Artikel Popular

Monday, December 5, 2011

Ketidaksamaan Pendapatan Melebar dengan Cepat

SELASA,  6  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD)  dalam laporan terbaharunya, yang dipetik oleh The Guardian dan The Washington Post,  memaklumkan bahawa ketidaksamaan pendapatan dalam kalangan orang dalam usia bekerja melebar dengan pantas di Britain jika dibandingkan dengan mana-mana negara kaya sejak pertengahan tahun 1970-an.  Hal ini berpunca daripada kenaikan elit perkhidmatan kewangan yang menerusi pendidikan dan perkahwinan menumpukan kekayaan ke dalam tangan segelintir individu.  

Ahli ekonomi daripada organisasi kumpulan pemikir itu berkata bahawa pendapatan purata tahunan di United Kingdom golongan 10 peratus atas pada tahun 2008 hanya bawah sedikit 55,000 paun, kira-kira 12 kali lebih tinggi daripada golongan 10 peratus yang pendapatan purata 4700 paun.  Perbezaan ini meningkat daripada nisbah lapan dengan satu pada tahun 1985 dan signifikan tinggi daripada jurang pendapatan purata di negara maju yang nisbahnya sembilan dengan satu. 

Walau bagaimanapun, laporan OECD menjelaskan bahawa bahkan di negara yang dianggap "lebih adil," seperti Jerman, Denmark, dan Sweden, jurang upah antara golongan kaya dengan miskin melebar, iaitu daripada lima dengan satu pada tahun 1980-an kepada enam dengan satu sekarang.  Di negara yang kuasa sedang meningkat, iaitu Brazil, Rusia, India, dan China (BRIC), nisbahnya membimbangkan, iaitu 50 dengan satu.  

OECD memberikan amaran tentang kenaikan golongan satu peratus atas dalam masyarakat kaya dan kejatuhan bahagian pendapatan yang dialami oleh golongan miskin. Trend ini, terutamanya ketara di Britain, dengan kenaikan dramatik dalam ketidaksamaan pendapatan yang dimarakkan oleh penciptaan golongan kaya super.  Bahagian satu peratus golongan yang memperoleh pendapatan meningkat daripada 7.1 peratus pada tahun 1970 kepaad 14.3 peratus pada tahun 2005. 

Sebelum ini, iaitu pada Mei lalu, OECD menyenaraikan 10 buah negara yang teruk dari segi ketidaksamaan pendapatan: New Zealand, Australia, Italy, United Kingdom, Portugal, Israel, Amerika Syarikat, Turki, Mexico, dan Chile. 

Sejak tercetusnya krisis ekonomi dan kebangkitan gerakan Menduduki Wall Street, ketidaksamaan pendapatan semakin mendapat perhatian.  Baru-baru ini, Jared Bernstein menulis dalam The Huffington Post mengapa ketidaksamaan meningkat begitu banyak. Faktor yang berkait rapat pada teras masalah ketidaksamaan, hujah beliau,  ialah kombinasi toksik "jangkaan rasional,"  hipotesis pasaran cekap, ekonomi lelehan, dan bertambahnya wang dalam politik.  

Hujah Bernstein lagi,  selagi dasar kekal tersentap dari segi kemampuannya untuk menyediakan majoriti tenaga kerja dengan beberapa langkah kuasa atau daya, beberapa kuasa tawar-menawar, untuk mendesak bahagian saksama mereka dalam pertumbuhan yang mereka sendiri tolong wujudkan, maka ketidaksamaan akan melebar dengan cepat.

Ketidaksamaan pendapatan lazimnya dikaitkan dengan kemiskinan, pengangguran, kebekuan upah, dan pastinya juga dengan keterhakisan negara kebajikan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...