, namun dalam makalahnya yang diterbitkan dalam The Guardian jelas terbayang kehampaan beliau apabila melihat “menara impian yang dibinanya dengan segala kejerihan, kini retak di sana sini dan mulai condong.” Dalam “The Berlin Wall Had to Fall, But Today's World is No Fairer” beliau mencadangkan supaya peristiwa itu ditinjau semula dan melihatnya secara kurang emosi dan lebih rasional. Beliau menegaskan bahawa pemerhatian optimistik pertama yang perlu dilakukan bahawa pengumuman “berakhirnya sejarah” belum lagi berlaku, meskipun ramai yang mengatakan sudah berlaku.
Walaupun tabir besi, sekatan, dan sempadan telah lesap, memungkinkan jalinan hubungan antara negara, namun dengan nada agak emosi dan rasa hampa, Gorbachev mengatakan bagi berjuta-juta orang di seluruh dunia adalah jelas bahawa dunia ini bukannya tempat yang selamat: “Banyaknya persengketaan tempatan dan perang etnik dan agama yang tercetus seakan-akan sumpahan terhadap peta baru politik dunia, mengorbankan jumlah mangsa yang sangat besar.”
Tambah beliau lagi, bukti yang jelas kelakuan tidak rasional dan tidak bertanggungjawab dalam generasi baru ahli politik ialah bahawa perbelanjaan untuk pertahanan, baik negara besar mahpun negara kecil, kini lebih besar daripada ketika Perang Dingin. Sepanjang beberapa dekad lalu, dunia tidak menjadi tempat yang lebih baik, misalnya ketidaksamaan antara negara kaya dengan negara miskin masih kekal atau kian meningkat.
Dalam makalah “20 Years of Collapse” yang diterbitkan The New York Times, Slavoj Zizek menulis apabila kabus yang menakjubkan tentang revolusi baldu (velvet revolutions) dilenyapkan oleh realilti demokratik-kapitalis baru, orang ramai bertindak balas dengan kekecewaan yang tidak dapat dielakkan yang terjelma dengan sendiri, iaitu nostalgia untuk masa Komunis “lama yang bagus.” Penyokong puak Kanan yang sama yang pada dekad lalu meneriak, “Lebih baik mati daripada merah! adalah kini sering kedengaran, “Lebih baik merah daripada makan hamburger.” Namun, Zizek mengingatkan bahawa nostalgia Komunis sepatutnya tidak dianggap sebagai terlalu serius, jauh sekali untuk menyatakan hasrat untuk kembali kepada realiti Sosialis yang suram, sebaliknya lebih merupakan bentuk ratapan kesedihan.
Sementara wira anti-Komunis meneruskan protes untuk tinggal dalam mimpi mereka tentang masyarakat baru keadilan, kejujuran, dan perpaduan, bekas Komunis mampu menyesuaikan diri mereka yang tanpa belas kasihan dengan peraturan kapitalis baru dan dengan dunia kejam yang baru kecekapan pasaran, termasuk semua taktik kotor baru dan lama dan rasuah. Mereka lebih kapitalis berbanding dengan kapitalis liberal Barat itu sendiri.
Dalam makalah itu Zizek seolah-olahnya ingin mengatakan bahawa kapitalisme menang di medan politik, tetapi tewas di medan ekonomi: Kapitalisme menewaskan Komunisme, tetapi harga yang dibayar untuk kemenangan ini ialah bahawa Komunis kini menewaskan kapitalisme di buminya sendiri.
Melihat sambutan yang sungguh meriah dan liputan media pula macam bertali arus, timbul persoalan apakah istimewa dan signifikannya peristiwa yang berlaku dua dekad itu? Mungkinkah ini tidak lebih sebagai gembar-gembur tentang sebuah kemenangan yang kosong dan sebuah impian yang palsu? Mungkinkah ini hanya rasa sangat gembira yang akhirnya mengikis segala kerasionalan? Benarkah bahawa peristiwa bersejarah, revolusi baldu pada 1989 seakan-akan bukan sekadar peristiwa lalu, tetapi juga peristiwa masa kini dan mungkin masa depan?
Sebahagian persoalan di atas dijawab oleh Niall Ferguson yang menulis dalam Newsweek yang meninjau peristiwa yang berlaku satu dekad lebih awal. Beliau mencadangkan bahawa lupakan kejatuhan tabir besi kerana peristiwa yang berlaku pada tahun 1979 lebih penting: Soviet melaksanakan dasar yang memusnahkan diri sendiri dengan menceroboh Afghanistan; British mula memulihkan ekonomi pasaran bebas di Barat dengan pemilihan Margaret Thatcher; Deng Xiaoping meletakkan China pada laluan ekonomi baru dengan melawat Amerika Syarikat, dan melihat dengan matanya sendiri apakah pasaran bebas boleh capai; dan Iran menunjukkan era baru pertembungan peradaban dengan menggulingkan Syah dan mengisytiharkan Republik Islam.
“Tiga puluh tahun kemudian,” tulis Ferguson, “setiap satu empat peristiwa ini meninggalkan kesan yang sangat dalam terhadap Amerika dan dunia berbanding dengan peristiwa 1989.” Bagi profesor sejarah di Harvard University ini, 1989 kurang dianggap tahun titik perubahan berbanding dengan 1979. Selama 30 tahun kita masih dihanyukan oleh gelombang sejarah 1979. Tembok Berlin hanya satu daripada banyak peninggalan Perang Dingin yang ditenggelami oleh gelombang itu.
Setelah kabus berlalu, maka awan mendung kian jelas kelihatan bahawa hakikatnya, peristiwa bersejarah itu telah berubah menjadi mitos bersejarah. Hakikatnya, sebagaimana kemenangan dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua, kemenangan dalam Perang Dingin tidak menjamin kemakmuran, kesejahteraan, dan keamanan. Harapan kewujudan orde dunia baru, tetapi akibat perang terhadap keganasan, berubah menjadi kecauan dunia baru.
Memang aneh bahawa tatkala Mikhail Gorbachev mula berasa hiba dan kesal terhadap sebuah kemenangan yang dicapainya dahulu, ada warga dunia masih bersorak keriangan sehingga mengabaikan kejahatan dan kecelakaan yang mendepani mereka. Bagi Gorbachev sesungguhnya, kini beliau hidup seperti dalam kesunyian: mengkhianati Revolusi Rusia semata-mata demi memburu sebuah kemenangan baru yang tidak memberikan apa-apa erti sama sekali.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Disember 2009.)
No comments:
Post a Comment