Oleh: ZULKIFLI SALLEH
"Selamat tinggal, Keynes; selamat datang, jimat-cermat." Ungkapan yang sering kedengaran lebih setahun lalu apabila banyak negara, terutamanya di Eropah mendakap mesra yang membangkitkan kemarahan rakyat. Persetujuan sidang kemuncak Kesatuan Eropah di Brussels lebih seminggu lalu, yang mencetuskan "London lawan zon euro," sebenarnya menutup mana-mana kemungkinan pengurusan permintaan Keynesian untuk melawan kemelesetan.
Ireland yang merupakan "anak kesayangan" jimat-cermat kerana negara itu dikatakan yang pertama melaksanakan langkah tersebut, dikatakan berjaya keluar daripada krisis. Para menteri negara itu mencintai slogan kemeja-T "Ireland bukannya Greece" dan "Ieland bukannya Portugal." Namun, masalahnya, seperti yang diulas oleh Phillip Inman dalam blog The Guardian, Dublin rapat dengan Lisbon dan Athens. "Masalah Ireland jauh daripada selesai." Kejayaan "palsu" dijadikan "modal" untuk menggula-gulakan orang ramai berhubung dengan pentingnya pelaksanaan jimat-cermat.
Melalui kolumnya dalam The Washington Post, Robert J. Samuelson menulis sesuatu yang menggambarkan seakan-akan berakhirnya pemikiran John Maynard Keynes. Perbelanjaan defisit dan perbelanjaan besar-besaran untuk menyelamatkan kemelesetan ekonomi menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung beban hutang yang berat. Remedi piawai Keynesian untuk kemerosotan ialah banyak berbelanja dan kurang cukai, mengandaikan kesediaan pasaran bon untuk membiayai defisit yang berlaku pada kadar kadar yang munasabah. "Jika pasaran enggan terima" bahas Samuelson, "dasar Keynesian tidak berkesan."
Negara kemudiannya hilang kawalan terhadap ekonomi mereka. Mereka mungkir terhadap hutang yang cukup tempoh atau mesti diselamatkan dengan pinjaman daripada negara yang ramah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), bank pusat kerajaan, atau sebagai. Bagi Samuelson ada beberapa alasan mengapa dasar Keynesian mungkin gagal atau dilemahkan. Untuk menunjukkan kelemahan Keynesian, beliau mengakhirinya penulisannya dengan menulis: "Seandainya Keynes masih hidup sekarang, beliau pastinya mengakui keterbatasan dasar Keynesian. Hutang yang tinggi merumitkan analisis dan memusnahkan penyelesaian. Apa yang mungkin berkesan pada tahun 1930-an tidak menawarkan penyelesaian pada hari ini."
Tidak dapat dipastikan, sama ada Keynesian tidak lagi relevan, kerana masih wujud gesaan supaya kerajaan melaksanakan rangsangan ekonomi memandangkan pemulihan masih lemah dan pertumbuhan terhegeh-hegeh.
Sememangnya, banyak negara meninggalkan Keynesian, tetapi Kemelesetan Besar 1930-an semakin menghantui mereka.
No comments:
Post a Comment