Artikel Popular

Monday, December 5, 2011

Krisis Hutang: Masih Mengharapkan Jerman?

ISNIN,  5 Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Akhbar The Guardian  dalam keluaran Ahad semalam, muncul dengan peringatan  bahawa para pemimpin Kesatuan Eropah hanya mempunyai masa lima hari untuk menyelesaikan krisis hutang kedaulatan atau kalau tidak, Kesatuan Eropah sendiri akan runtuh.  Berbelah bahagi antara perlunya kestabilan dengan keinginan perpaduan atau solidariti, para pemimpin Kesatuan Eropah perlu mencari penyelesaian segera untuk zon euro yang pecah dan menerima secar terbuka  rancangan jangka panjang untuk kesatuan fisikal pada Jumaat  malam.  

Akhbar itu memetik Perdana Menteri Portugal, Pedro Passos Coelho yang dilaporkan berkatan, "Kita perlu mencari respons, respons yang lebih kuat berbanding dengan sebelum ini.    Jika kita tidak melakukannya, nescaya boleh membawa berakhirnya Kesatuan Eropah."

Sebelum ini, Canselor  Jerman, Angela Merkel dilaporkan mengambil tindakan keras untuk menghentikan keruntuhan euro.  Beliau mendesak kawalan yang ketat terhadap dasar cukai dan perbelanjaan dalam kalangan negara yang menggunakan mata wang tunggal itu. Selain itu, Angela Merkel dilaporkan mengadakan  perbincangan dengan Presiden Nicolas Sarkozy di Paris pada hari ini di tengah-tengah usaha terburu-buru untuk bersetuju urus janji untuk menstabilkan zon euro.  Kedua-dua pemimpin itu akan membincangkan perincian tindakan ke arah integrasi fiskal yang lebih erat di zon mata wang tunggal itu. 

Dalam keadaan terdesak itu, para pemimpin negara zon euro yang mengalami krisis hutang terpaksa memohon pertolongan Tabung Kewangan Antarabangsa, perlunya campur tangan Amerika Syarikat sekali lagi,  dan    Bank Pusat Eropah (ECB) mesti  bertindak demi menghentikan keruntuhan zon euro itu.  Tatkala zon euro seakan-akan "bergayut pada dahan yang rapuh" dalam mengharapkan pertolongan, harapan masih diletakkan pada Jerman, meskipun keazaman negara itu dan pemimpinnya Angela Merkel sentiasa diragui dan kewujudan Fourth Reich sekadar mitos. 

Sebelum berlangsungnya sidang kemuncak di Brussel akhir minggu ini, negara-negara lain di Eropah memandang Jerman untuk bertindak sebagai penyelamat, tetapi warga Berlin tidak berminat membincangkan krisis zon euro.  "Hanya Jerman mampu menyelamatkan zon euro, dengan itu, Jerman mesti bertindak," tulis Thomas Kleine-Brockhoff dalam The Washington Post, dua hari lalu yang juga memetik Menteri Luar Poland, Radoslaw Sikorski yang juga merayu kepada Berlin, "Saya kurang takut Jerman berkuasa berbanding dengan saya mula takut Jerman tidak aktif."  Kleine-Brockhoff juga memetik Timothy Garton Ash yang  yang menulis Jun lalu,  tentang pergantungan pada Jerman untuk menyelamatkan  krisis zon euro itu.

Memang harapan yang tinggi diletakkan pada Jerman untuk menyelamatkan zon euro, tetapi mahukah  Angela Merkel mendengar segala harapan itu?  Sesungguhnya, sudah banyak harapan yang diberikan , tetapi Jerman tetap  keberatan.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...