Artikel Popular

Friday, December 2, 2011

Majalah Cetuskan Gerakan Menduduki Wall Street

JUMAAT,  2 Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLLEH


Gerakan Menduduki Wall Street berlangsung lebih dua bulan, dan tidak ada tanda-tanda untuk berundur, meskipun pihak polis bertindak ganas. Majalah atau akhbar antarabangsa, daripada Fortune kepada The Economist; daripada   Time kepada The New Yorker; daripada The Atlantic kepada The New York Review of Books;  daripada Monthly Review kepada Socialist Review; daripada The New York Times kepada The Guardian; daripada Washington Post kepada The Independent, bukan sekadar berlumba-lumba memberikan liputan, tetapi juga "memihak" kepada gerakan itu. Hanya The Wall Street Journal yang enggan menerima hakikat kewujudan golongan 99 peratus itu.   Bahkan,  The Nation dan The Huffington Post, masih menunjukkan komitmen untuk  meneruskan  siaran langsung tentang gerakan Menduduki Wall Street.  

Notes from Editors, Monthly Review keluaran bulan ini mencatatkan bahawa akhir September hingga akihir Oktober 2011 merupakan titik tolak bersejarah.  Musim Bunga Arab memberikan laluan kepada Musim Gugur New York/Dunia apabila penunjuk perasaan menduduki Wall Street (berkampung di Zuccotti Park), dan gerakan 99 peratus merebak ke seluruh dunia.  Dari segi  kronologi penting, editorial itu mencatatkan  bermula dengan protes di Tunisia pada 17 Disember 2010 yang mencetuskan Pemberontakan Arab. Seterusnya, pada 15 Jun 2011, berpuluh-puluh ribu orang penunjuk perasaan mula menduduki dataran Puerta de Sol di Madrid.  Seterusnya, pada 9 Jun, majalah Adbusters memperoleh domain bernama occupywallstreet.org.   Pada 13 Julai, majalah ini menyeru pendudukan Wall Street pada 17 September.  


Monthly Review melahirkan penghargaan yang tinggi, bagi pihak semua golongan radikal terhadap peranan kepada Adbusters kerana peranannya yang cukup penting dalam   mencetuskan gerakan yang luar biasa ini.  "Kami dengan bangganya memaklumkan bahawa keluaran terbaharu Adbusters, sebelum  Menduduki Wall Street, mengandungi nukilan dan petikan daripada Monthly Review, bertujuan untuk mencetuskan perubahan sosial revolusioner."


Pada 15 November lalu, majalah antikapitalis Kanada itu mencadangkan Menduduki Wall Street  "mengisytiharkan kemenangan"  dan penunjuk perasaan pulang ke rumah untuk musim sejuk dan muncul semula pada musim bunga.  Adbusters mencadangkan 17 Disember, sambutan tiga bulan gerakan sebagai hari untuk berkemas


Majalah, seperti yang diketahui memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pembentukan pendapat awam dan penggubalan dasar-dasar nasional, dan membangkitkan  transformasi sosial.  Sememangnya, peranan yang dimainkan oleh  Adbusters dalam mencetuskan gerakan sosial yang cukup besar di seluruh dunia, amat luar biasa dan menakjubkan.  Perjuangan yang gagal disempurnakan oleh pemimpin revolusioner, kini diteruskan oleh sebuah majalah. 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...