Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Sebelum berlakunya tikam menikam antara Perdana Menteri Vladimir Putin dengan Hillary Clinton berhubung dengan tunjuk perasaan anti-Putin, Setiausaha Negara Amerika Syarikat pernah menulis dalam Foreign Policy bulan lalu tentang abad Pasifik Amerika. Menafikan kebangkitan abad Asia, seperti yang ditanggapi umum, Hilarry sebaliknya menggunakan dari segi istilah "abad Pasifik."
Pastinya menggunakan abad Pasifik berbanding dengan abad Asia, Hillary mengemukakan pelbagai justifikasi dan kewajaran penglibatan Amerika Syarikat di Asia, dari segi ekonomi, dasar luar, dan ketenteraan. Setelah meninggalkan rantau ini hampir satu dekad kerana Amerika Syarikat mengambil langkah bodoh menyerang Afghanistan dan Iraq, kini tiba masanya untuk negaranya, seperti yang dibahaskan oleh Hillary, untuk menduduki semula rantau ini.
Meskipun beliau tidak menafikan peranan negara lain, terutamanya China, dan tidak ketinggalan Malaysia, Hillary cuba memastikan bahawa negaranya mencorakkan masa depan rantau ini. Seperti yang sering diperkatakan bahawa abad ke-20 abad Amerika Syarikat, dan abad ke-21 kemungkinan abad Asia. Demi memastikan bahawa Amerika Syarikat tidak terlepas peluang menguasai abad abad baru ini, Hillary dengan cukup bijak, memperkenalkan abad Pasifik Amerika Syarikat. Justeru, sebagaimana abad yang lalu, abad ke-21 masih dimiliki oleh Amerika Syarikat.
Sempena Sidang Kemuncal Asean ke-19 di Bali pada bulan lalu, Najib Razak menulis dalam The Jakarta Post dan akhbar lain, seperti The Star tentang Asean dan anjakan kuasa global. Dalam tulisannya itu, Najib memetik "abad Pasifik" Amerika Hillary Clinton. Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan, sama ada Najib memetik tulisan Hillary dalam Foreign Policy ataupun kenyataan Hillary di sana sini, untuk menegaskan bahawa abad ke-21 milik Asia.
Malangnya, Najib langsung tidak membincangkan wawasan Hillary tentang abad Pasifik Amerika, seolah-olahnya beliau tidak menyedari negara itu cuba "menawan zaman keemasan" Asia yang dinanti-nantikan. Meskipun Hillary kelihatan hanya bermain dengan istilah, iaitu abad Pasifik dan bukannya abad Asia, secara terang-terangan beliau cuba membentuk lingkungan pengaruh yang Amerika merupakan pemain utama.
No comments:
Post a Comment