Artikel Popular

Friday, December 9, 2011

Pahlawan Perang Dingin Melawan Balik

JUMAAT,  9 Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Bagi sesetengah cerdik pandai dan penganalisis, kemerosotan kemenangan  Parti Rusia Bersatu yang pro-Kremlin, iaitu kira-kira 50 peratus berbanding dengan 64 peratus sebelum ini, diperburukkan lagi oleh tunjuk perasaan anti-Perdana Menteri, Vladimir Putin, seakan-akan politik beliau sampai ke penghujungnya.  Harapan beliau untuk memenangi Pilihan Raya Presiden Rusia pada Mac tahun depan kelihatan kabur.   Seperti yang dibahaskan oleh Maxim Trudolyubov dalam The New York Times, Putin dan partinya tidak lagi sekuat sebelum 4 Disember.  Meskipun majoriti atas kertas, mereka tidak boleh lagi bertindak atas nama orang ramai. 

Sementara itu, gerakan antikerajaan Rusia dilaporkan semakin memperoleh rentak apabila berpuluh-puluh ribu orang berkata mereka bersedia untuk turun ke jalan-jalan hujung minggu ini dalam cabaran terbesar terhadap pemerintahan Vladimir Putin.  Suatu kebangkitan seakan-akan berlaku di Rusia, manakala  penunjuk perasaan mempunyai mesej yang jelas: Rusia tanpa Putin.

Namun, Steve LeVine yang menulis dalam Foreign Policy, mengingatkan bahawa adalah  silap sama sekali untuk membayangkan sesuatu, seperti Pemberontakan Arab akan menimpa Putin.  Beliau mengingatkan bahawa suara autoritatif menunjukkan bahawa Putin mungkin terpaks berjuang untuk jawatan Presiden penggal ketiga dengan cara yang hingga kini tidak dapat difikirkan.  Meskipun para pengundi berkata "mereka berasa letih" terhadap Parti Rusia Bersatu dengan alasan utama ialah rasuah, muslihat pilihan raya, dan manipulasi sinis untuk kekal berkuasa, LeVine menegaskan bahawa jangan sekali-kali menganggap Putin terkeluar.  Bahkan, Putin masih mampu bermegah dengan kemenangan parti itu jika dibandingkan dengan apa yang terjadi parti pemerintah di Portugal, Sepanyol, dan United Kingdom di tengah-tengah kegawatan politik krisis pascakewangan. 

Putin, seperti yang lazim dikenali ialah pahlawan Perang Dingin, yang pastinya sentiasa bersiap sedia untuk menyerang balik.  Beliau juga dikenali pahlawan pasca-Perang Dingin dan pahlawan Perang Dingin Baru sehingga mendorong Presiden Barack Obama mengingatkan beliau bahawa cara Perang Dingin telah ketinggalan zaman. Bahkan, lebih empat tahun lalu,  Putin  menggunakan bahasa Perang Dingin terhadap Amerika Syarikat.  Daniel Johnson pernah menulis bahawa Putin mencetuskan Perang Dingin baru.

Justeru, apabila sebilangan rakyat Rusia menguji beliau sejak beberapa hari  lalu dengan melancarkan tunjuk perasaan, Putin, seperti yang diulas oleh Simon Shuster dalam Time, "empayar menyerang balas."  Meskipun ada kecenderungan untuk membandingkan apa yang berlaku di Rusia sekarang dengan Pemberontakan Arab, Shuster mengingatkan bahawa perbandingan itu adalah terlalu awal.  Pembangkang masih tidak mempunyai pemimpin dan tidak tersusun, manakala kerajaan memperlihatkan bahawa mereka mempunyai cukup alat untuk meredakan arus kebangkitan itu. 




Tatakala berhadapan dengan detik yang genting seperti itu, Putin mempunyai kebijakan untuk memilih seterunya.  Beliau mengheret Amerika Syarikat dengan menuduh Setiausaha Negara, Hillary Clinton, yang menggalakkan musuh politiknya mengadakan demonstrasi jalanan di Moscow dan St. Petersburg.  Putin memperlihatkan keberangan gaya Perang Dingin yang pastinya merosakkan hubungan antara kedua-dua negara itu. 

"Mungkin Vladimir Putin memahami memahami Amerika lebih baik daripada yang kita fikirkan," tulis Stephen Stromberg dalam The Washington Post.  "Beliau sedar bahawa tidak kira bagaimana anehnya kedengaran, anda akan selalunya menyalahkan Hillary Clinton."  Stromberg juga memetik respons Putin terhadap ketidakpuasan di kota-kota utama Rusia berikutan pilihan raya yang dipertikaikan:  "Perkara pertama yang Setiausaha Negara lakukan ialah dengan berkata mereka tidak jujur dan tidak adil, tetapi beliau, bahkan tidak menerima lagi bahan daripada pemerhati."  Putin juga tidak teragak-agak untuk menggasak Hillary Clinton yang boleh disifatkan mencampuri urusan dalaman Rusia.  


Hillary yang "terbang tinggi" sejak akhir-akhir ini, berikutan kejayaan rancangannya menumpaskan Muammar Gaddafi di Libya dan lawatan bersejarahnya ke Myanmar, kini dalam kes Rusia, beliau benar-benar tersadung.  Namun, tidak dapat dipastikan sejauh manakah keberkesanan strategi Putin  menuding jari ke arah musuh Perang Dingin kerana ini melibatkan krisis kesahan beliau yang terburuk.  

Amerika Syarikat boleh diibaratkan  "bertemu buku dengan ruas."  Putin, pahlawan Perang Dingin tidak mudah mengaku kalah, bahkan beliau akan melawan balik, meskipun dengan  musuh tradisi yang terkenal dengan kehebatannya dalam "menjaga tepi kain orang." 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...