Artikel Popular

Friday, December 23, 2011

Anjing dan Ikan Mara ke Rumah Putih

JUMAAT,  23  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Nampaknya, kisah haiwan masih belum dingin. Belek punya belek The Economist keluaran 10 Disember, ternampak  "sarang tebuan," yang dimaksudkan Pakistan yang merupakan sekutu Amerika yang paling bahaya.   Sementara di negara kita, khususnya dalam media sosial,  lembu terus mengganas, meskipun ada beberapa  cerita berbingkai, termasuk yang terbaharu, "wayang tinggi." 

Kisah haiwan dalam bidang politik, secara metafora memang tidak asing.  Niccolo Machiavelli pernah dianggap haiwan politik. Jangan lupa juga Animal Farm George Orwell,  dan "semangat haiwan" John Maynard Keynes yang menjadi topik perbincangan sekarang.  

Tatkala calon-calon Parti Republikan bersaing sengit untuk menentukan siapa yang layak mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Presiden 2012, Leslie Bennetts menulis dalam The Daily Beast,  "Dogs and Presidential Candidates:  Man's Best Friend Dominates the Race."  Sementara menunggu sumbangan yang tidak ternilai kepada politik politik Amerika, tulis Bennetts,  "bukti setakat hari ini menunjukkan bahawa menaksir cara calon melayan anjingnya, tidak perlu menyatakan kelicikan lain pengetahuan calon itu, mungkin meneguhkan cara untuk menilai sifat dan kelayakannya untuk menjadi Presiden.  Mujur bagi kita semua, kempen ini menawarkan banyak sekali bahan."  

Dalam kalangan calon itu, Mitt Romney mempunyai cerita tentang anjing apabila beliau bersama-sama keluarga ke Kanada yang perjalanan mengambil masa 12 jam, dengan anjing diletakkan di atas atap station wagon.  Cara Romney melayan anjingnya sedemikian rupa menyebabkan berlaku pertikaian lidah antara People for Ethical Treatment of Animals (PETA) dengan beliau.

Bennetts menjelaskan beberapa calon lain, seperti  Herman Cain, yang telah pun menarik diri kerana terbongkar skandal seks,  Rick Santorum, dan Rick Perry  mempunyai isu anjing. Jika Romney terpilih mewakilik Republikan, beliau akan dijangkakan berpasangan dengan Chris Christie, yang para penganalisis menggambarkan Gabenor New Jersey memainkan peranan "anjing serangan" Romney.   Hanya Newt Gingrich yang tidak mempunyai anjing.

Dalam arena politik Amerika sekarang, selain anjing, ikan juga turut menjadi tumpuan, seperti yang ditulis oleh Jeffrey Kluger, "America Votes with the Fishes" dalam Time beberapa hari lalu. Ikan yang dimaksudkan itu golden shiner yang ukurannya antara 7.5 hingga 12.5 cm, tetapi agresif yang manusia gunakan sebagai ikan umpan. Akan tetapi, golden shiner mempunyai pendapat yang kuat, dipegang sangat dalam dan hebat, boleh memberitahu banyak perkara tentang bagaimana demokrasi Amerika berfungsi. 

"Haiwan sosial," tulis Kluger, "iaitu ikan sekawan, burung kawanan, sekawan haiwan berkuku, manusia yang menonton berita kabel, mengesahkan apa yang selalu difikirkan tentang beberapa  pola kelakuan yang agak mudah: majoriti memerintah; minoriti mengikut, kecuali minoriti lantang luar biasa atau bersifat mutlak."  Maka, golongan itu dapat menggunakan pengaruh dan menampakkan saiz kecilnya."

Pasukan antarabangsa penyelidik diketuai oleh ahli biologi evolusi, Iain Couzin daripada Princeton University memutuskan untuk menguji andaian itu dan untuk menggunakan ikan sebagai pengundi model.  Ikan sekawan gemar dituntun.  Model komputer yang dibangunkan oleh ahli biologi, Simon Levin, mendapati bahawa hanya memerlukan masa lima minit untuk ikan sekawan untuk mula berenang ke arah sumber  makanan untuk 95 peratus yang lain untuk mengikut, bahkan jika ikan itu tidak tahu ke mana tempat tuju.  

Bermula dengan pengaturcaraan piawai untuk kelakuan ikan, dengan setiap ekor ikan cenderung untuk berkumpul dan menyepakati arah perjalanan ikan berkenaan, tetapi tidak terlalu rapat kerana mungkin berlanggar, maka penyelidik mewujudkan ikan kawanan sebenar yang terdiri daripada dua kumpulan: minoriti yang terlalu komited ke arah yang direnangi, dan majoriti bergerak ke arah lain, tetapi dengan kurang berazam.  Seperti yang diramalkan, minoriti diperintah, dengan majoriti mengambil alih hanya apabila komitmen kumpulan itu sama dengan atau lebih besar daripada komitmen kumpulan kecil.  Apabila kumpulan ketiga, iaitu kumpulan ketiga yang tidak komited ditambah, perkara berubah, tetapi bukan dengan cara yang model piawai cadangkan.

Walau bagaimanapun, Kluger menjelaskan, implikasi terhadap sistem politik manusia, tidak jelas secara keseluruhannya, meskipun sejarah moden untuk kedua-dua parti utama di Amerika Syarikat itu menunjukkan beberapa kelakuan seperti ikan yang sangat berbeza. Beliau juga mengakui tidak bermakna bahawa ahli strategi politik akan mula tumpukan pengumpulan ikan secepat mungkin.  "Hanya, sama ada kita mengakuinya atau tidak, manusia, termasuk anggota Demokrat dan Republikan merupakan haiwan sosial dan bermain oleh peraturan yang sangat sama.  Mereka tidak menyebut mereka keldai dan gajah sesuka hati."

Jika benar anjing dan ikan mara  ke Rumah Putih, bagaimana di negara kita?  Adakah lembu juga begitu ke Sri Perdana?  Tidak mustahil kerana orang ramai terbayang lembu setiap hari, manakala  Najib Razak masih terkial-kial, terhegeh-hegeh, tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Sekadar memberitahu "jawab bila tiba masanya."  Semakin lama masa diambil, semakin kukuh lembu berkubu dalam pendapat awam.  Kalau lembu (lembu jantan) boleh dikorbankan, mengapa tidak dikorban seseorang  demi kelangsungan politik. Berundur atau diundurkan! 

Apakah tahun 2012 ialah tahun yang ditentukan oleh haiwan, sama ada di Washington ataupun di Putrajaya?



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...