Artikel Popular

Tuesday, December 27, 2011

Christopher Hitchens: Intelektual, Ahli Polemik, dan "Supremacists"

SELASA,  27  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Berita kematian Christopher Hitchens pada 15 Disember lalu,   tersebar dengan pantas.  Terima kasih kerana adanya Internet dan media sosial.   BBC bukan sahaja menyiarkan kematiannya,  bahkan muncul dengan obituari.   Di sebelah menyebelah Atlantik, akhbar dan majalah membanjiri dunia dengan penulisan  seolah-olah meratapi pemergian penentang tradisi dan intelektual awam serta pemikir. Tabiat beliau, iaitu kaki botol dan perokok tegar dikatakan punca beliau pergi pada usia muda, iaitu ketika berusia 62 tahun, meskipun beliau menerima apa-apa sahaja penyakit yang menimpa dirinya. Pengalaman mabuk bersama-sama beliau pernah dicatatkan   oleh Henry Porter.   

Ketika  akhbar dan majalah, seperti The Huffington Post, The Washington Post, The New York Times,  Los Angeles Times, The Guardian, The Daily Beast dan Newsweek,  Time, The Economist, Mother Jones, Salon, The New Yorker,  New Statesman, antaranya, menerbitkan penulisan tentang Hitchens, saya teringat majalah The Nation yang saya mula-mula membaca tulisan beliau. Pengalaman beliau di majalah tersebut dicatatkan oleh Victor Navasky baru-baru ini, manakala Norman Birnbaum  dan Katha Pollitt  masing-masing memperingati beliau.

Christopher Hitchens menyertai Vanity Fair sebagai editor penyumbang pada November 1992 dan beliau menulis secara tetap untuk majalah itu sehingga tahun 2011, dengan makalah terakhir dihasilkan beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia.  Pada Mei 2011, beliau memenangi Anugerah Majalah Kebangsaan untuk Kolum dan Komentar untuk seri kolums tentang penyakit kanser yang beliau hidapi.  Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Hitchens ialah editor penyumbang The Atlantic, tempat beliau menulis esei bulanan tentang buku, dan kolumnis dalam Slate, dengan  dalam beberapa minggu terakhir tentang politik Amerika.  Dari tahun 1982 hingga 2002, beliau menulis dalam kolum The Nation. Sepanjang kerjayanya, Hitchens banyak menulis dalam pelbagai majalah, antara The New Statesman dan Harper's.

Pendek kata, penulisan menjadi darah dagingnya, manakala keuzurannya bukannya penghalang.  Memetik Simon Schama, beliau menulis hingga ke titisan dakwat yang akhir.   "Beliau ialah seorang pembahas agung dalam bahasa Inggeris." 

Bagi Hitchens, tulis Oliver Duggan dalam Independent, "kelihatan bagi mereka yang benar-benar meminatinya, bukannya kerana beliau ateis, ahli polemik, dan sekurang-kurangnya semua kontrarian.  Tidak juga kerana budak poster puak kiri, budak sepanduk untuk Iraq, atau pengarak malapetak yang maha dahsyat.  Beliau dalam bahagian kecil, jawapan abad ke-21 untuk penyedaran.  Pertama dan paling ketara, untuk berfikir." 

Semasa berkhidmat di New Stateman, Hitchens, seperti yang diingati oleh editor, Anthony Howard, merupakan penulis yang berbakat.  Beliau dapat menghasilkan rencana utama halaman hadapan, yang bagi Howard memerlukan masa beberapa jam, hanya dalam setengah jam. Timbalan Perdana Menteri British, Nick Clegg yang pernah bekerja sebagai pelatih untuk Hitchens, berkata:  "Christopher Hitchens adalah segala-galanya penulis esei yang agung yang memberangsangkan, bijak, terlalu provokatif, dan tetapi amat serius."

Dalam makalah ringkasnya berikutan kematiannya,   Nigel Sheinwald, menulis:  "Banyak sudah yang ditulis tentang Christopher Hitchens, penulis yang bijak dan prolifik, pengulas, dan ahli polemik sejak berita yang amat menyedihkan tentang kematiannya semalam."  Sheinwald, Duta Besar British ke Amerika Syarikat, memetik penulisan yang sungguh indah menghargai Hitchens oleh sahabatnya, Graydon Carter, editor Vanity Fair, dan penulis Christopher Buckley, membangkitkan kasih sayang terhadap kuasa sastera dan intelektual dan personalitinya." 

Hitchens,  seperti yang diperkatakan oleh Paul Brandeis Raushenbush, mewakili tradisi intelektual awam dan sumbangannya yang kekal abadi ialah tulisan, ucapan, dan kebolehan berjenaka pintar beliau. Dan, seperti yang dibahaskan oleh Emile Hirsch, Hitchens bukan sekadar pakar retorik dan ahli polemik yang tidak berasa gentar, tetapi kerana kita  mendapat tanggapan yang jelas apabila kita  membaca tulisannya bahawa kita tidak mendapat mana-mana idea dan kepercayaan beliau terputus dengan mana-mana ketulenan Hitchens." Emile juga memetik seorang kawan Hitchens yang menganggap Hitchens silap mengenai Iraq. 

Bagi orang yang tidak mengenalinya, seperti yang dicatatkan oleh James Poniewozik, hanya melalui pembacaan:  "Untuk membaca tulisan beliau adalah untuk daya tarikan yang mendalam, iaitu iri hati, jika anda ialah penulis dan pada beberapa takat untuk benar-benar mabuk oleh beliau. 

Keberanian Hitchens melontarkan kritikan mendapat sanjungan, dan beliau dengan sengaja memilih musuhnya yang dapat menyerang balas, seperti Henry Kissinger, Clintons suami isteri, Mother Teresa, dan Gore Vidal, manakala kawannya, tidak lain, seperti Jefferson, Paine, dan Orwell.  "Pada zaman apabila pendapat lazimnya ringkas dan kasar dan petah," tulis Simon Jenkins dalam The Guardian, "Hitchens ialah Georgian dan hebat-hebat bunyinya.  Pengembaraan yang penuh peristiwa beliau, daripada International Socialism kepada Vanity Fair, daripada menentang Perang Vietnam kepada menyokong Perang Iraq."  Beliau juga dianggap kacukan antara  Voltaire  dengan George Orwell

Seperti yang diketahui umum, Christopher Hitchens ialah ateis,  musuh totalitarian, dan pejuang kebebasan,  yang akhir tewas dalam menentang kanser, akan dikenang namanya dalam sejarah gerakan ateis/sekular bersama-sama Bertrand Russell, Robert Ingersoll, Thomas Paine, dan David Hume. "Hitchens ialah penulis dan pemidato yang tiada tolok bandingnya," tegas kawannya, Richard Dawkins, "menguasai perbendaraan kata dan banyak sastera dan kilasan sejarah yang lebih luas jika dibandingkan dengan orang lain yang saya ketahui." 

Bidang penulisannya amat luas, daripada sastera Inggeris kepada politik dengan penuh daya tarikan. Namun, beliau mengaitkan banyak masalah paling serius di dunia dengan agama, daripada pembunuhan etnik kepada penguasaan terhadap wanita kepada penafian kemajuan saintifik.

Dunia dalam kata-kata George Eaton, kehilangan seorang wartawan yang terkenal dan prolifik, dan ahli polemik yang mengagumkan, pemidato, dan bon vivant. "Hitchens mampu menulis dengan bijak tentang keluasan luar biasa sesuatu subjek dan orang, iaitu hukuman mati, agama Leon Trotsky, Evelyn Waugh, monarki British, konflik Israel-Palestin, George Orwll, Saul Bellow, Elgin Marbles, Korea Utara, Balkan, Henry Kissinger, Thomas Paine, dan Philip Larkin."

Saya mengenali tulisan Christopher Hitchens dalam The Nation. Apabila beliau berpindah kepada The Atlantic, saya tetap mengikuti tulisannya,  tetapi hanya untuk seketika,  tidak berterusan. Lebih dua tahun lalu, saya membaca tulisannya dalam majalah  tersebut apabila beliau mengulas buku tentang Karl Marx.   Tanpa  saya sedari bahawa beliau juga mengulas buku  tentang Rosa Luxemburg dalam keluaran Jun yang lalu.  

Pada mulannya, saya amat meminati tulisan Christopher Hitchens yang saya temui dalam The Nation.  Akan tetapi, minat ini tidak berterusan kerana akibat Peristiwa 11 September 2001, beliau bertukar "warna," bahkan beliau dianggap meninggalkan Marxis, meskipun beliau sendiri pernah menafikannya.  Beliau, seperti yang diketahui umum,  begitu lantang mengkritik Islam, "fasisme Islam,"   menyokong serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq,  menyokong   Presiden George W. Bush dalam Pilihan Raya Presiden 2004, dan  bersekongkol dengan puak neokonservatif. Perubahan pendirian ini menyebabkan beliau tidak lagi sekata dengan kawannya, seperti David Corn yang pernah bekerja bersama-sama di The Nation, dan bahkan menyerang sahabatnya,  Edward Said dan Gore Vidal.  

Namun, tidak bermakna bahawa saya langsung tidak mengikuti Hitchens.  Pada tahun lalu, saya mendapat tahu bahawa beliau menghidapi sakit kanser, dan mengikuti perdebatannya dengan bekas Perdana Menteri British, Tony Blair mengenai agamaSaya juga membaca    buku beliau  oleh Ian Buruma dalam The New York Review of Books.  Dalam pada saya tidak lagi mengikuti tulisan beliau, saya berkesempatan membaca kritikan Terry Eagleton dalam The Guardian terhadap puak  supremacist liberal  yang antaranya termasuk Hitchens,  Richard Dawkins,  dan Martin Amis, yang bagi beliau, "menjadi senjata dalam perang terhadap keganasan."  Bahas Eagleton, supremacism Barat ditarik daripada Bible kepada ateisme. 

Berikutan tercetusnya Revolusi Tunisia, saya membaca semula tulisan tahun 2007 Christopher Hitchens, "At the Desert's Edge" dalam Vanity Fair dan makalah yang beliau tulis sebaik-baik sahaja  Zine el-Abidine Ben Ali tumbang, "Tunisia Grows Up" dalam Slate.  Apabila Pemberontakan Arab merebak ke seluruh dunia Arab, saya pernah memetik beliau untuk penulisan blog ini, seperti "Helang Melayang-layang di Padang Pasir,"  dan tragedi di Norway, termasuk "Norway:  Pertembungan Peradaban."   Boleh dikatakan sejak tahun ini, saya membaca semula beberapa  tulisan beliau dalam Vanity Fair dan Slate. 

Sememangya, amat banyak tulisan yang dihasilkan, baik oleh kenalan Christopher Hitchens, \ mahupun penulis lain sejak beliau meninggal dunia.  Pastinya, banyak orang yang meminati bahasa Inggeris dan kebebasan manusia meratapi kematiannya - sekadar memetik Nick Cohen yang juga mencadangkan orang ramai terus membaca tulisan Hitchens.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...