Artikel Popular

Thursday, December 29, 2011

Dua Puluh Tahun Selepas Kesatuan Soviet Berkecai

KHAMIS,  29  Disember  2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Minggu lalu genap 20 tahun keruntuhan Kesatuan Soviet.  Empayar berusia 70 tahun lesap dalam minggu-minggu antara 8 Disember 1991 apabila Rusia, Ukraine, dan Belarus mengisytiharkan kemerdekaan mereka, dengan Hari Krismas apabila Presiden terakhir Kesatuan Soviet, Mikhail Gorbachev meletakkan jawatan, mengisytiharkan pejabat pupus dan menandatangani waran kematian kerajaan.  

Kejatuhan itu disifatkan oleh Vladimir Putin, sebagai "malapetaka yang maha dahsyat pada abad ke-20."  Dalam ucapan negara tahunan 2005 yang disampaikan kepada parlimen, Presiden Rusia itu menyatakan keruntuhan USSR pada tahun 1991 merupakan "drama sebenar" yang meninggalkan berpuluh-puluh juta orang Rusia di luar Persekutuan Rusia.  Beliau juga berkata bahawa Rusia mesti membangunkan negara "bebas dan demokratik."

Bersempena 20 tahun keruntuhan empayar terbesar abad ke-20 itu,  muncul beberapa penulisan, sama ada yang tertumpu pada individu penting ataupun pada Kesatuan Soviet itu sendiri.  

Jeffrey Sachs yang menulis dalam The Huffington Post dengan segala pujian dan sanjungan kepada Mikhail Gorbachev yang beliau sifatkan sebagai revolusioner dan Demokrat agung, mungkin teragung di dunia. Sachs membahaskan bahawa demokrasi tidak berlaku di Rusia dan banyak negara pengganti lain bekas Kesatuan Soviet.  "Gorbachev secara konsisten mengutuk Rusia berundur semula kepada satu parti, bahkan diperintah oleh satu orang, kerana orang kuat Rusia, Vladimir Putin semakin mengawal ketat institusi demokratik yang berkembang dalam bidang media, akademia, dan wilayah."

Setelah menobatkan Gorbachev sebagai negarawan, pejuang demokrasi dan tokoh pembaharuan demokratik,  Sachs mengakui bahawa Rusia sengsara akibat pemerintahan autoritarian selama berabad-abad, maka peralihan Rusia kepada demokrasi adalah terikat pada cabaran epik, dan memang terbukti sedemikian.  Hari ini orang muda yang berani melancarkan bantahan di jalan-jalan Moscow dan kota Rusia lain dan mengemukakan tuntutan yang lebih kuat dalam sejarah moden Rusia untuk pemerintahan demokratik sebenar.

Sementara Susan B.  Glasser muncul dalam Foreign Policy mengenang semula dan mengagumi George Kennan yang beliau anggap "manusia yang benar-benar masak dengan Rusia."  Banyak genius Kennan tentang Rusia adalah terkandung di dalamnya, daripada anggapan bahawa Kesatuan Soviet, meskipun negara itu menanggung kehilangan banyak nyawa dalam Perang Dunia Kedua, iaitu kira-kira 20 juta orang rakyat, akan bangkit sebagai 'kuasa yang lebih besar tunggal jika dibandingkan dengan negara lain yang akan ditinggalkan di benua Eropah apabila perang ini berakhir" kepada faktor budaya yang akhirnya membuktikan negara komunis membawa kemusnahan sendiri.  Susan Glasser memetik apa yang Kennan pernah tulis untuk memahami Rusia:  "Kekuatan Kremlin terletak terutamanya pada hakikat bahawa mereka tahu bagaimana untuk menunggu.  Akan tetapi, kekuatan rakyat Rusia terletak pada hakikat bahawa mereka tahu bagaimana untuk menunggu lebih lama."

Serge Schemann yang berada di Moscow ketika Kesatuan Soviet berkecai menulis dalam The New York Times bahawa yang memeranjatkan pada malam Krismas itu bukan bahawa Kesatuan Soviet mati, tetapi bahawa Kesatuan itu bertahan terlalu lama. "Saya selalu memikirkan perbezaan antara simbolisme besar-besaran dengan realiti tidak menarik detik itu, terutamanya ketika gelombang semasa revolusi 'warna,' 'kebangkitan,' dan pergolakan lain. Keterujaan peristiwa seperti itu, terutamanya apabila dilihat dari jauh, yang mementingkan laporan romantik."

Namun, beliau menegaskan bahawa revolusi atau runtuhnya kerajaan, sebenarnya tidak patut diraikan.  Peristiwa itu menunjukkan kegagalan tadbir urus, dan kegagalan yang diperintah untuk mengubah kerajaan menerusi cara demokratik.  Vaclav Havel sepatutnya menghabiskan tahun-tahun terbaiknya menulis drama, bukannya duduk di dalam penjara dan menentang sistem yang menindas.  Dan seperti yang kita lihat di banyak negara bekas republik Soviet dan di banyak tempat lain, "perubahan rejim" tidak semestinya membawa kepada rejim yang lebih baik.  Berpulu-puluh ribu orang muncul di Moscow dan kota-kota lain di Rusia pada bulan ini untuk membantah pilihan raya parlimen yang dimanipulasi. Aleksandr Lukashenko Belarus dan Islam Karimov Uzbekistan merupakan penzalim yang diakui; lima tahun selepas Revolusi Jingga Ukraine menggulingkan pilihan raya yang dimanipulasi Viktor Yanukovich, bagaimanapun, rakyat Ukraine memilih beliau.

Schemann mencatatkan perasaan yang berbaur bagi banyak orang berhubung dengan kematian Kesatuan Soviet.  Mereka memperoleh kebebasan, tetapi mereka terhumban ke dalam bahaya yang tidak diketahui.  "Kebanyakan pembaharuan ekonomi Gorbachev, di samping Boris Yeltsin selepas Kesatuan berkecai, kelihatan pada mulanya menjadikan kehidupan lebih sukar dan sangat bahaya."

"Akhirnya," tulis Schemann lagi, "oleh sebab penggulingan kerajaan yang memusnahkan adalah terlalu traumatik, dan oleh itu, terlalu membawa padah, malam 20 tahun itu wajar diperingati sebagai kemenangan untuk maruah manusia.  Dalam pemberitaan saya malam itu, saya memetik Komsomolskaya Pravda bahawa khususnya tentang Gorbachev, tetapi kelihatan menangkap mood yang lazim: 'Beliau tidak tahu bagaimana membuat sosej, tetapi beliau tahu bagaimana memberikan kebebasan.  Dan jika seseorang percaya bahawa sosej lebih penting daripada kebebasan, dia kemungkinan tidak memperoleh kedua-duanya.'"

Dengan kata lain, "yang dikejar tidak dapat yang dikendung keciciran."  Hanya beberapa tahun selepas itu, sebilangan rakyat Rusia berasa kecewa kerana dengan sistem lama, makanan untuk mereka adalah terjamin, disediakan oleh negara.  Namun, dalam memburu kebebasan mereka terpaksa mengikat perut.


Dua puluh tahun lalu Mikhail Gorbachev mengumumkan berakhirnya eksperimen global yang cukup besar.  Selepas tujuh dekad. Kesatuan Soviet berpecah, 15 buah republiknya menjadi negara merdeka, dan kapitalisme menggantikan ekonomi Soviet yang dirancang.  "Melalui televisyen nasional,"  Robert Service mengimbas kembali dalam The New York Times peristiwa dua dekad lalu, "Gorbachev memperlihatkan muka yang berani: 'Kita kini hidup di dunia baru,' beliau berkata ketika 25 Disember 1991, menyiarkan ucapan perletakan jawatannya. 'Pengakhiran diletakkan pada Perang Dingin dan untuk perlumbaan senjata, di samping untuk penenteraan yang gila ini.' Akan tetapi, beliau tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya bahawa orde Soviet di ambang perpecahan."

Robert Service menegaskan bahawa Gorbachev menanggung akibat kegagalannya.  Hukum ekonomi yang beliau perkenalkan pada tahun 1988 melemahkan sektor negara yang besar tanpa membolehkan perusahaan swasta muncul.  Beliau menjengkelkan institusi dominan negara, iaitu Parti Komunis, KGB, dan tentera, tetapi hanya menghakis kapasiti mereka untuk melawan balik.  Lagipun, dengan menggalakkan kebebasan bersuara, beliau dengan tidak sengaja menggalakkan puak radikal untuk mengecam komunis, meskipun beliau melakukan pembaharuan.

Keruntuhan Kesatuan Soviet disambut rasa gembira oleh kerajaan, ahli politik, para pengulas, dan ahli akademik Amerika.  Namun, majoriti rakyat Rusia, bahas Stephen F.  Cohen dalam The Nation, seperti yang mereka berulang-ulang kali nyatakan dalam kajian pendapat, masih berasa kesal yang mendalam berakhirnya Kesatuan Soviet, bukan kerana mereka merindui "Komunisme," tetapi kerana mereka kehilangan negara yang biasa bagi mereka dan memperoleh gaya hidup.  Pada Mac 2011, untuk mengambil contoh terbaharu, 59 peratus mereka yang dikaji berkata mereka "menyesali" Soviet berpecah, manakala 24 peratus menyatakan tidak.  Sesungguhnya, pada bulan Disember, 74 peratus pembaca bahkan akhbar Moscow liberal berkata mereka menyesali perpecahan itu.  Tidak kurang pentingnya, kebanyakan rakyat Rusia tidak berkongsi hampir sepakat pandangan Barat yang mengatakan bahawa "keruntuhan" Kesatuan Soviet "tidak dapat dielakkan" kerana wujud kecacatan yang besar.  Sebaliknya, mereka percaya, dan untuk alasan empirik yang baik, tiga faktor "subjektif" yang memecahkan Kesatuan Soviet: cara pesat dan radikal yang terlampau, bukan untuk memperlahankannya dan secara berhati-hati, seperti yang diperkatan di Barat, Gorbachev melaksanakan pembaharuan politik dan ekonominy; perebutan kuasa yang Yeltsin mengguling negara Soviet untuk menghapuskan presidennya, iaitu Gorbachev, dan menduduki Kremlin; dan perampasan harta oleh elit birokratik Soviet. iaitu nomenklatura yang lebih berminat terhadap "penswastaa" kekayaan yang besar milik negara pada tahun 1991 daripada mempertahankan harta tersebut.

Dalam tulisannya itu, Cohen memetik ahli falsafah Moscow, Aleksandr Zinoviev, yang kemudiannya  menyatakannya dengan pahit, "Mereka menyasarkan Komunisme, tetapi menghentam Rusia.  Cohen juga memetik Vladimir Putin dan Mikhail Khodorkovsky bahawa "Sesiapa yang tidak menyesali perpecahan Kesatuan Soviet, sesungguhnya tidak berhati perut. Dan sesiapa yang fikir Kesatuan Soviet dapat dibina semula, sesungguhnya tidak berotak."

Sempena 20 tahun keruntuhan Kesatuan Soviet, Mikhail Gorbachev menulis juga dalam The Nation, membangkitkan keriangan Barat menyambut keruntuhan itu.  Namun, beliau menegaskan dunia tanpa Kesatuan Soviet tidak menjadi lebih selamat, lebih hanya atau lebih stabil.  Kita mengalami kacau-bilau global, dunia hanyut dalam air yang tidak dicartakan, dan bukannya orde dunia baru bahawa tadbir urus global yang cukup untuk mencegah hal ehwal antarabangsa daripada mengalami keadaaan   berbahaya yang tidak dapat diramalkan. "Krisis ekonomi global yang berlaku pada tahun 2008 memberikan bukti yang jelas."  Baru-baru ini, Gorbachev mendesak Putin meletakkan jawatan berikutan tunjuk perasaan antibeliau. 

Sesungguhnya, 20 tahun kemudian, meskipun tanpa Kesatuan Soviet, kita warga dunia tidak henti-henti menyaksikan kekacauan dunia baru: kegawatan ekonomi, pergolakan politik, kekacauan sosial.  Kini, kita menyaksikan dunia dalam revolusi, atau kedatangan kacau-bilau menuntut keadilan sosial global.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...