Artikel Popular

Saturday, December 17, 2011

Lawan!

SABTU,  17  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


"The People Vs. Putin," demikian tajuan makalah Fareed Zakaria dalam Time.  "Kami wujud! Orang ramai di Moscow berteriak-teriakan.  Bahkan, penunjuk perasaan di Rusia mempunyai bakat sastera dan falsafah.  Mereka juga mempunyai keberanian. Sepanjang dekad lalu, musuh politik rejim Vladimir Putin diaibkan, dipenjarakan, diseksa, dan dibunuh.  Akan tetapi, lelaki dan wanita ini masih turun ke jalan-jalan, berarak dalam musim sejuk Rusia, meminta perkara yang sama seperti penunjuk perasaan minta, iaitu maruah, pemasukan, penyertaan, dan kebebasan.  

Untuk menjawab persoalan adakah mereka berjaya? Fareed merenung keadaan yang mencetuskan Pemberontakan Arab yang meskipun pelbagai, yang utama adalah rasa pengasingan dan keterpinggiran daripada struktur politik dan ekonomi negara itu.  Rasa tersebut, tegas beliau, adalah kuat di Rusia hari ini.  Sebagaimana Pemberontakan Arab, penunjuk perasaan di Moscow, termasuk banyak golongan muda yang canggih yang berhubung dengan dunia dengan semua teknologi maklumat baru. Jelas beliau lagi, Rusia juga mempunyai komponen penting lain yang merupakan bahagian Pemberontakan Arab, iaitu pertumbuhan ekonomi, yang melahirkan golongan kelas menengah yang bersama-sama mereka, meningkat harapan.  Bagi Fareed, Putin bertarung dengan masyarakat sivil yang sedang berkembang pesat di Rusia yang kini mempunyai 650,000 buah organisasi bukan kerajaan. 

Yang menarik daripada tulisan Fareed Zakaria itu ialah perkataan "lawan," iaitu "orang ramai lawan Putin."  Tidak dapat dipastikan, sama ada beliau sedar bahawa di mana-mana sahaja wujud perlawanan, antara manusia, antara negara, antara negara dengan agensi penarafan, dan  bukannya  setakat yang berlaku di Rusia apabila generasi muda turun di jalanan.      Yang paling popular kini, selain Pemberontakan Arab yang setakat ini berjaya menumbangkan tiga rejim, ialah Menduduki Wall Street yang menyaksikan pembikinan    golongan 99 peratus melawan golongan satu peratus yang diibaratkan gelombang besar.   Golongan ini melawan golongan satu peratus.

Jumaat minggu lalu menyaksikan Perdana Menteri British mengheret negaranya melawan 26 buah Kesatuan Eropah apabila beliau memvetokan semakan perjanjian Lisbon menyebabkan beliau keseorangan di sebuah pulau.  "England lawan Eropah," tulis Anne Applebaum dalam The Slate yang membangkitkan bahawa Cameron menggunakan ugutan terhadap negara lain di Eropah supaya memberikan perhatian istimewa  terhadap Kota London, iaitu sektor perkhidmatan kewangan Britain.   

Tidak memadai perlawanan di Brussels itu, kemudian tercetus perlawanan antara David Cameron dengan Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy mendakwa beliau berkelakuan seperti "budak degil" yang mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara.  Sebelum ini, Sarkozy memberikan kata dua kepada Cameron supaya diam berhubung dengan krisis zon euro. Tidak cukup dengan  Sarkozy, Menteri Kewangan Perancis, Francois "tumpang sekaki"   menyerang United Kingdom, dengan mengatakan "negaranya lebih besar daripada negara jirannya itu."  Bagi beliau, ekonomi Perancis lebih kuat daripada United Kingdom.

Di negara sendiri, berikutan tindakan vetonya itu, Cameron berlawan dengan Timbalan Perdana Menteri, Nick Clegg, atau dengan kata lain, tercetus "perang saudara"  antara kedua-dua pemimpin dalam kerajaan pakatan.   Clegg benar-benar naik berang terhadap apa yang beliau anggap "kegagalan luar biasa"  Cameron. 

Sebenarnya, Cameron berlawan dengan banyak pihak akibat tindakan vetonya itu, dan dengan itu, apabila Thomas Friedman menulis dalam The New York Times tentang keburukan atau kelemahan pemimpin, seperti Newt Gingrich, Mitt Romney, Benjamin Netanyahu, dan Vladimir Putin, beliau sepatutnya memasukkan juga Cameron yang membiarkan  rakan-rakannya dalam Kesatuan Eropah terus kesempitan. 


Tatkala Fareed Zakaria asyik meneropong negara asing, di negaranya sendiri, kini menyaksikan perlawanan yang sengit dalam kalangan Republikan untuk menentukan calon Pilihan Raya Presiden tahun 2012. Satu perlawanan yang lama di sebuah padang yang sesak.  Juga perlawanan yang sentiasa sengit dalam kalangan anggota Kongres dengan dwipartisan yang menebal, menyebabkan   kelumpuhan politik, dan yang terbaru nyaris-nyaris berlaku penutupan kerajaan.


Sebenarnya, Fareed sekadar berani mengisytiharkan "orang ramai lawan Putin," - tidak seperti Immanuel Wallerstein dalam komentar terbaharunya,  mengiystiharkan "Amerika Syarikat lawan setiap orang."   Pada suatu ketika, menurut pemerhatian beliau, Amerika Syarikat mempunyai banyak kawan, atau sekurang-kurangnya pengikuti yang patuh.  Hari ini, kelihatan tidak ada apa-apa, kecuali musuh, semuanya corak warna politik.


Wallerstein cuba menarik perhatian apa yang berlaku pada bulan November 2011 dan separuh pertama Disember.  Amerika Syarikat berkonfrontasi dengan China, Pakistan, Arab Saudi, Israel, Iran, Jerman, dan Amerika Latin.  Seseorang tidak boleh mengatakan bahawa Amerika memperoleh bahagian yang lebih baik daripada mana-mana kontroversi ini.  Beliau membangkitkan kehadiran dan pengumuman Presiden Barack Obama di Australia sebagai cabaran terbuka terhadap China.  Ringkas, Amerika Syarikat mempunyai musuh  di setiap benua, dan hal ini diulas oleh Wallerstein satu demi satu.  


Jika diteliti komentar Immanuel Wallerstein bahawa Amerika mempunyai musuh yang banyak tentunya lebih teruk daripada  Putin yang kini berhadapan dengan kebangkitan rakyat Rusia dan menyaksikan era apati.  Bahkan, David Remnick yang menulis The New Yorker keluaran 19 Disember, menagih kepastian "berapa jauh penentangan terhadap Putin mampu pergi."  Sebaliknya, untuk Amerika, akibat terlalu gemar mencari musuh, terpaksa mengalami keterhakisan hegemoni yang berterusan.  Musuh keliling pinggang, hutang keliling pinggang. 


Amerika Syarikat berlawan, Putin berlawan, dan banyak lagi yang berlawan. Gelanggang perlawanan semakin banyak.  Pastinya, banyak juga yang akan tewas.  Pesan orang tua-tua, "biar kalah berlawan. Ini jantan namanya."



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...