Artikel Popular

Saturday, December 3, 2011

Krisis Ekonomi Menumbangkan Kerajaan

AHAD,  4 Disember 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Krisis ekonomi global yang berlaku sejak tahun 2008 menyebabkan kerajaan yang memerintah tidak boleh tidur lena. Seandainya Lehman Brothers tidak muflis pada 15 September tahun itu,  mustahil  Barack Obama dapat  mara ke Rumah Putih kerana sebelum itu, John McCain mendahului beliau.  Namun, keruntuhan Lehman mengubah segala-galanya. Para pengundi Amerika menyalahkan  Presiden George W. Bush dan Parti Republikan, yang meletakkan McCain dalam keadaan sukar, meskipun  beliau  cuba menjauhkan dirinya daripada Bush.  

Pada tahun lalu, menyaksikan Parti Buruh kehilangan kuasa dalam pilihan raya di Britain, walaupun pada mulanya parlimen tergantung kerana tidak ada parti yang memenangi majoriti mudah.   Kerajaan Parti Buruh Australia hampir menerima nasib yang sama, dan parlimen juga tergantung seketika,  tetapi kerajaan pimpinan Julia Gillard diselamatkan melalui kerajaan campuran. 

Sementara di negara jiran, iaitu Thailand menyaksikan Parti Pheu Thai pimpinan Yingluck Shinawatra menumbangkan kerajaan Parti Demokrat pimpinan Abhisit Vejjajiva dalam pilihan raya dalam pilihan raya Julai lalu.  Kira-kira dua bulan sebelum ini, People's Action Party (PAP) yang memerintah Singapura lebih lima dekad terpaksa persaingan yang sengit, walaupun memenangi 81 daripada 87 kerusi parlimen dan 60.1 peratus undi popular. 

Majalah Time dalam keluaran 5 Disember, "Does a Changing of the Guard Mean a Change of Fortunes?" oleh Lisa Abend, membangkitkan sebuah lagi kerajaan yang tumbang akibat krisis ekonomi, iaitu Sepanyol.  "Jika pengunduran Perdana Menteri Italy, Silvio Berlusconi dan Perdana Menteri Greece, George Papanderou tidak  cukup untuk menunjukkan kuasa krisis ekonomi menumbangkan kepimpinan politik  yang berkubu kuat, perhatikan pilihan raya Sepanyol pada 22 November." 

Segala jasa Perdana Menteri, Jose Luis Rodriguez Zapatero dipadamkan oleh krisis ekonomi: mengundur tentera Sepanyol di Iraq dalam tempoh seminggu beliau berkuasa pada tahun 2004, membenarkan di sisi undang-undang perkahwinan homoseksual, bertindak keras terhadap keganasan domestik, akses yang mudah untuk pengguguran dan perceraian, dan menamatkan kesengsaraan selama 40 tahun keganasan oleh kumpulan pemisah Basque, ETA.

Namun, hujah Lisa, "dengan ekonomi yang tergapai-gapai mengatasi segala keprihatinan yang lain, tidak ada satu pun jasa itu yang mampu menyelamatkan kerajaan Sosialis beliau yang dipimpin oleh calon Alfredo Perez Rubalcaba, daripada ditumpas oleh Mariano Rajoy dan Popular Parti konservatif beliau.  Rajoy memimpin partinya untuk mencipta kemenangan yang cukup untuk membentuk kerajaan.  Parti beliau memenangi 186 kerusi parlimen, kemenangan terbaik parti itu sejak Sepanyol kembali kepada demokrasi pada 1976. Parti Sosialis kehilangan 59 kerusi, iaitu kepada 110 kerusi, terendah yang tidak pernah berlaku sebelum ini."

Pengangguran di Sepanyol mencecah 21.5 peratus, dalam kalangan mereka yang berumur di bawah 30 tahun, kadarnya meningkat lebih 40 peratus.  Langkah jimat-cermat  yang membawa pengurangan yang signifikan dalam perkhidmatan sosial dan gaji pekerja awam, tetapi Sepanyol masih tidak pada laluan untuk mengurangkan defisitnya kepada 4.4 peratus yang dijanjikan kepada Kesatuan Eropah pada tahun 2012.  Dan oleh sebab kadar faedah hutang baru meningkat pada tahap yang tidak berlaku sejak pengenalan euro, Sepanyol menjadi punca   terbaharu untuk membangkitkan kebimbangan tentang kemampuan zon euro untuk sehidup semati. 


Jika dibandingkan dengan Greece dan Italy, pastinya Sepanyol adalah lebih baik kerana kerajaan digantikan melalui pilihan raya, sedangkan di kedua-dua buah negara itu, pemimpin yang dipilih digantikan oleh teknokrat yang ditunjukkan dari Berlin dan Brussels.

Selepas Sepanyol, kerajaan negara manakah atau siapa pula yang akan mengalami nasib yang sama?   Termasuk dalam senarai ialah Barack Obama yang menghadapi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada tahun depan kerana pertumbuhan ekonomi negara itu masih perlahan, manakala pengangguran masih tinggi.  Bahkan, dengan kadar pengangguran turun kepada 8.6 peratus pada bulan berbanding dengan sembilan peratus pada Oktobe, terendah sejak jatuh bebas ekonomi pada Mac 2009, tidak ada jaminan bahawa peluang beliau adalah cerah.  Sebalinya, dengan kadar pengangguran yang terbaharu,   menunjukkan kedua-duanya, iaitu  harapan dan bahaya untuk Obama.

Bagaimana dengan Malaysia yang Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangkakan  berlangsung pada tahun depan? Adakah faktor ekonomi akan memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan pilihan raya yang akan diadakan kelak? Dengan pertumbuhan ekonomi dalam lingkungan lima peratus, adakah selamat untuk parti yang memerintah?  Atau lembu segak (menanduk) menumbangkan sebuah kerajaan?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...