ISNIN, 26 Disember 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Jumlah penduduk yang hidup dalam kemiskinan di Amerika Latin dan Carribean, seperti yang dilaporkan oleh The Washington Post, jatuh dengan ketara dari tahun 1990 ke 2010, iaitu daripada 48.4 peratus kepada 31.4 peratus. Memetik laporan terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bahawa hal ini berlaku ketika penduduk tumbuh daripada 440.7 juta kepada 582 juta orang.
Khabar tentang kadar kemiskinan melampau, bahkan lebih baik, iaitu jatuh daripada 22.6 peratus pada tahun 1990 kepada 12.3 peratus pada tahun lalu. Dengan pengurangan ini, bemakna Amerika Latin hampir mencapai matlamat yang ditetapkan oleh PBB pada tahun 2000, mengurangkan kemiskinan melampau tahun 1990 hingga separuh pada tahun 2015. Agihan pendapatan yang tidak sama yang memang terkenal di Amerika juga kurang. Laporan PBB itu menunjukkan bahawa koefisien Gini, yang digunakan secara meluas untuk mengukur ketidaksamaan, menurun secara stabil di 10 buah negara Latin sepanjang dekad lalu.
Amerika Latin yang bertahan "dekad yang hilang" pertumbuhan perlahan pada tahun 1980-an, yang mengakibatkan kedua-duanya, kemiskinan dan ketidaksamaan meningkat. Pembaharuan struktur yang negara berkenaan lakukan ketika harga pelepasan hutang sepanjang masa membawa manfaat dalam bentuk kesejahteraan yang lebih luas, iaitu lebih tahan lama. Perdagangan bebas antara negara Latin, dan antara Amerika Latin dengan Amerika Syarikat juga membantu.
Sebelum ini, The Economist juga merujuk laporan yang sama menunjukkan kemajuan dalam mengurangkan kemiskinan di Amerika Latin dan Carribean.
Yang tidak kurang menarik tentang benua yang beberapa negara di wilayah itu pernah dikenali "republik pisang," kartel dadah, pergolakan dan kekacauan, The Guardian melaporkan, pada hari ini, Brazil mengambil tempat United Kingdom sebagai ekonomi keenam terbesar di dunia pada tahun 2011. Dengan kemaraan Brazil itu, sebuah lagi negara BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China) mengatasi negara maju. Sebelum ini, China memotong Jerman untuk tempat ketiga dan seterusnya Jepun untuk tempat kedua, kini mengikuti rapat Amerika Syarikat.
Walau bagaimanapun, Time yang memetik laporan PBB itu membayangkan era melambung Latin Amerika kemungkinan berakhir. Pertumbuhan di benua itu yang lebih enam peratus pada tahun lalu, akan perlahan, iaitu kepada 4.3 peratus tahun ini dan 3.7 peratus pada tahun 2012. Ekonomi Brazil, terbesar di benua itu, sebenarnya mendatar pada sukut ketiga 2011; Argentina yang tumbuh dengan pesat, iaitu sembilan peratus tahun ini akan jatuh kepada 4.8 peratus tahun hadapan, dan pelarian modal dijangkakan berlaku dengan pesat. Sementara pertumbuhan Mexico akan jatuh daripada empat peratus tahun ini kepada 3.3 peratus pada tahun hadapan.
Untuk Argentina, Cristina Fernandez yang memengani pilihan raya untuk penggal kedua, seperti yang dibahaskan oleh The Economist bersedia untuk melawan graviti. Beliau terpaksa menghadapi ekonomi yang perlahan dengan adunan retorik, kawalan, dan jimat-cermat. Kerajaan masih menafikan bahawa inflasi merupakan masalah, bahawa sejak bertahun-tahun di bawah 10 peratus, sedangkan ahli ekonomi bebas menganggarkan hampir 25 peratus. Pada November lalu, kerajaan mengumumkan langkah penakut untuk memotong subsidi yang kini berjumlah 4.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). "Argentina bukan syurga," tulis Minguel Bonasso dalam The Guardian.
Khabar gembira dari benua itu seakan-akannya berbaur, tetapi berbaur dalam erti kata dunia secara keseluruhannya, pada tahun ini masih belum pulih sepenuhnya daripada kemelesetan 2008-2009: tahun kegagalan para penggubal dasar. Ekonomi dunia, seperti yang diperingatkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dalam bahaya. Sementara zon euro terus terumbang-ambing, dan dijangkakan jangkitan merebak pada tahun hadapan. Bahkan, pinjaman 489 bilion euro yang disediakan oleh Bank Pusat Eropah (ECB) untuk bank-bank zon euro gagal meredakan pasaran.
Tatkala banyak negara di dunia masih bergelut dengan krisis dan pertumbuhan yang lembap, sekurang-kurangnya, negara Amerika Latin dapat menarik nafas lega.
No comments:
Post a Comment