Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Lebih 8000 orang dilaporkan oleh The Independent, penuh sesak di Moscow pusat semalam untuk membantah kemenangan parti Perdana Menteri, Vladimir Putin dalam pilihan raya parlimen yang berlangsung Ahad lalu, dalam salah satu perhimpunan terbesar antikerajaan di negara itu dalam sejarah terbaharu. Mereka berteriak, melaung, dan meniup wisel dalam protes terhadap Putin, yang akan bertanding untuk kembali semula ke Kremlin sebagai Presiden dalam pilihan raya Mac tahun depan.
Parti Putin, Rusia Bersatu memperoleh undi kira-kira 49.5 peratus, seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat, dengan hampir semua kertas undi dikira. Meskipun Parti Rusia Bersatu masih menguasai lebih separuh kerusi parlimen Rusia, peratusannya jatuh daripada 64 peratus pada tahun 2007, menandakan bahawa rakyat Rusia semakin keletihan dengan era Putin. Parti itu kehilangan 77 kerusi parlimen yang dimenangi sebelum ini. Pemerhati antarabangsa menyatakan bahawa daripada 150 pusat pengundian, 34 pusat pengundian adalah "sangat teruk."
Penunjuk perasaan itu, kebanyakannya orang muda, membanjiri taman di Moscow tengah itu untuk mendengar pemimpin pembangkang liberal mendesak penyingkiran Putin dalam perhimpunan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa. Akan tetapi, apabila cuba berarak ke Lubyanka, ibu pejabat Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan yang ditakuti, lapor The Guardian, mereka disambut dengan belasahan polis rusuhan, dan ada yang diheret ke dalam lori sedia menunggu.
Contoh pemalsuan dan pencabulan kertas undi yang tersebar luas melalui YouTube, Facebook, dan Twitter, membangkitkan kemarahan. Pemerhati antarabangsa juga mempersoalkan keputusan pilihan raya itu. Organisasi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE), berkata bahawa pilihan raya itu dicemari oleh "kerapnya pencabulan tatacara dan contoh manipulasi yang jelas, termasuk tanda serius menyumbat peti undi."
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, berkata bahawa Washington "memandang serius" tentang perjalanan pilihan raya. "Para pengundi Rusia wajar mendapat penyiasatan penuh tentang semua laporan yang boleh dipercayai berhubung dengan penipuan dan manipulasi pilihan raya, dan kami berharap terutamanya bahawa pihak berkuasa Rusia akan mengambil tindakan,"
Dalam protes anti-Putin itu, penunjuk perasaan menuntut pilihan raya yang jujur. Mereka mengutuk undi sebagai memalukan, dan meneriak, "Rusia tanpa Putin!" dan "Revolusi!" Namun, Presiden, Dmitry Medvedev menegaskan bahawa pilihan raya berjalan secara adil dan demokratik.
"Penunjuk perasaan ini," tulis Simon Shuster dalam Time, "ialah generasi Internet Rusia, yuppie, dan pelajar kolej yang kemarahan akhirnya melimpah dari ruang blog ke jalan-jalan di ibu negara itu. Hal ini tidak berlaku dalam sekelip mata. Riak kekecewaan sebelum pilihan raya menujukkan perubahan lautan politik sejak berbulan-bulan. Sekurang-kurangnya sejak Putin mengumumkan pada akhir September lalu bahawa beliau akan kembali untuk penggal ketiga sebagai Presiden tahun depan, popularitinya menjunam secara dramatik, membangkitkan gelombang parodi dalam talian terhadap beliau sebagai autokrat yang lanjut usia. Pada bulan November, kekecewaan itu menjelmakan penyataan massanya yang pertama, apabila Putin secara terbuka diejek oleh khalayak dalam ucapara seni mempertahankan diri."
Hal yang sama dibangkitkan oleh Julia Ioffe dalam The New Yorker, bahawa ketegangan berbulan-bulan beralih ke dalam pilihan raya. Parti Rusia Bersatu yang ditubuhkan pada tahun 2001 untuk menyokong Vladimir Putin, yang ketika itu Presiden dan kini Perdana Menteri, merosot secara berterusan hingga ke dalam peti undi; Putin yang meskipun popularitinya tinggi, beliau diejek secara terbuka. "Selepas beliau dan Dmitry Medvedev mengumumkan pada bulan September, bahawa mereka akan bertukar tempat, memberikan semula Presiden kepada Putin, orang ramai kelihatan dalam perasaan merengus, iaitu perasaan untuk protes dan melakukan apakah orang Rusia, terutamanya yang terpelajar dan kosmopolitan dalam kalangan mereka tidak pernah lakukan: undi. Sebagai respons, Kremlin kelihatan panik; dan bertindak keras, mengganggu pemerhati pilihan raya."
Para pengundi menyatakan ketidakpuasan mereka terhadap rejim Vladimir Putin, tulis editorial The Washington Post. "Putin tidak dalam kedudukan bahaya untuk detik ini: Parti Rusia Bersatu masih menguasai majoriti parlimen, dan beliau masih menjadi pilihan dalam pilihan raya Presiden yang dijadualkan Mac tahun depan. Akan tetapi, rakyat Rusia turut menyumbang kepada apa yang berlaku dalam limpahan global pada tahun 2011, iaitu ketidakpuasan popular terhadap pemerintah, terutamanya di negara autoriatarian."
Kebangkitan rakyat berlaku di merata-rata tempat, dari Dataran Tahrir ke Wall Street. Tatkala gerakan Menduduki Wall Street belum memperlihatkan tanda untuk berundur, kini bangkit pula Menduduki Kremlin. "Orang yang dilupakan" - memetik Immanuel Wallerstein, benar-benar nekad untuk mencorakkan peta dunia yang baru: "keadilan sosial global" - juga memetik Wallerstein.
No comments:
Post a Comment