Artikel Popular

Saturday, December 31, 2011

"Keynes Betul"

SABTU,  31  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Banyak negara kini, dalam usaha mengurangkan defisit fiskal  memotong perbelanjaan dan melaksanakan langkah jimat-cermat.  Dengan mengambil pendekatan itu, negara berkenaan meninggalkan Keynesian, bahkan bagi ada negara, seperti Britain ingin kembali semula kepada neoliberalisme, meskipun fahaman ini dikatakan memusnahkan Eropah dan memporakperandakan dunia. Justeru, dalam kata-kata Neil Clark, neoliberalisme wajar disekat daripada kembali semula. 

Dalam pada itu, pemikiran dua ahli yang berbeza pendapat, iaitu Friedrich Hayek, pendukung neoliberalisme, dan John Maynard Keynes masih diperdebatkan, antaranya oleh Paul Krugman,  Michael White,  dan  Larry Eliott

Meskipun berlaku penolakan semula terhadap pemikiran Keynes, tidak bermakna bahawa ahli ekonomi British yang tersohor pada abad ke-20, mula  dilupakan.  Sebenarnya, penolakan itu hanya lebih banyak berlaku dalam kalangan penggubal dasar yang dianggap salah membaca segala-galanya tentang ekonomi.  

Bagi Keynes, kemapanan kapitalisme bukan hanya persoalan teknikal, tetapi persoalan moral kerana jika kapitalisme ingin terus hidup, orang ramai perlu percaya bahawa sistem itu berbaloi untuk disokong.  Keutamaan Keynes adalah untuk membasmikan pengangguran.  Sememangnya juga, keutamaan moral untuk mereka bentuk sistem monetari antarabangsa yang akan mengurangkan peluang kapitalisme untuk terjebak ke dalam kacau-bilau lagi sekali. Dan untuk melakukan itu, maka ahli ekonomi perlu bergelut dengan perincian teknikal yang sukar, tetapi motivasi mereka merupakan wawasan kapitalisme yang lebih baik. 

Walau bagaimana sekalipun Keynes diperlakukan, bagi Paul Krugman melalui kolumnya, "Keynes betul" apabila beliau berhujah bahawa "masa melambung, dan bukan masa merosot, adalah masa yang betul untuk langkah jimat-cermat di Perbendaharaan."  Memetik pesanan Keynes pada tahun 1937 itu, Krugman mengingatkan bahawa F.D.R (Franklin Delano Roosevelt) adalah kira-kira membuktikan bahawa beliau betul dengan mencuba menyeimbangkan belanjawan dengan segera, mengheret ekonomi Amerika Syarikat yang pada masa itu pulih dengan stabil - ke dalam kemelesetan yang teruk.

Paul Krugman, di samping beberapa ahli ekonomi lain, seperti Joseph Stiglitz dan Nouriel Roubini, mempertahankan dan mempercayai model Keynes dalam menangani kemelesetan sekarang.   

"Pemotongan perbelanjaan kerajaan," tulis  Krugman, "dalam ekonomi yang meleset, menjadikan ekonomi terus meleset; jimat-cermat sepatutnya menunggu hingga pemulihan yang kukuh berlaku."  Malangya, tulis Krugman lagi, "pada akhir tahun 2010 dan awal 2011, ahli politik dan penggubal dasar di banyak dunia Barat percaya bahawa mereka lebih tahu, bahawa kita sepatutnya memberikan tumpuan terhadap defisit, bukannya pekerjaan, meskipun ekonomi kita belum benar-benar mula pulih daripada kemerosotan berikutan krisis kewangan.  Dan dengan bertindak mengikut kepercayaan anti-Keynesian itu, mereka berkesudahan membuktikan Keynes adalah betul lagi sekali."  

Namun, Krugman mengingatkan  bahawa dengan mengisytiharkan ekonomi Keynes adalah menyangkal sama sekali bahawa beliau (Krugman) berselisih faham dengan kebijakan konvensional. Beliau mengakhiri tulisannya itu dengan "dan satu daripada tahun-tahun ini kita mungkin sebenarnya berkesudahan mengambil nasihat Keynes, yang setiap sedikit nasihat itu sah kini seperti juga dengan 75 tahun lalu."

Selain Paul Krugman, Joseph Stiglitz, Nouriel Roubini, dan Robert Skidelsky adalah antara ahli ekonomi yang mempercayai model Keynesian. Demikian juga John Weeks bahawa untuk program pemulihan United Kingdom mesti menggunakan Keynesian, seperti dalam bahagian pertama dan kedua tulisannya. 

Walaupun  para pengikut  Keynes sering dikritik, perlu dinyatakan bahawa mereka ini merupakan cerdik pandai ekonomi yang tidak melupakan suara sejarah dalam memahami dan menangani kemelesetan masa kini.  Sementara John Maynard Keynes, seperti yang dibahaskan dalam editorial The Guardian pada awal tahun ini, ialah "guru dan doktor."

Suatu ketika dahulu, Presiden Richard Nixon mengisytiharkan "Kita semua Keynesian sekarang' - yang dipetik secara meluas hingga kini.  Dan dengan nada yang seakan-akan sama, Paul Krugman pula mengisytiharkan, "Keynes betul."


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...