Artikel Popular

Monday, December 26, 2011

Gempar Buah Dada

ISNIN,  26  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Tahun 2011 secara keseluruhannya, bukan tahun yang baik dalam konteks hubungan antara Britain dengan Perancis. Meskipun kedua-dua negara itu (bersama-sama Amerika Syarikat dan Nato) menyerang Libya, krisis zon euro menyebabkan hubungan Britain dan Perancis selalu tegang.  Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy pernah menyuruh Perdana Menteri British, David Cameron diam berhubung dengan krisis zon itu yang berpanjangan.  Ketegangan berlanjutan apabila dalam sidang kemuncak Kesatuan Eropah baru-baru ini, Cameron mengheret London melawan zon euro,  atau  mengasingkan Britain daripada Eropah, meskipun tindakan beliau itu dianggap sebagai hak  Britain, dan Eropah tidak perlu marah 

Berikutan ura-ura agensi penarafan bercadang menurunkan gred Perancis, berlaku sekali lagi ketegangan antara kedua-dua negara itu apabila pemimpin Perancis mendakwa bahawa ekonomi negaranya lebih besar daripada negara jirannya itu.  Tindak-tanduk Perancis itu mendorong Boris Johnson menulis secara sinis, menyelitkan tulisannya itu dengan "katak" dan "lembu mati."  Kini, kedua-dua negara itu berhadapan dengan risiko penurunan gred. 

Pendek kata, ada-ada sahaja punca yang mengeruhkan hubungan antara kedua-dua negara itu, daripada pemimpin kepada rakyat.  Tatkala kebanyakan rakyat di dua buah negara tersebut bersiap sedia untuk menyambut kedatangan Hari Krismas, berlaku kegemparan  apabila dilaporkan  lebih 50,000 wanita British terlibat dengan bahan implan buah dada yang rosak. Mereka diberikan amaran tentang keselamatan kerana kerajaan Perancis bersedia untuk mengarahkan produk berkenaan dikeluarkan daripada  setiap wanita yang menanamkan produk ke dalam buah dada mereka.  

Bahan implan itu dibuat oleh syarikat Perancis, daripada silikon substandard mengikut gred perindustrian dan dieksport ke seluruh dunia.  Lapan kes kanser, termasuk satu kematian, secara tentatif dikaitkan dengan bahan itu di Perancis dan beratus-ratus wanita lain dilaporkan pecah dalam peranti itu. Di negara itu, dilaporkan kira-kira 30,000 wanita terlibat dengan bahan implan yang disediakan oleh Poly Implant Prothese (PIP) yang ditutup pada tahun lalu.  Dua minggu lalu, mereka dilaporkan menuntut keadilan.  Sementara ketua syarikat itu kini, diburu oleh Interpol atas alasan melakukan jenayah yang melibatkan "nyawa dan kesihatan."

Bahan implan buah dada mengheret Britain dan Perancis ke dalam kancah pertikaian. Berlaku percanggahan antara pihak berkuasa British dengan Perancis dari segi nasihat kepada wanita yang terlibat dengan bahan implan buah data yang rosak kerana dua kerajaan mengisytihakan mereka berbeza pendapat. Nasihat yang bercanggah ini menyebabkan wanita yang terbabit menghadapi dilema.  

Membesarkan buah dada, seperti yang dinyatakan oleh Laurie Penny, kini lazim dalam kalangan wanita di Amerika Syarikat dan United Kingdom, dan bilangannya meningkat, meskipun ketika kemelesetan ekonomi. Wanita seolah-olahnya  tidak lagi berbangga  dengan kecantikan semula jadi, walaupun mereka terpaksa menanggung kos dalam mencari harga diri yang rendah.

Ada orang memberitahu bahawa untuk membesarkan buah dada wanita sememangnya tidak sukar, yang sukar adalah untuk mengecilkannya. Kaedahnya ialah  dengan  "rawatan asli" tanpa memerlukan pembedahan.  Serahkan kepada lelaki  untuk melakukannya.  Namun, tidak dapat dipastikan setakat mana kebenarannya kerana tidak disokong oleh kajian saintifik.  Lagipun, nasihat itu disampaikan dalam bentuk  "jenaka" dalam kalangan lelaki.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...