Artikel Popular

Wednesday, December 21, 2011

Media Besar, Pemikiran Pun Besar: Pembantah

RABU,  21  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Sekali lagi Time sebagai meneruskan tradisi, muncul dengan "Person of the Year."  Untuk tahun 2011, makalah ini menobatkan The Protester (Pembantah). Memilih Pembantah, sesungguhnya, suatu keputusan yang tepat lagi bijak kerana hampir di seluruh pelosok dunia, menyaksikan kebangkitan rakyat yang luar biasa yang menyebabkan banyak pihak, termasuk media arus perdana dan Washington terpinga-pinga. 

Richard Stengel, Editor Urusan yang menulis editorial, "A Year in The Making," menjelaskan isu  "The 2011 Person of the Year" merupakan hasil nilai pemberitaan dan pemikiran selama setahun.  Dari permulaan Musim Bunga Arab, tulis Stengel, "kami mendedikasikan banyaknya sumber  kepada cerita sejarah dunia ini. Kami juga memerhatikan tatkala bibit protes merebak ke England, kemudian Ke Amerika, dan kini Rusia."

Untuk isu yang besar seperti ini, pastinya para pembaca ingin mengetahui kisah di sebalik tabir bagaimana warga Time  bekerja.  Hal ini turut dijelaskan oleh Stengel: "Kurt Andersen dan saya melawat Mesir dan Tunisia untuk menjejaki semangat revolusi ini hingga ke akar umbinya.  Kurt,  penulis esei dan novelis Amerika yang sangat bagus, menulis makalah cakupan yang menjelaskan kaitan dan makna yang lebih besar dalam kalangan pembantah  di berbelas-belas buah negara." 

Tenaga editorial lain, baik yang turun ke lapangan, mahupun di peringkat penyuntingan, turut dinyatakan oleh Stengel. Tidak kurang tenaga fotografi yang menjelajah lebih 40,000 km  dan mengambil gambar pembantah dari lapan buah negara.

Kurt Andersen sendiri menulis rencana utama, "The Protester" sebuah makalah yang amat panjang, tetapi cukup menarik, tidak jemu untuk membaca. Memang tidak mudah untuk menghasilkan sebuah tulisan yang sedemikian rupa kerana ini melibatkan banyak peristiwa di banyak tempat. Sebelum menulis Pendahuluan Revolusi yang mula-mula tercetus di Tunisia, Andersen menarik perhatian bahawa apabila peristiwa utama disiarkan melalui media, yang dicetuskan oleh sebilangan orang demi rakyat jelata atau massa, pembantah merupakan pencipta sejarah.  

Beliau mencatatkan  beberapa protes yang berlaku sejak tahun 1960-an hingga kedatangan Berakhirnya Sejarah Francis Fukuyama yang mengiystiharkan "kemenangan" liberalisme Barat, yang akhirnya terbukti tidak dapat bertahan lama, seperti yang dapat dilihat di Seattle pada tahun 1999.

Pada 17 Disember tahun lalu, Andersen mengimbas kembali, Mohamed Bouazizi, yang menjaja hasil kebun dengan kereta sorongnya di pekan Sidi Bouzid, membakar dirinya . Segala-galanya bermula apabila alat timbangnya dirampas oleh polis wanita dan polis didakwa menampar beliau. Bouazizi terus pergi ke bangunan ibu negeri wilayah untuk mengadu, tetapi tidak dilayan.  Akhirnya, di pintu pagar bangunan itu, beliau membakar dirinya.

"Anak saya membakar dirinya dengan maruah," Mannoubia, ibu Bouazizi memberitahu Andersen.  "Di Tunisia, maruah lebih penting daripada roti," Basma, adik perempuan Bouazizi turut memberitahu.

Di Sidi Bouzid dan Tunis, di Iskandarian dan Kaherah; di kota-kota Arab dan bandar-bandar yang merentasi 6000 batu dari Teluk Parsi ke Lautan Atlantik; di Madrid dan Athens dan London dan Tel Aviv; di Mexico dan India dan Chile," tulis Andesen, "tempat warganegara digembleng menentang jenayah dan rasuah; di New York dan Moscow dan berbelas-belas kota Amerika Syarikat dan Rusia, rasa benci dan meluat dan kemarahan terhadap kerajaan dan kroni mereka tidak dapat dikawal lagi dan marak dengan sendirinya."

Setelah meninjau sebuah demi sebuah tempat yang tercetusnya protes, termasuk Menduduki Wall Street,  membandingkan protes semasa dengan revolusi dunia tahun 1968, dan mengingati semula Revolusi Perancis  tahun 1848, Andersen "singgah" di Rusia yang kini menyaksikan protes antirejim Rusia terbesar pada abad ke-21.  "Mereka membantah rasuah dan  kurangnya kebebasan dan demokrasi sebenar.  Hal ini demikian, kerana Rusia, sebagaimana kebanyakan tempat di dunia, tidak benar-benar secara keseluruhannya, tiba pada berakhirnya sejarah." 

Dalam mukadimah "2011 Person of the Year,"  Rick Stengel, menulis:  "Sejarah selalu muncul hanya dalam tinjauan kembali.  Peristiwa menjadi signifikan hanya apabila ditoleh kembali. Tidak ada sesiapa yang tahu bahawa apabila penjaja buah Tunisia membakar dirinya di dataran awam di bandar yang jarang-jarang kelihatan pada peta, beliau akan mencetuskan protes yang membawa kejatuhan diktator di Tunisia, Mesir dan Libya, dan menggelisahkan rejim di Syria, Yaman, dan Bahrain. Atau bahawa  semangat  pertentangan itu akan mendorong rakyat Mexico untuk bangkit menentang keganasan kartel dadah, rakyat Greece berarak menentang pemimpin yang tidak bertanggungjawab, rakyat Amerika menduduki ruang awam untuk memprotes ketidaksamaan pendapatan, dan Rakyat Rusia untuk menyusun diri mereka menentang autokrasi yang korup."  

Tambah Stengel, "protes kini berlaku di negara-negara yang penduduk berjumlah sekurang-kurangnya tiga bilion orang, dan perkataan protes muncul dalam akhbar dan dalam talian secara eksponen lebih banyak pada tahun lalu ini jika dibandingkan dengan mana-mana masa dalam sejarah."

Di mana-mana sahaja, jelas Stengel, "kelihatan orang ramai berkata mereka hilang kesabaran.  Mereka menentang; mereka menuntut; mereka tidak putus asa, bahkan ketika jawapan diberikan dengan kepulan gas pemedih mata atau ketulan peluru."  Meskipun difahami secara berbeza di tempat yang berbeza, bahas beliau, "idea demokrasi muncul di setiap perhimpunan. Asal-usul demokrasi 'orang ramai,' dan bermakna demokrasi ialah 'orang ramai yang memerintah.' Dan mereka melakukannya, jika tidak dalam peti undi, maka di jalan-jalan. Amerika ialah negara yang dibayangkan dalam protes, dan protes dalam sesetengah cara ialah kod sumber untuk demokrasi, dan bukti kekurangan demokrasi."

Protes menurut pemerhatian Stengel, menandakan kebangkitan generasi baru.  Di Mesir, 60 peratus penduduk adalah di bawah 25 tahun.  Teknologi penting, tetapi ini bukan revolusi teknologi. Rangkaian sosial tidak menyebabkan gerakan ini, tetapi rangkaian sosial menjadikan gerakan hidup dan saling berhubung. Beliau menegaskan, "teknologi membolehkan kita menonton, dan menyebarkan virus protes, tetapi ini bukan revolusi berdawai; ini ialah revolusi manusia, tentang hati dan minda, teknologi yang paling lama daripada segala-galanya." Di mana-mana sahaja tahun ini, orang ramai mengadu kegagalan kepimpinan tradisional dan sifat lembap institusi.  Ahli politik tidak boleh melihat melampaui pilihan raya akan datang, dan mereka enggan membuat keputusan yang sukar.  "Itulah satu sebab kami tidak memilih individu tahun ini." 

Protester pada kulit majalah Time, tulis Dan Gillmor,  "mengingatkan kita nilai Media Besar. Editor atasan mempunyai wang dan wartawan untuk memberikan makna isu, seperti Menduduki, meskipun mereka terlewat." Ulas Gillmor, "Time memilih Kurt Andersen untuk menulis renca utama memang bijak, bahkan penuh inspirasi. Beliau ialah penulis dan pemerhati yang bijak.  Menggunakan pemberitaan beliau sendiri dan berkajang-kajang bahan daripada sekurang-kurangnya 10 orang wartawan lain, beliau merangkumkan semua urutan cerita yang masih musuh yang sangat berbeza, tetapi berkait.  Tulisan beliau, lebih daripada pengumuman korporat dan editorial Time, memberi makalah itu keseriusan yang sepatutnya."

Namun, bagi Dan Gillmor, liputan masih tidak sempurna.  "Jika saya menulis makalah ini, saya bahkan lebih banyak menggunakan edge-in communications daripada orang ramai di tempat yang pembantah memaksa perubahan yang paling signifikan. Walaupun begitu, liputan ini mengingatkan apa yang kita dalam dunia media baru sepatutnya dalam minda kita, iaitu apa yang organisasi berita dengan poket yang dalam dapat lakukan, bahkan pada zaman keterhakisan Media Besar."  

Sebenarnya, seperti yang dibahaskan oleh Nina Power, ini bukan pertama kali Time memilih kumpulan sebagai tokoh tahunannya, majalah ini pernah melakunnya sebelum ini, iaitu "The American Soldier" pada tahun 2003. "The Good Samaritans" pada tahun 2005, dan "You" pada tahun 2006.  "Di sebalik imej  yang dibersikhan tentang pembantah generik terletak orang yang dipukul dan dibunuh oleh polis, tentera, dipenjarakan, terkena gas pemedih mata, diseksa. Paradoks protes adalah  bahawa untuk setiap perarakan yang perubahan amat sedikit, wujud peluang yang sama bahawa perarakan itu akan mengubah segala-galanya."

Memang tidak mudah untuk menggambarkan tokoh yang berkait dengan protes untuk diletakkan pada kulit hadapan. Dalam hubungan ini, Time,  dilaporkan, memilih pelukis jalanan di Los Angeles, Sherpard Fairey untuk mereka bentuk kulit hadapan "Person of the Year" yang menggambarkan pembantah tanpa nama mengamati daripada antara topi ketat dengan skap bandana.

Yang tidak kurang pentingnya, memastikan isu yang dinanti-nantikan  dapat diperoleh dalam pasaran seberapa awal yang boleh.  Saya sendiri mendapat naskhah ini pada 17 Disember lalu di kedai buku Time,  Pavilion, boleh dikatakan agak awal juga.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...