Artikel Popular

Friday, December 2, 2011

Bahasa untuk Imigran

JUMAAT,  2  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dafna Linzer dalam The Slate menulis pengalamannya yang sukar untuk memohon kewarganegaraan Amerika Syarikat.  Dalam “The Problem with Question 36,” pada Februari lalu, beliau menulis:  “Ketika temu duga kewarganegaraan, pemohon disoal secara rawak 10 soalan daripada ujian dan mesti jawab enam dengan betul.  Sebagai tambahan kepada soalan tersebut, ada ujian pembacaan dan tulisan untuk kecekapan bahasa Inggeris.  Saya menjawab enam soalan berturut-turut dengan betul dan berpindah kepada bahagian peperiksaan.” Seterusnya Dafna, rakyat Kanada, menulis, “penutur asal bahasa Inggeris tidak dikecualikan daripada bahagian ini dan saya diminta membaca kuat-kuat ayat yang berikut:  ‘Columbus Day in October.’ Kemudian, saya diminta menulis ayat dalam bahasa Inggeris.  Luar biasa, ayat yang sama:  ‘Columbus Day is ini October.’” 

            Kebelakangan ini, para pemimpin Eropah semakin memperlihatkan ketegasan terhadap kaum imigran atau pendatang yang menetap di negara mereka, tetapi tidak cuba berintegrasi dengan penduduk asal.  Di Jerman, Cancelor Angela Merkel memaklumkan bahawa fahaman pelbagai budaya benar-benar gagal di negara itu.  Maka, beliau menggesa kaum imigran, kebanyakannya orang Turki,  menggunakan bahasa Jerman dan bukan asal mereka. 
Kemudian, Presiden Nicolas Sarkozy pada Februari lalu mengambil pendirian yang sama bahawa kaum imigran mesti menyesuaikan diri mereka dengan gaya hidup Perancis, dan beliau mengiystiharkan bahawa fahaman pelbagai budaya di negara itu telah mati.   Tegas beliau,  “hakikatnya, di semua demokrasi kita, kita terlalu prihatin terhadap jati diri orang yang datang ke negara kita dan kurang perhatian terhadap jati diri negara yang mengambil mereka.” Bagi beliau, jika komuniti tidak boleh saling wujud antara satu sama lain, maka mereka sepatutnya tidak datang ke Perancis.
Di negara maju, kemasukan pekerja asing dikenakan syarat yang ketat, termasuk dari segi penguasaan bahasa  rasmi negara berkenaan.  Bagi mereka yang ingin berhijrah ke Perancis, terutamanya jika mereka kurang kemahiran yang sukar didapati, mereka mesti pergi ke pejabat konsulat Perancis di negara mereka untuk menyatakan mengapa mereka sepatutnya dibenarkan masuk ke negara itu.  Jika mereka tidak dapat bertutur dalam bahasa Perancis, peluang mereka adalah tipis.  Pihak berkuasa Australia pula memerlukan para pemohon visa kerja mempunyai “bahasa Inggeris vokasional,” yang bermaksud mereka mesti dapat membaca, menulis, memahami, dan bertutur bahasa Inggeris sebaik mungkin untuk memegang satu-satu jawatan.  Pemohon mungkin diperlukan mengambil ujian bebas kecekapan bahasa Inggeris.  Sementara itu, Kanada yang bahasa rasminya bahasa Inggeris memerlukan kecekapan salah satu bahasa itu, dan juga memerlukan pemohon mengambil ujian bahasa daripada agensi yang diluluskan.
Pada April lalu,  selepas mengiystiharkan perang terhadap fahaman pelbagai budaya, Perdana Menteri  David Cameron menggesa kaum imigran  di Britain belajar   bahasa Inggeris.  Mesej yang beliau ingin sampaikan memang jelas, jika anda ingin tinggal di Britain, anda tiada pilihan, anda mesti menggunakan bahasa Inggeris.  Lupakan bahasa asal anda. Bagi beliau, imigran yang tidak dapat bertutur dalam bahasa Inggeris atau tidak bersedia untuk berintegrasi mencetuskan “semacam  tidak selesa dan tidak berurutan” yang mengganggu komuniti di seluruh Britain. 
Kerajaan Parti Buruh pernah memperkenalkan keperluan bahawa imigran yang ingin berkahwin dengan warganegara British mesti belajar bahasa Inggeris sebelum datang untuk hidup di negara itu, yang menarik perhatian kebanyakan orang kerana harapan yang benar-benar munasabah.  Walau bagaimanapun, keperluan itu dicabar di Mahkamah Tinggi atas dua alasan, iaitu pertama, dianggap diskriminasi kaum kerana kesannya tidak seimbang terhadap kumpulan kaum tertentu; dan kedua, menurut Konvensyen Eropah tentang Hak Asasi Manusia, keperluan itu dianggap mengganggu hak kehidupan keluarga.


Pada mulanya kerajaan Parti Buruh merancang menguatkuasakan keperluan itu pada Julai 2011, tetapi kerajaan campuran yang mengambil alih pemerintahan mempercepatkan pelaksanaannya pada November 2010.  Alasannya, seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Dalam Negeri, Theresa May, yang mengumumkan rancangan itu, “Saya percaya bahawa mampu bertutur dalam bahasa Inggeris sepatutnya menjadi prasyarat kepada sesiapa sahaja yang ingin tinggal di sini.  Keperluan bahasa Inggeris baru ini untuk pasangan suami isteri akan menggalakkan integrasi, mengetepikan sekatan budaya, dan melindungi perkhidmatan awam.”  Keperluan itu dikatakan tidak terlalu berat tuntutannya.  Para pemohon perlu mempamerkan bahasa Inggeris pada “tahap A1,” yang memerlukan mereka mempamerkan penguasaan asas bahasa Inggeris perbualan, yang kini sama tahap yang diperlukan untuk pekerja mahir yang ditawarkan pekerjaan di United Kingdom.
Walau bagaimanapu, larangan terhadap suami yang tidak dapat bertutur dalam bahasa Inggeris dianggap melanggar hak asasi manusia.  Dan, kes ini  kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi di Birmingham yang melibatkan pasangan si suami rakyat India dan si isteri warganegara British yang berkahwin selama 37 tahun dan mempunyai enam orang anak.  Si isteri memberitahu bahawa dia terpaksa berulang-alik selama 15 tahun antara India dengan England, dan kini,  mahu si suami tinggal bersama-samanya di United Kingdom.  Namun, hajat si suami tidak kesampaian kerana tidak dapat memenuhi keperluan bahasa Inggeris yang dinyatakan di atas, dan dia terlalu tua untuk belajar bahasa itu.
Akhbar The Telegraph dalam ulasannya akhir Julai lalu tentang pertembungan antara keperluan bahasa Inggeris dengan Konvensyen Eropah tentang Hak Asasi Manusia, mempersoalkan jika imigran tinggal di Britain tidak berkongsi bahasa Inggeris, bagaimana mereka menyertai sepenuhnya dalam demokrasi?  Kes ini membangkitkan persoalan, sama ada hak individu melebihi hak komuniti yang lebih luas.  Mengkritik kewujudan pekan-pekan imigran di negara itu, ulasan itu menulis: Keperluan bahasa yang digubal oleh kerajaan Parti Buruh adalah sepatutnya membantu menamatkan pengasingan yang berlanjutan dalam banyak komuniti imigran.  Untuk memperkukuh hujahnya, ulasan itu memetik kajian dalam majalah Prospect pada bulan itu yang menunjukkan selama satu dekad, perpecahan antara penduduk semakin dalam.  Bahasa Inggeris merupakan mekanisme penting untuk meruntuhkan sekatan integrasi. 
Yang menarik untuk direnung di sini tentang ulasan akhbar tersebut untuk konteks Malaysia yang penguatkuasaan bahasa kebangsaan terlalu longgar:  “Diperlukan untuk belajar bahasa boleh menjadi tamparan paksaan.  Banyak orang British yang di tinggal di seberang laut yang berasa kecil hati  dengan cadangan sedemikian.  Namun, ini merupakan  law of the land dan sepatutnya dipatuhi.” Ditafsirkan dalam kata lain,   “kalau anda tidak mahu menghormati undang-undang sesebuah negara, jangan tinggal di negara itu, berambus!”   Soal ulasan itu, “yang lebih penting, jika orang yang menetap di negara ini tidak berkongsi bahasanya,  bagaimana boleh mereka menyertai sepenuhnya dalam demokrasinya?  Mencegah diri sendiri sedemikian adalah tidak sihat untuk individu, untuk komuniti mereka, dan untuk negara.” 
Balik ke negara Malaysia, banyak orang yang begitu lantang  bercakap tentang demokrasi, tetapi tidak bertutur dalam bahasa kebangsaan, bahkan untuk satu ayat!  Kalau anda tidak mampu atau tidak mahu bertutur dalam bahasa kebangsaan, sesungguhnya, anda tidak layak untuk  bercakap tentang demokrasi.
Melihat kesukaran untuk menguatkuasakan bahasa Inggers terhadap imigran, David Green yang menulis dalam The Telegraph menegaskan: “Jika anda tidak bertutur dalam bahasa Inggeris anda tidak mempunyai tempat di Britain.  Ketidakmampuan untuk bertutur dalam bahasa negara tuan rumah memperteguh perpecahan yang bahaya dalam masyarakat.”  Bagi beliau, bahasa adalah utama kerana kita hanya boleh mencari kebaikan bersama (common good) menerusi perbincangan muka ke muka dan debat awam melalui media massa.  Fakta yang mudah adalah bahawa jika anda tidak dapat bertutur dalam bahasa berkenaan, anda tidak dapat mengambil bahagian.  Anda terasing. 
Green yang juga membangkitkan pekan-pekan imigran yang penghuninya  tidak dapat bertutur dalam bahasa Inggeris, menegaskan pengasingan lebih teruk di sekolah-sekolah.  Jika ibu bapa tidak bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah, adalah mustahil untuk mereka membantu anak-anak mereka.  Angka rasmi untuk Januari tahun ini menunjukkan hampir 17 peratus murid di sekolah rendah yang dibiayai kerajaan tidak bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahaas pertama, meningkat daripada lebih 12 peratus pada tahun 2006.  Di sekolah menengah yang dibiayai kerajaan, lebih 12 peratus murid tidak bertutur dalam bahasa Inggeris; angka ini di bawah 10 peratus lima tahun lalu.
Berjuta-juta orang baru tiba di Britain sepanjang dekad lalu.  Tulis Green, “mengelakkan konflik bukan tugas yang mudah pada paling baik masa, tetapi jika kita bahkan tidak dapat berkomunikasi menerusi bahasa yang dikongsi, kita mencari nahas.”
Kerajaan British menyediakan kelas percuma untuk imigran belajar bahasa Inggeris, tetapi mulai 1 Ogos tahun ini, berikutan perubahan untuk hak kelayakan faedah,  bermakna hampir 80,000 orang di seluruh England hilang hak untuk menyertai kelas bahasa percuma.  Daripada jumlah ini, wanita mewakili lebih dua pertiga mereka yang terjejas, iaitu 58,900 orang. Langkah baru itu membangkitkan persoalan komitmen Perdana Menteri David Cameron untuk menggalakkan “integrasi” dalam kalangan kumpulan imigran.  Seperti yang dinyatakan di atas, beliau menegaskan kaum imigran di Britain “belajar bahasa Inggeris supaya mereka boleh lebih diintegrasikan ke dalam negara ini.”
Melalui program pemutihan yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, kita diberitahu ada lebih sejuta orang pekerja asing di negara ini.  Pastinya, mereka  berasa gembira kerana di sini mereka bukan sahaja bebas ke sana ke mari, tetapi juga  tiada keperluan bahasa  yang dikuatkuasakan.  Bahkan, ada yang mempersoalkan kewajaran syarat penguasaan bahasa Melayu untuk memohon kerakyatan negara ini. (Dari segi bahasa, pekerja warganegara Indonesia suatu pengecualian.)
Mungkin ada yang berhujah jika dalam kalangan warganegara sendiri tidak bertutur dalam bahasa Melayu,  apa diharap pada kaum imigran. Untuk jawapan semua polemik tentang penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat di negara ini, maka dipetik David Green sekali lagi, “jika kita bahkan tidak dapat berkomunikasi menerusi bahasa yang dikongsi, kita mencari nahas.”  Sesungguhnya, nahas itu  sedang mendepani kita!  Hanya tidak ada orang yang ingin memberikan peringatan kerana tidak banyak orang ingin mendengar, termasuk golongan pemerintah, ahli politik, dan penggubal dasar.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa Oktober 2011.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...