Artikel Popular

Thursday, December 8, 2011

Menghitung Detik: Eropah Kalah Sebelum Berjuang?

KHAMIS,  8  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Esok ialah detik penentuan untuk zon euro dan Kesatuan Eropah, sama ada terus hidup ataupun  berkecai. Jika dirujuk begitu banyak penulisan,  jelas bahawa suratan takdir tidak memihak kepada zon euro, kesatuan Eropah, dan bahkan juga Eropah itu sendiri.  Daripada Timothy Garton Ash dalam The Guardian kepada Niall Ferguson dalam Newsweek, tidak kurang cerdik pandai atau pengulas sebelah menyebelah Atlantik, yang rata-ratanya membayangkan tidak ada lagi masa depan, paling tidak, untuk zon euro - yang dalam kata-kata Petros Fassoulas, "berakhirnya zon euro yang kita kenali," kalaupun tidak Eropah  secara keseluruhannya. 

Beberapa bulan lalu, Rana Foroohar menulis dalam Time, berakhirnya Eropah;  kemudian pada bulan lalu, Matt Miller menulis dalam The Washington Post, kemerosotan Barat. Sememangnya, tidak sukar untuk membaca penulisan yang seakan-akan yang menggambarkan bahawa Eropah (atau Barat) dalam porak-peranda.  Semalam, Jeremy Warner menulis dalam The Telegraph meneriakkan nada yang serupa, dengan  menegaskan bahawa globalisasi berpaling tadah kepada Barat yang menciptanya

Tatkala banyak pihak, termasuk Amerika Syarikat,  berasa resah gelisah tentang krisis yang melanda zon euro khususnya, dan Eropah amnya, para pemimpin benua itu  pula, seperti yang  dibahaskan oleh Andreas Whittman "melengah-lengahkan masa untuk menyelamatkan mata wang tunggal itu." Masa amat suntuk bagi euro dan Eropah. Sementara bekas Setiausaha Luar British, Jack Straw yang menulis dalam The Telegraph, mengingatkan bahawa keangkuhan elit zon euro boleh membunuh Kesatuan Eropah. 

Kalau dipegang kata-kata bekas Presiden Suruhanjaya Eropah, Jacques Delors bahawa "zon euro cacat sejak mula lagi menyebabkan krisis semasa tidak dapat dielakkan lagi," maka seseorang dapat menjangkakan nasib yang akan menimpa zon itu dan Kesatuan Eropah. Para pemimpin Eropah pada tahun 1990-an memejamkan mata terhadap kelemahan ekonomi beberapa negara anggota, dan respons sekarang terhadap isu yang timbul pada amnya tidak cukup.

Eropah boleh dikatakan dalam keadaan serba kena, dan sudah jatuh ditimpa tangga.  Kesatuan fiskal yang dicadangkan oleh Canselor Angela Merkel dan Presiden Nicolas Sarkozy,  seperti yang dibahaskan dalam editorial The Washington Post, merupakan strategi yang bahaya: Adakah cadangan ini berjaya, sedangkan yang lain gagal?  

Jika beberapa hari lalu, agensi penarafan, Standard & Poor's (S&P) memberikan amaran bahawa 15 buah negara zon euro akan diturunkan gred, kini tiba pula giliran Kesatuan Eropah itu sendiri untuk dimasukkan ke dalam bakul yang sama tatkala para pemimpin  bersiap sedia  dalam misi "hidup mati"  dalam sidang kemuncak yang berlangsung di Brussels


Setelah sakit begitu lama, tidak banyak harapan yang diberikan, seperti yang dibahaskan oleh Timothy Garton Ash dengan penuh pesimistik bahawa Eropah tidak dapat diselamatkan di Brussel Jumaat ini. Paling baik, Eropah akan hidup untuk menghadapi trauma lain.  Selepas "10 hari untuk selamatkan euro," akan adaa 10 minggu, 10 bulan, 10 tahun.  Beliau memetik perjalanan maut zon euro yang diungkapkan oleh Paul Kruman bahawa krisis Eropah sebagai "menyeramkan dan membosankan" yang berlaku satu demi satu krisis. Beliau juga memetik Angela Merkel yang membandingkan menyelamatkan zon euro dengan maraton, sambil menambah "sebenarnya lebih seperti perlumbaan berhalangan merentas desa, dengan lompatan air baru yang besar sepanjang setiap horizon palsu."


Pertama, persoalan segera, sama ada kerajaan zon euro dapat memenangi semula keyakinan pasaran.  Seterusnya, persoalan apakah campuran kesatuan fiskal, campur tangan Bank Pusat Eropah (ECB) yang lebih besar, dan jaminan Jerman untuk sekurang-kurangnya beberapa hutang negara zon euro lain akan menenangkan pasaran untuk tempoh yang panjang, dan sama ada batu asah yang perlahan bagi politik Kesatuan Eropah mempunyai waktu untuk tiba.  Lompatan air seterusnya dalam perlumbaan berhalangan ini, yang mengikut rapat yang terakhir, maka dengan itu, persoalan negara manakah di zon euro bersetuju dengan apa yang langkah politik untuk menyelia kesatuan fiskal. 


Sesungguhnya, esok ialah hari penentuan bukan sahaja untuk zon euro dan Kesatuan Eropah, tetapi juga Eropah itu sendiri.  Apakah Eropah akan benar-benar berakhir? 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...