Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Dalam mencari alternatif atau pilihan, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak seakan-akan senada dengan Margaret Thatcher, Perdana Menteri Britain antara tahun 1979 – 1990. Thatcher mengingatkan bahawa tiada alternatif (TINA – There Is No Alternative) untuk globalisasi, manakala Najib yang juga Menteri Kewangan Pertama dalam pembentangan Belanjawan 2010 pada 23 Oktober 2009, menegaskan bahawa Malaysia mempunyai dua alternatif: “Kini, negara berada di kedudukan kritikal, sama ada untuk terus terperangkap dalam kelompok negara pendapatan sederhana atau memilih untuk melonjak sebagai ekonomi pendapatan tinggi. Lantaran itu, kita perlu menjadi negara pelaku perubahan dan pencipta penyelesaian dalam mengharungi saat-saat paling mencabar iktisad global. Kita telah berjaya melakukan transformasi ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian. Kini kita akan beranjak kepada satu bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti, dan nilai ditambah yang tinggi.”
Belanjawan 2010 yang akan menjadi asas kepada pembentukan model ekonomi baru dan penggubalan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), bertemakan "1Malaysia, Kemakmuran Bersama" tertumpu kepada tiga strategi, iaitu memacu negara ke arah ekonomi pendapatan tinggi; memastikan pembangunan holistik dan mapan; dan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Untuk strategi pertama, kerajaan akan mengambil pendekatan baru berpaksikan inovasi, kreativiti, dan nilai ditambah yang tinggi. Langkah ini akan meningkatkan pendapatan per kapita rakyat lebih dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Akhir-akhir ini, ekonomi baru dan ekonomi pendapatan tinggi mendapat liputan media dan menjadi topik wacana. Menyebut ekonomi baru, mungkin ada yang merujuk kepada penggunaan teknologi digital yang maju, seperti di Silicon Valey, Boston, dan Austin sebagai pusat ekonomi baru. Sementara yang lain, seperti tulis David J. Ward, Presiden NorthStar Economics, Inc., ekonomi baru yang merujuk kepada penggunaan pelbagai teknologi, termasuk bioteknologi.
Namun begitu, Ward dalam kertas kerjanya “High Income Strategies for the Wisconsin Economy” pada November 2000, mentakrifkan ekonomi baru membabitkan pembinaan perniagaan dan sektor perniagaan nilai ditambah yang tinggi yang mewujudkan pekerjaan pendapatan tinggi dn nilai pasaran (kekayaan). Perniagaan ini dipacu oleh penggunaan teknologi dan pengetahuan dalam pembinaan produk baru dan proses perniagaan baru. “Teknologi tidak dapat dinafikan merupakan nadi ekonomi baru kerana teknologi ialah alat yang membolehkan berlaku peningkatan yang besar dalam produktiviti, menghasilkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi. Tetapi, bahagian kedua ekonomi baru, iaitu pengetahuan dan input maklumat sama pentingnya. Dalam kes ekonomi baru, pengetahuan ialah kuasa ekonomi.”
Oleh sebab kerajaan berusaha memacu negara ke arah ekonomi pendapatan tinggi, seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2010, maka ada kewajarannya dirujuk pengelasan ekonomi berdasarkan per kapita Pendapatan Negara Kasar (PNK) atau disebut dalam bahasa Inggeris, Gross National Income (GNI) per capita yang diperkenalkan oleh Bank Dunia. Lagipun, ekonomi pendapatan tinggi merupakan istilah atau konsep yang agak asing dalam kalangan masyarakat Malaysia, bahkan ada yang menganggapnya sebagai retorik pembangunan semata-mata.
Bagi tujuan operasi dan analitis, Bank Dunia mengelaskan ekonomi berasaskan per kapita PNK, iaitu setiap ekonomi dikelaskan sebagai pendapatan rendah, pendapatan sederhana (yang dibahagikan kepada sederhana rendah dan sederhana tinggi), atau pendapatan tinggi. Kumpulan analitis lain yang berasaskan wilayah geografi juga digunakan. Walau bagaimanapun, Bank Dunia menjelaskan bahawa pengelasan dan data yang dilaporkan untuk wilayah geografi adalah untuk ekonomi pendapatan rendah dan ekonomi pendapatan sederhana sahaja. Ekonomi pendapatan rendah dan sederhana ada kalanya dirujuk sebagai ekonomi membangun; dan pengelasan mengikut pendapatan tidak semestinya mencerminkan status pembangunan.
Bank Dunia juga mengelaskan kumpulan pendapatan, iaitu ekonomi dibahagikan menurut per kapita PNK 2008, dengan kumpulan pendapatan rendah: AS$975 atau kurang; pendapatan sederhana rendah: AS$976 – AS$3,855; pendapatan sederhana tinggi: AS$3,856 – AS$11,905; dan pendapatan tinggi: AS$11,906 atau lebih. Semua negara anggota Bank Dunia (186 buah) dan semua ekonomi lain yang jumlah penduduk lebih daripada 30,000 orang (210 buah) dikelaskan berdasarkan kumpulan pendapatan.
Pada tahun 2008, 66 buah ekonomi tergolong sebagai pendapatan tinggi, manakala 46 buah ekonomi sebagai pendapatan sederhana tinggi, dengan Malaysia turut tergolong dalam kumpulan ini (Jadual 1 dan Jadual 2). Selain negara G-7, iaitu Amerika Syarikat, Italy, Jepun, Jerman, Kanada, Perancis, dan United Kingdom, sesetengah negara atau wilayah yang tergolong dalam kumpulan ini adalah kecil, misalnya Andorra, negara yang terkecil di dunia ini terletak di antara Perancis dan Sepanyol, bergantung pada pelancongan sebagai sumber utama pendapatan. Antigua dan Barbuda pula mempunyai jumlah keluasan tanah 442 kilometer persegi, jumlah penduduk kira-kira 79,000 orang, dan pelancongan merupakan aktiviti utama ekonomi.
Jadual 1: Ekonomi pendapatan tinggi
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Andorra | Perancis | Belanda | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Antigua dan Barbuda | Polynesia Perancis | Antilles Belanda | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Aruba | Jerman | New Caledonia | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Australia | Greece | New Zealand | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Austria | Greenland | Norway | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Bahamas | Guam | Portugal | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Bahrain | Hong Kong | Puerto Rico | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Barbados | Iceland | Qatar | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Belgium | Ireland | San Marino | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Bermuda | Isle of Man | Arab Saudi | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Brunei Darussalam | Israel | Singapura | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Kanada | Italy | Slovenia | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Kepulauan Cayman | Jepun | Sepanyol | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Kepulauan Channel | Korea, Rep. | Sweden | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Cyprus | Kuwait | Switzerland | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Republik Czech | Liechtenstein | Trinidad dan Tobago | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Denmark | Luxembourg | Amiriah Arab Bersatu | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Estonia | Macau | United Kingdom | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Kepulauan Faeroe | Malta | Amerika Syarikat | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Finland | Monaco | Kepulauan Virgin (A.S.) | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Sumber: Bank Dunia. Jadual 2: Ekonomi pendapatan sederhana tinggi --------------------------------------------------------------------------------------------------------------- | ||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Sumber: Bank Dunia. |
Negara-negara di dunia boleh disusun menurut PNK per orang, seperti yang digunakan oleh Bank Dunia. Dianggarkan bahawa 40 peratus penduduk dunia tinggal dalam ekonomi pendapatan rendah berbanding dengan hanya 16 peratus penduduk yang tinggal dalam ekonomi pendapatan tinggi. Ekonomi pendapatan tinggi juga menguasai hampir 80 peratus output tahunan kekayaan dunia. Secara keseluruhan, taraf hidup di dunia meningkat agak perlahan; kebanyakan peningkatan berlaku dalam ekonomi pendapatan tinggi dan pendapatan sederhana, manakala taraf hidup negara miskin merosot.
Secara umum, penduduk dalam ekonomi pendapatan tinggi mempunyai taraf hidup yang lebih tinggi berbanding dengan penduduk dalam ekonomi pendapatan rendah. Mereka kemungkinannya memiliki lebih banyak makanan untuk dimakan, kurang kemungkinan untuk kebuluran atau menanggung penderitaaan akibat pemakanan tidak seimbang, dan kemungkinan hidup lebih lama. Mereka lebih celik hurup dan berpendidikan, dan oleh itu, memiliki pekerjaan yang berkemahiran tinggi dan bergaji tinggi. Seseorang boleh menjangkakan bahawa peningkatan taraf pendapatan bergerak seiringan dengan peningkatan taraf kebahagian dan kepuasan hidup. Penduduk dalam masyarakat kaya lebih bahagia daripada penduduk dalam masyarakat miskin.
World Development Indicators 2009 yang diterbitkan oleh Bank Dunia menunjukkan bahawa ekonomi pendapatan tinggi masih menguasai output dan eksport pembuatan. Pembuatan masih belum pada tahap pemecutan di kebanyakan ekononomi membangun. Sementara perkhidmatan kini merupakan sektor terbesar dalam ekonomi pendapatan tinggi yang mewakili lebih 70 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Meskipun bahagian pembuatan dalam ekonomi pendapatan tinggi jatuh, tetapi ekonomi berkenaan menguasai 73 peratus output pembuatan global pada tahun 2006, jatuh daripada 79 peratus pada tahun 2000.
Seperti yang dinyatakan di atas (Jadual 2), Malaysia tergolong dalam kumpulan ekonomi pendapatan sederhana tinggi, dengan per kapita PNK AS$7,500 pada tahun 2008. Telah menjadi pengetahuan umum, dalam tempoh lebih satu dekad, per kapita PNK Malaysia kadangkala terjejas, kerana krisis kewangan Asia 1997-1998, dan kini krisis kewangan global. Untuk bergelar sebagai ekonomi pendapatan tinggi pada tahun 2020, negara hanya mempunyai masa 11 tahun lagi untuk memacukan per kapita PNK sekurang-kurangnya AS$11,906, dengan andaianya nilai ambang (threshold) untuk ekonomi pendapatan tinggi masih kekal.
Malaysia melalui Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dilaporkan merancang strategi ke arah pertumbuhan dan pendapatan yang lebih tinggi. Juga dilaporkan bahawa Profesor Edward C. Prescott, dari Arizona State University berkata, inilah masa yang sesuai untuk Malaysia bergerak daripada ekonomi pendapatan sederhana tinggi kepada ekonomi pendapatan tinggi. Bagi Prescott, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi dan juga anggota pasukan pakar Bank Dunia, Malaysia perlu menjadi ekonomi pendapatan tinggi; dan untuk itu, memerlukan komitmen rakyat negara ini. Beliau juga tidak menolak kemungkinan Malaysia mencapai taraf negara maju pada tahun 2020.
Dalam Bajet 2010, untuk strategi memacu negara ke arah ekonomi pendapatan tinggi, kerajaan akan meningkatkan pelaburan swasta; mempergiat penyelidikan, pembangunan, dan pengkomersialan; memanfaatkan sepenuhnya niche areas; memajukan sektor pertanian; menggalakkan industri pembinaan; memperkasa perusahaan kecil dan sederhana; membangunkan teknologi hijau; dan menggalakkan industri kreatif.
Di sini elok sekali lagi dirujuk kepada David J. Ward, tentang cadangannya untuk menjadikan Wisconsin negeri pendapatan tinggi. Wisconsin, seperti yang dinyatakan oleh Ward, setelah memenangi pertarungan pekerjaan, tercicir dalam perang pendapatan. Pendapatan per kapita negeri itu secara beransur-ansur jatuh di bawah purata nasional dalam tempoh 20 tahun lalu. Wisconsin mesti mengubah pemikirannya daripada strategi meningkatkan jumlah pekerjaan secara berterusan kepada strategi mewujudkan jumlah besar pekerjaan pendapatan tinggi.
Bagi Malaysia, dalam usaha untuk menyertai ekonomi pendapatan tinggi, cadangan Ward wajar juga diberikan perhatian, iaitu mewujudkan sejumlah besar pekerjaan pendapatan tinggi. Malaysia boleh berbangga dengan kadar pengangguran yang rendah jika dibandingkan dengan negara lain, misalnya semasa kemelesetan ekonomi dunia: angka terkini menunjukkan pengangguran di negara ini meningkat kepada 4.5 peratus pada akhir tahun ini berbanding 3.7 peratus tahun lalu. Namun begitu, cabaran utama adalah untuk mewujudkan pekerjaan pendapatan tinggi dalam pelbagai sektor ekonomi yang bergerak seiringan dengan peningkatan produktiviti.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Disember 2009.)
No comments:
Post a Comment