Artikel Popular

Friday, December 16, 2011

Kisah Haiwan Tahun 2011

JUMAAT,  16 Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Majalah Time dalam "Person of the Year 2011" kali ini memilih  penunjuk perasaan, iaitu penjaja jalanan,  Mohamed Bouazizi yang bertindak membakar dirinya,  yang di luar jangkaan sama sekali, mencetuskan Revolusi Melati di Tunisia dan seterusnya menyaksikan kebangkitan rakyat di seluruh dunia Arab.  

Majalah itu juga menamakan "Haiwan Tahun 2011" yang menduduki senarai teratas ialah anjing yang bersama-sama Navy SEAL Team Six  menjejak Osama bin Laden. Menduduki tempat kedua ialah anjing, Laukanikos (diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris "Sausage"), yang bersama-sama penunjuk perasaan di Greece menentang langkah jimat-cermat.  Haiwan lain yang menduduki tempat kedua ialah Yvonne, lembu tenusu Jerman yang terkenal di dunia, bersama-sama Mia, ular tedung yang lari dari zoo,  dan Happy Feet, Penguin yang sesat. Pastinya ada lagi haiwan yang tidak mahu ketinggalan, ialah anjing yang enggan meninggalkan temannya dalam runtuhan di Jepun.

Selain itu, 10 cerita haiwan yang hebat dimuatkan dalam makalah tersebut, iaitu anjing yang menjejaki Osama bin Laden,  beruang kutub, keganasan haiwan di Ohio, haiwan yang terselemat daripada perang di Afghanistan dan Libya, persahabatan seekor anjing dengan seorang anggota daripada 22 orang anggota Navy SEAL yang terkorban dalam helikopter yang ditembak jatuh oleh pejuang Afghanistan, ular tedung yang lari dari zoo di Mesir, beg tangan yang dibuat daripada kulit aligator, wabak sakit kaki dan mulut yang merebak di Korea, Yvonne, lembu tenusu yang terkenal di dunia, dan kematian haiwan secara besar-besaran, iaitu burung, ikan, dan lembu.  

Walau bagaimanapun, harap maaf kepada yang mengharapkan kisah  lembu yang kini menjadi pertelagahan politik, membentuk pendapat awam yang amat kukuh,  dan bertimbun-timbun cerita jenaka yang berlaku di negara kita, kerana tidak tersenarai.  Mungkin  Time tidak sempat memasukkan cerita bagaimana lembu "menyegak"  ahli politik  sehingga rebah tunggang-langgang, kemudian  ahli politik itu cuba bangkit dengan menyingsing lengan baju dan amaran "selak kain," tetapi  segala-galanya Waterloo.  Pendapat awam tidak lagi dapat dikikis dan dihakis!

Syabas kepada Time kerana memilih Haiwan Tahun 2011 kerana dengan cara itu, haiwan juga mendapat tempat dengan pelbagai kisah yang menarik.  



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...