Artikel Popular

Tuesday, December 20, 2011

"Kami Umat Palestin"

SELASA, 20 Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Newt Gingrich terus berusaha  mengukuhkan kedudukannya   sebagai calon  daripada Parti Republikan untuk Pilihan Raya Presiden tahun 2012.  Beliau menyerang pencabarnya dan bahkan,  berani melakukan sesuatu, meskipun dianggap menyalahi undang-undang Namun, sokongan terhadap beliau di Iowa dilaporkan merosot. Bahkan, Niall Ferguson mengingatkan bahawa jika Gingrich dipilih untuk menentang Presiden Barack Obama, beliau  akan kalah.

Beliau juga mencetuskan kontroversi dengan mengatakan bahawa orang Palestin hanya merupakan  "umat yang direka."  Fareed Zakaria melalui blognya mengkritik Gingrich bahawa sebagai sejarawan, beliau sepatutnya tahu bahawa Syria, Iraq,  Jordan, dan Israel, tidak ada sebuah pun negara ini yang wujud di bawah Empayar Ottoman.  Walau bagaimanapun, perkara yang sama, adalah benar untuk setiap negara di Afrika.  Oleh itu, soal Fareed, "mengapa sebenarnya, Gingrich memilih orang Palestin?"  

Tindakan Gingrich itu dilihat sebagai usaha beliau untuk meraih undi Yahudi sehingga sanggup meletakkan dirinya meletakkan dirinya begitu rendah.  "Hal ini menunjukkan bahawa Newt lebih menyayangi Israel berbanding dengan Mitt Romney, yang hanya memberitahu akhbar Israel Hayom    bahawa beliau akan memindahkan kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmuqqadis,"  tulis Thomas Friedman.  

Dalam "We Are Palestinians,"  Daoud Kuttab yang menulis dalam The New York Times, menyusurgalurkan leluhurnya untuk membuktikan kewujudan umat Palestin.   Dakwaan Gingrich bahawa orang Palestin "direka" adalah kerana tidak wujud negara Palestin, bahas Kuttab bahawa kini 107 buah negara mengiktiraf Palestin sebagai anggota penuh Unesco, pastinya tidak bersetuju dengan logik yang digunakan oleh Gingrich itu.  Beliau juga membangkitkan bahawa Gingrich pernah bersalaman dengan Yasser Arafat di South Lawn, Rumah Putih pada tahun 1993 bersempena majlis pertukaran surat pengiktirafan antara PLO dengan Israel.

Kuttab memetik buku  sejarawan Rashid Khalidi, Palestinian Identity:  The Construction of Modern National Consciousness yang berhujah bahawa konflik yang sengit antara umat Palestin dengan  Israel merupakan satu alasan mengapa identiti umat Palestin begitu sukar difahami. Namun, tegas Kuttab, akhirnya, percubaab Gingrich untuk menafikan bahawa umat Palestin mempunyai identiti atau jati diri tidak ada kena mengena dengan sejarh.  Hanya sekadar memuaskan kehendak politik. "Majoriti orang Israel dan umat Palestin faham bahawa mereka mesti berkongsi tanah di antara Mediterranean dengan Sungai Jordan."

Dengan mengatakan bahawa Palestin ialah umat yang direka,  Newt Gingrich mencetuskan isu baru.  Melampaui mana-mana jawatan rasmi yang dipegang oleh kerajaan Israel, Gingrich, bahas H.D.S.  Greenway, bermaksud bahawa umat Palestin tidak wajar memiliki negara mereka sendiri.  Bahkan, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, yang tidak henti-henti menghalang kewujudan negara Palestin, dari segi rekod, menyokong kewujudan negara Palestin.

Berdasarkan pemahaman Gingrich itu, hujah Greenway, orang Iraq, Jordan, dan Lubnan juga umat yang direka, mewujudkan bangsa mereka sendiri hanya selepas keruntuhan Empayar Ottoman, dan sebagai akibat pemerintahan kolonial Eropah. Mengakui bahawa Gingrich betul bahawa tidak wujud negara yang disebut Palestin, namun tegas Greenway, istilah "Palestin" pada masa Ottoman secara longgar termasuk yang dikenali sekarang Israel, Tebing Barat, dan Gaza, di samping sedikit Lubnan. 

"Mandat Palestin" Britain termasuk apa yang kini dikenali Jordan, juga hinggal British menentukan sempadan di Sungai Jordan dan menyebut wilayah mereka untuk Transjordan timuar, kini Jordan. Greenway menegaskan bahawa Perisytiharan Balfour dan  pemimpin Israel, seperti Golda Meir mengakui kewujudan umat Palestin. 

Menulis lebih jauh lagi, Greenway cuba menarik perhatian bahawa "saya selalu tertarik bagaimana nasionalisme Palestin berkembang sebagai imej kecil nasionalisme Israel." Tambah beliau, "umat Palestin telah menjadikan diri mereka sebagai orang bersejarah, dan saya percaya kebanyakan orang Israel hari ini menerima bahawa dan akan berasa gembira dengan penyelesaian dua negara jika keselamatan dijamin."

Untuk Gingrich, tulis Greenway, "mungkin layak sebagai manusia untuk masa lalu.  Akan tetapi, untuk masa hadapan? Atau bahkan masa kini?"

Hujah yang digunakan oleh Newt Gingrich dalam mengatakan umat Palestin direka ialah dari segi budaya dan bahasa yang menurut kefahaman beliau tidak wujud, sebaliknya yang wujud ialah budaya dan bahasa Arab.  Justeru, jangan pandang remeh terhadap jati diri kerana jati diri boleh digunakan untuk menentukan kewujudan sesuatu bangsa.


1 comment:

  1. Betul tak betul tak tahu lah. Tapi kat dalam Al-Quran pun takda lansung disebut bangsa Palestin ni..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...