Artikel Popular

Sunday, December 11, 2011

David Cameron Tersadung, Britain Terasing

ISNIN,  12  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Perdana Menteri British, David Cameron  memperlihatkan kelakiannya dengan mengotakan kata-katanya, iaitu memvetokan semakan  perjanjian Lisbon ketika sidang kemuncak Kesatuan Eropah berlangsung di Brussels pada Jumaat lalu.  Sebelum ini, Cameron bertelagah dengan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy berhubung dengan semakan perjanjian yang dicadangkan oleh Perancis dan Jerman. 

Justeru, perjanjian dicapai tanpa Britain. Dengan pendirian David Cameron itu, sedangkan kebanyakan negara, iaitu Jerman, Perancis, dan 21 buah negara lain bersetuju, Britain berdiri keseorangan.  Sementara tiga buah negara lain, iaitu  Sweden, Republik Czech, dan Hungary memerlukan masa untuk membuat keputusan.  Charlemagne yang menulis "perceraian besar Eropah" dalam The Economist, pada minggu-minggu mendatang,  Britain akan mendapati dirinya, bahkan lebih terasing.  Cameron juga dianggap membenamkan kedudukan Britain di Eropah ke dalam ketidakpastian yang cukup besar dalam satu generasi.  

Namun, seperti yang dibahaskan sejarawan Niall Ferguson, "Great Britain menyelamatkan dirinya dengan menolak Kesatuan Eropah" -  mengalu-alukan keputusan berani David Cameron.  "Mana-mana Perdana Menteri akan melakukan perkara yang sama, seperti yang dilakukan oleh  Cameron," tulis  John Rentoul.  "Lupakan sorokan pewaham euro.  Akhirnya, terbukti bijak untuk lari jauh daripada haba kerana euro mula gawat."  

Setiausaha Luar British, William Hague melalui makalahnya  dalam The Telegraph, mempertahankan keputusan Perdana Menterinya itu, menulis:  Memang menjadi tugas setiap Perdana Menteri meletakkan keutamaan kepentingan negara, bahkan jika bermakna mengorbankan alu-aluan segera di negara sendiri atau enggan memenangi hati rakan sejawatannya di negara-negara lain.  Tidak setiap Perdana Menteri berjaya melepasi ujian itu, tetapi pada dinihari Jumaat di Brussel, David Cameron sekali menunjukkan bahawa beliau melakukannya."  Tambah beliau lagi untuk menyedapkan hari negara zon euro: "Krisis zon euro mempunyai kesan yang menakutkan terhadap ekonomi kita, ekonomi jiran-jiran kita di Eropah, dan ekonomi dunia.  Sememangnya, kepentingan kita untuk melihat krisis itu diselesaikan seberapa segera yang boleh.  Kita menyokong negara zon euro dalam usaha mereka untuk menyelesaikan krisis."

Sementara John Lichfield yang menulis dalam The Independent menegaskan Cameron membuat keputusan yang sangat teruk,  sambil menanyakan dan berkias: masa depan Britain?  Pengasingan yang membanggakan seperti Kepulauan Cayman, tetapi tanpa cuaca. "Britain tidak meninggalkan Kesatuan Eropah, hanya belum lagi.  Akan tetapi, Kesatuan Eropah telah pun meninggalkan Britain."  Kini, Eropah tiga kelajuan, tulis  Andrew Rawnsley, "Dan, kita tertinggal di bahu jalan yang keras."  

David Cameron dalam usahanya untuk mengawal kerosakan menegaskan pada hari Jumaat itu bahawa pengaruh Britain di Eropah akan dikekalkan, meskipun beliau membuat keputusan dramatik  memveto perubahan perjanjian yang direka untuk menyelamatkan mata wang tunggal itu.  Britain tinggal keseorangan selepas semua 26 buah negara yang menghadiri sidang kemuncak itu menyatakan bahawa mereka kini akan menandatangani persetujuan berasingan untuk mengenakan disiplin fiskal baru terhadap zon euro.  Walau bagaimanapun, veto itu dialu-alukan pewaham euro Konservatif yang keriangan sebagai langkah pertama ke arah hubungan yang lebih longgar United Kingdom dengan Kesatuan Eropah, atau bahkan keluar daripada kesatuan yang kini dianggotai oleh 27 buah negara itu.



Veto yang dilakukan oleh Cameron itu, bahas editorial The Guardian merupakan tindakan politik dalam negara, bukannya tindakan kenegarawanan antarabangsa.  Namun, bahas editorial itu lagi, ini bukannya kesudahan kegagalan seorang ahli politik, tetapi kegagalan budaya dan sistem.  Kepentingan sebenar negara Britain menjadi banduan tiga kuasa yang tidak boleh diubah: kegagalan projek euro yang salah ditanggapi;  dominan sektor kewangan dalam kenegaraan British dan kemusnahan begitu banyak sektor pembuatan; dan eurofobia yang memusnahkan selama 35 tahun lalu. 

Meskipun mengakui bahawa David Cameron tidak teruk untuk Britain dan untuk Eropah, Timothy Garton Ash yang menulis dalam The Guardian, juga mengakui Kesatuan Eropah tidak sama lagi untuk selama-lamanya.  Britain terpaksa menjadi lebih Switzerland, tetapi kebanyakan Eropah pergi ke Jerman. Itulah hari bahawa Eropah bersatu, Itulah hari Eropah berpecah.  Untuk menyelamatkan euro, sehingga 26 buah negara anggota Kesatuan Eropah menyertai kompak fiskal. 

Kritikan yang pedas datangnya daripada editorial The Observer yang menganggap kegagalan politik dan peribadi David Cameron. Atau dalam kata-kata Will Hutton, "tindakan kebodohan yang amat sangat."  Ketua Parti Buruh, Ed Miliband yang menulis dalam The Guardian menegaskan "David Cameron mengecewakan Britain.  Perdana Menteri sepatutnya tidak menggunakan kuasa veto di Eropah.  Beliau semata-mata gagal melindungi perniagaan British dan pekerjaan British."  Dalam konteks dasar luar, seperti yang dibahaskan oleh Paddy Ashdown, "kita mencampakkan 38 tahun dasar ke dalam longkang.  David Cameron mengasingkan kita di Eropah dan mengecilkan  kita di mata Washington." 

Untuk mendalamkan luka David Cameron yang meskipun  mendapat sokongan daripada Parti Konservatifnya, ialah pendirian  Nick Clegg dan anggota kanan Parti  Demokrat Liberal - yang merupakan kerajaan pakatan, menuduh Perdana Menteri membahayakan kepentingan ekonomi British. Hanya dalam masa 24 jam selepas kelihatan menyokong Cameron, sumber yang rapat dengan Clegg menjelaskan bahawaTimbalan Perdana Menteri itu percaya bahawa Perdana Menteri melakukan kesalahan kegagalan rundingan yang serius yang membawa risiko memusnahkan kepentingan negara, pekerjaan British, dan pertumbuhan ekonomi.  Dengan keberangan Nick Clegg, timbul persoalan tentang masa depan kerajaan pakatan yang berusia 19 bulan itu.

"Selamat tinggal Britain," demikian ucapan  akhbar Eropah mempersenda David Cameron.  Spiegel Online International muncul dengan makalah menggasak Perdana Menteri British itu:  "Cameron pengecut.  Ahli politik Eropah kutuk veto British."  Untuk menunjukkan Britain keseorangan:  "Britain lawan 26 Kesatuan Eropah.  Lelaki yang berkata tidak untuk Eropah."  Untuk menunjukkan Britain tidak diperlukan lagi:  "Selamat tinggal Britain.  Wajah baru Kesatuan Eropah."  Secara sinis: "Britain dan Kesatuan Eropah.  Kegagalan kahwin paksa."

Sidang kemuncak itu, seperti yang digembar-gemburkan merupakan penentuan hidup mati Kesatuan Eropah, dan "berenang bersama-sama, lemas bersama-sama."  Malangnya, David Cameron mengambil keputusan untuk bersiap sedia meninggalkan "kapal yang sedang karam itu." 

Seandainya keputusan seperti itu dibuat oleh negara bukan Barat, terutamanya yang tidak sehaluan dengn Barat, nescaya negara berkenaan akan dikenali dengan pelbagai gelaran yang sememangnya, tidak  seronok didengar: antiglobalisasi, antipasaran, kembali ke zaman gelap.    Dengan memvetokan semakan perjanjian Lisbon itu, David Cameron meletakkan negaranya, Britain pada tahap yang paling rendah: hilang harga diri, hilang maruah, hilang kehormatan: negara paria!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...