Artikel Popular

Thursday, December 1, 2011

Selamat Tinggal Negara Kebajikan

KHAMIS,  1 Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Langkah jimat-cermat yang dilaksanakan akan menyaksikan pendapatan keluarga di United Kingdom mengalami kejatuhan yang besar sejak tahun 1970-an.  Inflasi yang tinggi, pemotongan perbelanjaan kerajaan, dan tempoh yang panjang bagi kebekuan upah akan menyaksikan kuasa perbelanjaan keluarga British menjunam dalam masa lima akan datang. 

Institute for Fiscal Studies yang memberikan amaran tersebut, dalam analisisnya meramalkan bahawa pendapatan purata, yang diselaraskan dengan inflasi, akan jatuh sebanyak tiga peratus tahun ini dan seterusnya pada tahun 2012.  Dalam tempoh 2009-2010  ke 2012-2013, pendapatan isi rumah median sebenar akan jatuh sebanyak 7.4 peratus, satu kejatuhan yang hanya setanding dengan kejatuhan yang berlaku antara tahun 1974 hingga 1977. 

Semalam di United Kingdom berlaku mogok sektor awam  yang terbesar tahun 1979,   melibatkan  30 buah kesatuan sekerja dan dua juta orang  pekerja.  Mogok itu dilancarkan sebagai  protes terhadap pemotongan pencen sektor awam.


Sejak lebih setahun lalu, banyak negara, terutamanya di Eropah, melaksanakan langkah jimat-cermat, iaitu memotong perbelanjaan kerajaan untuk mengurangkan defisit, meskipun langkah  membangkitkan kemarahan para pekerja dan rakyat jelata.  Canselor George Osborne dalam Kenyataan Musim Luruh 2011, antaranya mengetengahkan pengurangan defisit dan  pengurangan pekerjaan sektor awam. 

Robert Skidelsky dalam ulasannya terhadap kenyataan itu, menulis dalam The Guardian mengingatkan bahaya langkah jimat-cermat, bahawa tanpa pertumbuhan dan pendapatan,  maka  menghapuskan defisit tidak akan berlaku pada tahun 2017, tetapi tidak akan kesampaian. 

Dasar pengurangan defisit, jelas  Skidelsky dengan terperinci,  dengan sendirinya tidak menghasilkan pertumbuhan, dan tidak juga menghapuskan defisit.  Mencuba untuk mengurangkan defisit dengan memotong perbelanjaan dan menaikkan cukai bermakna mengambil keluar kuasa perbelanjaan daripada ekonomi, apabila apa yang ekonomi  tertekan perlukan ialah perbelanjaan yang lebih banyak.  Kerajaan selalunya boleh memotong perbelanjaannya sendiri, tetapi tidak boleh mengawal pendapatannya.  Jika pemotongan perbelanjaannya membawa kejatuhan hasil kerajaan. maka menghampiri sedikit "menyeimbangkan buku" jika dibandingkan dengan sebelumnya.  Perbelanjaan seseorang merupakan pendapatan bagi orang lain.  Jika kerajaan mengurangkan perbelanjaan ekonomi, nescaya pendapatannya sendiri akan jatuh.  

Dengan keghairahan banyak kerajaan melaksanakan jimat-cermat, meskipun dikhuatiri langkah ini boleh membantutkan pemulihan yang lemah dan pertumbuhan yang perlahan, bermakna kerajaan berkenaan mula meninggalkan negara kebajikan.  "Krisis hutang, penduduk yang berumur, dan pertumbuhan ekonomi yang  perlahan boleh menamatkan persaingan menarik Eropah," tulis Michael Schuman dalam Time, "Au Revoir, Welfare State."  

Bagi Perancis, jelas Schuman, tidak apa-apa yang lebih istimewa, kecuali keyakinan bahawa kerajaan boleh dan sepatutnya menyediakan kesejahteraan warganegaranya.  Negara kebajikan, iaitu campuran politik-ekonomi perbelanjaan sosial yang meluas, perlindungan negara, dan kapitalisme yang dikawal selia, iaitu bantuan untuk setiap lelaki, wanita, dan kanak-kanak Perancis sejak mereka lahir hingga mereka meninggal dunia. "Negara kebajikan merupakan bahagian integral  masyarakat Perancis yang tidak ada sesiapa pun yang bayangkan kehidupan tanpa negara kebajikan."  

Namun, tegas Schuman, "negara kebajikan yang  dijaga dengan baik, mungkin tidak mampu bertahan, sekurang-kurangnya, seperti yang kita ketahui hari ini."  Beliau merujuk peningkatan kos yang berterusan  untuk menyokong program negara.  Kerajaan Perancis akan membelanjakan 30 peratus anggaran daripada seluruh output negara untuk perkhidmatan sosial tahun ini, berbanding dengan 21 peratus pada tahun 1980, menurut Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan.  

Program negara kebajikan terjalin erat dengan ekonomi, politik, dan masyarakat negara Barat, mempengaruhi bagaimana orang ramai berbelanja dan menyimpan, bekerja dan bersara, mendidik anak-anak, dan menjaga ibu bapa yang tua. Mengecilkan negara kebajikan, bahas Schuman, "akan menyukarkan Barat untuk lari daripada Kemelesatan Besar dan mengurangkan pengangguran yang degil.  Menghapuskan faedah negara kepada golongan kelas menengah dan miskin juga memburukkan lagi ketidaksamaan pendapatan dan kemiskinan." 

Masalah utama negara kebajikan adalah untuk mencari wang untuk membiayainya.  Schuman mengemukakan beban negara kebajikan dengan membandingkan perbelanjaan untuk program sosial di  beberapa negara antara tahun 1980 dengan 2007.  Pada tahun 2007, Australia dn Amerika Syarikat, masing-masing membelanjakan 16 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Kanada 17 peratus, Jepun 19 peratus, United Kingdom dan Greece, masing-masing 21 peratus, Sepanyol 22 peratus, Italy dan Jerman masing-masing 25 peratus, dan yang tertinggi, Perancis 28 peratus KDNK. 

Beliau mengakui bahawa Barat didesak supaya  melaksanakan jimat-cermat  yang tidak pernah berlaku sebelum ini.  Program kebajikan yang pernah dianggap tidak boleh diganggu, kini dipotong, seperti yang berlaku di Italy, Sepanyol, United Kingdom, Amerika Syarikat, dan bahkan di Perancis.  

Selamat datang jimat-cermat, selamat tinggal negara kebajikan.   


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...