Artikel Popular

Monday, December 19, 2011

Sistem Pendidikan Inggeris Gagal

ISNIN,  19  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sistem pendidikan di Britain gagal, demikian liputan yang diberikan oleh beberapa akhbar di negara itu, seperti The Guardian, The Independent, dan  The Telegraph dalam beberapa hari ini. 


Tidak dapat dipastikan, sama ada penggubal dasar dan warga pendidik di negara kita, mengikuti semua  liputan ini, ataupun tidak.  Namun, jangan diharapkan akhbar berbahasa Inggeris di negara kita memetik sumber daripada akhbar tiga akhbar yang dinyatakan itu, kerana itu boleh menjejaskan pendewaan  terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).  

Setiausaha Pendidikan British, Michael Gove, seperti dipetik oleh The Telegraph, meemberitahu, "Sekolah kita terjunam dalam jadual liga antarabangsa.  Sains jatuh daripada tangga keempat kepada ke-16.  Matematik daripada tangga kelapan kepada ke-28."  

Mehdi Hasan yang menulis dalam The Guardian menyalahkan pendidikan England yang mengamalkan sistem peperiksaan.  "Anak-anak Inggeris kini paling banyak menduduki ujian di dunia perindustrian (terima kasih kepada penurunan kuasa, sepupu mereka di Scotland dan Welsh tidak menanggung beban peperikasaan yang sama); murid secara purata akan tertakluk kepada sekurang-kurangnya 70 ujian sepanjang tempoh persekolahan mereka."  

Mehdi Hasan yang memetik Programme for International Student Assessment (Pisa)  Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), yang menjalankan kajian global terhadap murid yang berumur 15 tahun:  Britain jatuh daripada tangga keempat kepada ke-16 dalam sains, daripada tangga ketujuh kepada ke-25 dalam literasi, dan daripada tangga kelapan kepada ke-28 dalam matematik.  Beliau juga memetik Economic Survey 2011 oleh OECD yang menunjukkan bahawa meskipun perbelanjaan sekolah untuk setiap murid meningkat dengan ketara sepanjang dekad lalu, peningkatan dalam hasil pendidikan adalah terhad. Beliau turut membandingkan kejayaan sistem pendidikan di Finland yang tidak berorientasikan peperiksaan.  Negara itu menduduki tangga teratas dalam penarafan Pisa sepanjang 10 tahun lalu:  tiada jadual liga, tiada pemeriksaan sekolah, tiada ujian murid oleh murid.  Sebaliknya, Finland memperkasakan guru yang mengajar.

Pada awal tahun ini, The Telegraph melaporkan kajian semula utama mata pelajaran sekolah diperkenalkan, dengan memberikan tumpuan terhadap pengetahuan asas yang murid-murid patut fahami pada setiap  tahap pendidikan mereka.  Kerajaan Pakatan yang hanya beberapa bulan berkuasa menyalahkan kerajaan Parti Buruh yang melucutkan kandungan penting daripada kurikulum, menyebabkan murid-murid menghadapi pemahaman yang lemah tentang sastera Inggeris, matematik, sains, bahasa asing, sejarah, dan geografi.  

Menyedari kelemahan sistem pendidikan Inggeris, seperti yang dilaporkan,  pihak berkuasa bercadang merombak Kurikulum Kebangsaan yang menghendaki murid-murid menggunakan jadual waktu ketika mereka berumur sembilan tahun, dan bukannya ketika berumur 11 tahun.   Juga pengenalan pengajaran baru tatabahasa dan  senarai ketat karya sastera, termasuk  Homer, Sophocles, dan Shakespeare di tengah-tengah kekhuatiran bahawa terlalu banyak murid yang "mengehadkan pembacaan kepada John Steinbeck."   Rombakan kurikulum yang dicadangkan itu berpunca daripada kebimbangan bahawa terlalu banyak murid yang menamatkan persekolah wajib dengan pemahaman tentang mata pelajaran teras, seperti bahasa Inggeris, matematik, dan sains.

The Observer dalam editorialnya Ahad semalam, mencadangkan pembaharuan pendidikan memerlukan ketelusan, dan bukannya ideologi yang berkobar-kobar.  Editorial itu membangkitkan bahawa hanya 16 peratus pelajar mencapai GCSE dalam mata pelajaran teras bahasa Inggeris, matematik, sains, bahasa, dan sama ada sejarah atau geografi.   Contoh lain tentang potensi yang disia-siakan, 42 peratus budak lelaki Afrika-Carribean dan 60 peratus budak lelaki kulit putih yang layak untuk makanan sekolah percuma tidak dapat membaca dengan betul ketika  berumur 14 tahun. 

"Pergi ke Barat wahai orang muda," merupakan pesanan yang tidak boleh digunakan lagi, seperti yang dibahaskan oleh Richard Garner dalam The Independent hari ini,  mencadangkan pihak berkuasa "melihat ke Timur" untuk memperbaiki sistem pendidikan di Britain. Pendidikan di Timur yang perlu dilihat ialah China (juga Shanghai), Singapura, dan  Hong Kong, tetapi tidak ketinggalan dua negara Eropah, iaitu Finland dan Poland. 

Jelas bahawa negara berbahasa Inggeris juga lemah dalam bahasa Inggeris, sains, matematik, dan literasi. Adakaha pentaksub PPSMI melihat semua fakta ini? Atau sekadar menyapunya ke bawah permaidani? Memang menjadi amalan puak hipokrit, kalau ada  yang bercanggah dengan ketaksuban mereka, maka mereka pura-pura tidak tahu.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...