Artikel Popular

Sunday, July 31, 2011

Behring Breivik: Serigala Tanpa Kawanan?


AHAD,   31 Julai 2011
Oleh:    ZULKIFLI  SALLEH



Pengeboman bangunan di Oslo pada Jumaat 22 Julai lalu menyebabkan orang Islam yang berada di bandar raya itu disumpah seranah,   yang terlintas dalam fikiran orang Norway ketika itu,  orang Islamlah yang melakukannya.  Ledakan dan serangan di Norway yang  dilakukan oleh  Anders Behring Breivik yang mengorbankan 76 nyawa turut melibatkan atau mencomotkan Islam.  Meskipun dia mengakui dirinya Kristian, tetapi ada yang cuba meraguinya, dan bahkan  menafikan bahawa dia penganut agama itu.  Behring Breivik bukan Kristian: Kita boleh menggelar seseorang itu "pengganas Islam," tetapi tidak ada "pengganas Kristian."  Dan, dia juga bukan fundamentalis Kristian; dia tidak mempercayai apa-apa "fundamental asas agama Kristian.


Tidak cukup dengan penafian bahawa Behring Breivik beragama Kristian, Islam pula turut dibabitkan dengan mengatakan bahawa dia anti-Islam.  Seperti yang Andrew Brown tulis dalam blognya bahawa Anders Breivik bukannya Kristian,  jelas pada detik kewarasannya, ideologinya tidak ada kena mengena dengan Kristian, tetapi berasaskan kengerian atavistik terhadap orang Islam dan meluat terhadap "puak Marxis."  Cerdik pandai Fox News bukan sahaja menghentam media arus perdana yang mengatakan Breivik adalah Kristian dan bersikap dwistandard,  bahkan salah seorang daripadanya, Jon Stewart mendakwa bahawa pengganas Norway itu bukan Kristian, tetapi Islam pengganas Fort Hood.


Walau bagaimanapun, supaya tidak dituduh cuba menyembunyikan fakta, tulisan ini juga perlu merujuk kepada yang menegaskan bahawa Breivik adalah Kristian, seperti yang ditulis oleh Mark Juergensmeyer  dalam The Huffington Post:  Banyak orang Kristian yang mengekot apabila Anders Breivik  pembunuh orang ramai digambarkan sebagai pengganas "Kristian."  Akan tetapi, dia memang Kristian.  "Nota untuk golongan konservatif bahawa Anders Breivik adalah Kristian," tulis Alex Pareene dalam War Room Salon.  Meskipun Breivik bukan penganut Kristian yang baik, seperti yang Jason Linkins tegaskan, peringatan bahawa pengganas Norway itu merupakan pelampau Kristian yang menyebabkan orang Kristian yang bukan pelampau bersikap mempertahankan diri. 


Sebagaimana dahsyatnya ledakan dan serangan tu, demikian juga  komen atau respons cerdik pandai dan liputan media arus perdana yang kebanyakannyaa mengaitkan tragedi itu dengan Islam. "Banyak  dalam media yang menjadi terhuyung-hayang berhubung dengan fakta bahawa yang lain begitu cepat untuk melaporkan dan melontarkan komen bahawa orang Islam terlibat, sebelum mendapat bukti yang jelas." Demikian perhatian Ujala Sehgal sehari selepas tragedi itu yang juga mengingatkan bahaya ideologi sayap kanan yang dianuti oleh Breivik kerana ideologi itu menyokong Holokaus dan menyokong kebanyakan anti-Semitisme serta rasisme lain di seluruh dunia.  


Editorial The Wall Street Journal yang kemudiannya dipetik secara meluas (juga dikritik) mengaitkan serangan di Norway itu dengan kartun yang  menghina Nabi Muhammad yang diterbitkan dalam akhbar Denmark pada musim gugur tahun 2005 yang membangkitkan kemarahan umat Islam.  Dan sekali lagi, akhbar milik Rupert Murdoch yang belum reda dengan skandal penggodaman telefon, seperti yang dibahaskan oleh Simon Cohen memperlihatkan kelakuan tidak beretika dalam liputan tentang tragedi di Norway itu: membabitkan  Islam dan menuding jari kepada al-Qaeda.  Glenn Greenwald yang menulis dalam Salon mengkritik sikap melulu media arus perdana, "al-Qaeda selalu dipersalahkan, bahkan apabila mereka tidak melakukannya, bahkan kerja itu dilakukan oleh orang Nordic, yang membenci Kristian, nasionalis sayap kanan Eropah.  Keganasan itu tidak lebih daripada kekerasan yang dilakukan oleh orang Islam sendiri."


"Daripada The Wall Street Journal kepada Washington Post kepada Fox News kepada The New York Times," tulis Robert Koehler tidak cuba mencungkil mengapa serangan itu berlaku, sebaliknya menyalahkan Islam."  Media utama benar-benar gagal kerana seperti biasa, untuk melihat isu keganasan itu sendiri, dan sebabnya, dan menurun kepada analisis sudut pandangan dan memihak.  "Sesetengah cerdik pandai, pemberita, dan penulis editorial menuding jari dan menyalahkan pengganas Islam!  Dan perkataan  itu meletup.


Banyak saluran  media berita korporat masih mencuba untuk menghimpunkan naratif koheren, tetapi hanya sedikit pengajaran penuh dengan maklumat.  Pertama, media melaporkan  bahawa serangan di Norway itu dilakukan oleh orang  Islam atau Arab, dan kemudian, tegas Michelle Chen, "Muslim 'Terrorists,' White 'Lone Wolves,' and the Lessons of Oslo,"  dengan cepat digantikan oleh  "serigala tanpa  kawanan."  Teori "serigala tanpa kawanan" mengenal pasti bahawa individu boleh melakukan tindakan keganasan, bahkan tanpa arahan kumpulan yang telah bertapak.  Maksudnya, dari segi agama, Behring Breivik bukan Kristian, dari segi politik, dia bukan anggota populis sayap kanan, walaupun dari segi sosial dan budaya, dia anti-Islam, antiimigran, dan antifahaman pelbagai budaya.


Selain wujud kecenderungan  mengaitkan keganasan di Norway  itu dengan Islam, mangsa yang terkorban yang terdiri pemuda Parti Buruh yang berkhemah di Pulau Utoya, dituduh oleh pengulas konservatif, Glenn Beck ,  "Belia Hitler."  Keceluparan Beck (memang dia terkenal dengan fiil seperti itu), mengundang kritikan, antaranya daripada Amy Davidson dalam blog New Yorker bahawa  Beck sendiri, seperti yang dapat dilihat, menolong kem Tea Party.  Akan tetapi, dia menunjukkan kepura-puraan, dalam kes ini, menopengi persoalan yang lebih serius.  "Mengapa menghina politik, dan kanak-kanak yang mahu terlibat dalam tadbir urus?  Kem tersebut wujud sejak tahun 1927, dan adalah terutamanya projek sayap pemuda, dan dengan itu, tentang kepimpinan berbanding dengan hanya dipimpin semata-mata."  Mungkin jika mereka ialah Belia Hitler, maka wajar mati?  tanya  Anne Applebaum yang pada penghujung penulisannya menambah bahawa selain tidak siuman, Breivik tidak menerima peraturan demokrasi di Norway, dan kini kita dapat melihat akibatnya.


O'Reilly    Beck, dan kumpulan, sukar memahami apakah kekejaman:  serangan di Norway atau pemberitaan media liberal, tegas Sadhbh Walshe dalam "The Right World:  Telling Left from Right" yang mengkritik Bill O'Reilly yang tidak selesa dengan media liberal yang melabelkan Breivik pelampau Kristian; dan Glenn Beck yang keliru tentang apa yang berlaku di sana kerana dia kelihatan berfikir bukannya pembunuh, tetapi orang yang dibunuh itu merupakan pelampau sayap kanan.


Seminggu selepas berlakunya serangan itu, pegawai atasan polis Norway dipetik sebagai berkata bahawa lelaki yang mengaku membunuh 76 orang  dalam pengeboman dan pembunuhan kejam di kem pemuda minggu lalu merupakan sosiopath yang bertindak tanpa subahat atau rangkaian pelampau berfikiran seperti sayap kanan, dan menyimpan rancangannya untuk dirinya sendiri lebih satu dekad.




Setelah terbukti bahawa serangan tersebut bukannya dilakukan oleh pengganas Islam, maka muncul naratif baharu bahawa Behring Breivik ialah orang gila atau psikopat atau serigala tanpa kawanan. Bahkan, peguamnya, Geir Lippestad, berkata bahawa dia percaya si Breivik itu tidak siuman.  Seperti yang diketahui, Behring Breivik menulis manifesto "2083:  A European Declaration of Independent" kerana dia percaya perang untuk menyelamatkan Eropah daripada fahaman pelbagai budaya akan berakhir dalam 72 tahun lagi. Dia juga memperincikan manifesto yang diposkan pada Internet dan dihantar kepada lebih 1000 alamat e-mel.  Hal ini membuktikan bahawa dia tidak  sendirian, banyak penerima, setiap seorang dialamatkan oleh Breivik "patriot Eropah Barat," yang difikirkan bersekutu dengan organisasi kanan jauh merentas benua Eropah. Dia juga dikatakan hanya seorang daripada sayap kanan sulit yang antifahaman pelbagai budaya, anti-Marxis, antifeminis, antimasyarakat Islam, "Knights Templar" yang ditubuhkan di London pada April 2002.


Oleh sebab Breivik ialah sayap kanan dan fundamentalis Kristian, maka sebarang anggapan bahawa dia "seekor serigala sahaja" menimbulkan keraguan.  Bahkan, pembunuh itu, seperti yang dibahaskan oleh  Conor Friedersdorf, berkongsi kepercayaan tertentu golongan antijihad, seperti  Pamela Geller, Robert Spencer, Mark Steyn, dan lain-lain, bahawa golongan liberal Eropah membolehkan orang Islam ambil alih dengan falsafah pelbagai budaya mereka.


Meskipun dilemparkan dengan pelbagai tuduhan, Breivik  tetap  mendapat sanjungan daripada Francesco Speroni, seorang bekas menteri dalam kerajaan Silvio Berlusconi, mempertahankan pemikiran pembunuh orang ramai rakyat Norway itu.  Speroni dalam wawancara pertunjukan radio popular, anggota utama Northern League, pakatan konservatif Berlusconi berkata:  "Idea Breivik adalah untuk mempertahankan peradaban Barat.


Dalam Time: "Norway Attacks:  The Worrying Rise of the Lone-Wolf Terrorist,"  William Boston menyatakan bahawa meskipun Norway tidak menganggotai Kesatuan Eropah, negara itu meminta pegawai Kesatuan Eropah untuk menyiasat dakwaan Breivik tentang rangkaiannya dengan pihak di luar negara itu.  Breivik mendakwa bahawa dia mempunyai hubungan yang meluas dengan English Defence League (EDL), misalnya - membuktikan bahawa dia bukan sendirian.  Boston memetik Janne Kristiansen, ketua siasatan dalam negara, Perkhidmatan Keselamatan Polis yang berkata:  "Breivik bukannya pengganas seorang diri.  Dia hanya seekor serigala yang sangat khusuk untuk tinggal di bawah perkhidmatan keselamaan dengan mendahului kehidupan sah."  




Bruce Bawer yang tulisannya dikagumi oleh Breivik, menulis selepas serangan Norway itu dalam The Wall Street Journal,  "beberapa orang daripada kita yang menulis tentang kebangkitan Islam di Eropah memberi amaran bahawa kegagalan para pemimpin politik arus perdana untuk  memberi respons menangani cabaran itu akan melahirkan pelampau, seperti Breivik.  Merujuk bahagian pertama manifesto itu, hujah Bawer jelas bahawa Breivik adalah kedua-duanya, iaitu terlalu pintar dan mempunyai pembacaan yang amat dalam tentang sejarah Eropah dan sejarah idea moden.  Hanya bahagian kedua, memperlihatkan dia benar-benar tidak siuman.  "Dalam manifestonya," tulis Bawer, "yang ditulis dalam bahasa Inggeris sedemikian baik bahawa seseorang berasa kagum, sama ada dia mempunyai pembantu penutur asli."


Dari segi tindakan, Anders Behring Breivik hanya seekor serigala, tetapi dari  rangkaian, dia serigala yang mempunyai kawanan.   Salakannya yang nyaring itu bukan sahaja mengaum di  seluruh Eropah, bahkan akan disambut oleh salakan serigala lain:  "Eurabia"  - ketakutan kemungkinan Islam mengambil alih Eropah.   Kesan serangan yang dia lakukan itu sungguh mendalam, iaitu membangkitkan Islamofobia bukan sahaja di Eropah, tetapi juga di Amerika Syarikat. Atau memetik Seumas Milne, "dalam keberangannya terhadap orang Islam, pembunuh  Norway itu bukannya orang yang menyendiri" - seakan-akan membayangkan sesuatu yang teruk akan berlaku pada masa hadapan.


Sekurang-kurangnya,  walaupun dituduh tidak siuman,  dia memenangi pertarungan ideologi yang mengingatkan ancaman Islam  di Eropah, dan dengan itu, orang Islam mesti diusir dari bumi Eropah.  Dan, dia melakukan sesuatu dengan nekad yang orang lain sebelum ini  belum tergerak  untuk melakukannya.  






























































Friday, July 29, 2011

Neo-Nazi Berkeliaran di Eropah


JUMAAT,  30 Julai 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Mereka jarang-jarang sekali dikenali  ideal Aryan Third Reich.  Tanda-tanda baru Nazisme menemui sarang yang tidak boleh dipercayai, iaitu Mongolia, seperti yang dilaporkan oleh The Guardian, menunjukkan jauhnya ideologi  ini meninggalkan akar umbinya.  Sekali lagi, ultranasionalis muncul daripada ekonomi yang miskin dan menyasarkan pihak luar.  Kali sasaran utama datang dari China, kuasa yang meningkat ke selatan.  Kumpulan, seperti Tsagaan Khass atau Swastika Putih, menggambarkan diri mereka sebagai patriot membela warganegara biasa dalam menghadapi jenayah asing, ketidaksamaan yang menjadi-jadi, sikap tidak acuh politik dan rasuah.
Tidak dapat dipastikan akan kebenaran kewujudan neo-Nazi di Mongolia kerana selepas itu, Michael Aldrich menegaskan  bahawa negara itu merupakan kisah kejayaan yang tidak disanjung tentang hak asasi manusia Asia.  Menggambarkan Nazisme dan xenofobia adalah memang tidak adil dan tidak mewakili.
Walau bagaimanapun, bagi Eropah itu sendiri mereka tidak perlu bepergian jauh untuk melihat neo-Nazi kerana segala-galanya berkeliaran di hadapan mata mereka.  Tatkala Norway terpaksa bersusah payah untuk memahami tindakan keganasan Anders Behring Breivik, Channel 4 News membicarakan neo-Nazi yang diperbaharui yang memberikan amaran gerakan puak kanan jauh tersusun dan berkembang.  Berikutan pengeboman pejabat kerajaan di Oslo dan Pulau Utoya yang dilakukan oleh Behring Breivik, yang dianggap  neo-Nazi.
Tragedi yang berlaku di Norway pada Jumaat lalu, membangkitkan kesedaran akan kewujudan neo-Nazi bukan sahaja di negara itu, tetapi di Eropah kerana ideologi itu mula menjalar di benua itu, tetapi jarang-jarang diberikan perhatian.  "Neo-Nazisme merupakan ancaman keganasan yang tersorok di Eropah, tulis Khaled Diab, setahun lalu.  Ulang tahun kelima serangan pengganas pada 7 Julai di London, menumpukan semula perhatian terhadap keganasan orang Islam.  Sebaliknya, keturunan ideologi Hitler yang semakin menjadi berani dalam beberapa tahun kebelakangan ini, berkembang, jika masih kecil, ancamannya secara keseluruhannya tidak disedari dan kurang dilaporkan.  Contoh ancaman ini ialah kumpulan neo-Nazi Belgium yang anggota telah ditangkap pada tahun 2006 kerana melakukan beberapa jenayah.  Dari segi kepaduan sosial, kumpulan neo-Nazi berminat untuk menyemaikan benih perbalahan dengan melaksanakan operasi "bendera palsu" untuk membunuh ahli politik puak kanan Flemish Filip Dewinter dengan harapan kesalahan dilemparkan terhadap orang Islam.
"Banyak orang yang menyertai neo-Nazi dan ideologi puak kanan jauh yang lain berasa dilucutkan kuasa dan dipinggirkan, dan percaya bahawa cara untuk mengatasi masalah ini dengan berpatah balik ke masa lalu yang "tulen" yang indah, berasaskan  kaum dan pada takat tertentu berasaskan agama."

Khaled Diab juga memberikan amaran kemungkinan neo-Nazi akan melakukan serangan pada masa akan datang:  "Pastinya, puak  neo-Nazi belum lagi melancarkan serangan yang sungguh luar biasa, seperti yang dilakukan di Madrin dan London.  Akan tetapi, ini tidak bermakna bahawa mereka tidak mahu melakukannya atau tidak mahu merancang untuk melakukannya."  Dan, peringatan itu akhir menjadi kenyataan, dilakukan seorang diri  dan Norway dijadikan sasaran.


Pada Januari 2008, telah ditonjolkan kebangkitan neo-Nazisme di Eropah Timur dan Rusia.  Tujuh puluh lima tahun selepasa Hitler berkuasa di Jerman pengaruh ideologinya yang mendatangkan keburukan hidup dengan bilangan yang meningkat dari segi serangan rasis yang dilaporkan, terutamanya di negara bekas Kesatuan Soviet. Di Rusia, salah satu kawasan pergolakan utama untuk kegiatan neo-Nazi, aktivis hak asasi manusia menganggarkan wujud kira-kira 70,000 skinheads.  Sementara di republik Baltic, iaitu Estonia, Luthuania, dan Latvia, kumpulan neo-Nazi kebanyakannya terpinggir daripada politik arus perdana.  Negara lain yang menyaksikan kebangkitan neo-Nazi, meskipun kecil, ialah  Ukraine, Slovak, Republik Czech, Poland, dan Hungary.  Negara demokrasi yang lama wujud di Eropah Barat juga didapati tidak kebal daripada sebatan neo-Nazi dengan serangan dan gerakan kanan jauh di negara, seperti Sepanyol dan Greece.  "Merentas benua itu, gambaran kelihatan secara meluas adalah sama, puak kanan jauh menarik golongan belia yang menganggur, tidak terpelajar dan mereka yang menentang imigrasi.  Akan tetapi, sedikit bukti bahawa parti sayap kanan melampau akan berjaya menarik sokongan popular yang melampau.


Kira-kira tiga tahun lalu, Mary Nichols menulis  kewujudan neo-Nazisme di Eropah bahawa kumpulan politik dan parti pelampau selalu membiak subur di wilayah perampasan atau pelucutan ekonomi, termpat penduduk berasa terasing daripada pihak berkuasa, dikecewakan oleh  politik arus perdana, dan mencari orang yang dipersalahkan yang selesa untuk nasib malang mereka.  Keadaan ini mungkin bermakna bahawa satu hasil kemelesetan ekonomi global semasa dan impaknya yang bertambah buruk terhadap kawasan yang telah pun kekurangan atau lemah mungkin pengembangan neo-Nazisme yang mula mencengkam beberapa kawasan luar bandar bahagian Timur Jerman dan membikin kehadirannya dirasai dn negara lain di Eropah.


Di Jerman, menurut pemerhatian Mary Nichols, penyebaran neo-Nazisme, terutamanya di wilayah timur luar bandar bekas kawalan Komunis semakin menimbulkan masalah sepanjang dekad lalu.  Meskipun organisasi Nazi secara rasminya diharamkan di Jerman sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, kejelasan dan penguatkuasaan undang-undang yang lemah membolehkan bilangan besar kumpulan neo-Nazi yang kebanyakannya kecil muncul, dan dianggarkan pada tahun 2001 bahawa ini mempunyai jumlah keanggotaan sekurang-kurangnya 50,000 orang.  Sementara bilangan neo-Nazi, seperti yang dilaporkan oleh Time, yang mudah melakukan kekerasan meningkat daripada 600 orang kepada 5600 orang.  Dalam kalangan neo-Nazi militan ialah kumpulan Nasionalis Berautonomi yang mempunyai 1000 orang anggota. 


Di Jerman, seperti yang dilaporkan oleh The Telegraph, kumpulan tegar neo-Nazi Parti Demokratik Nasional (NPD) merancang untuk membina Fourth Reich.  Anggota menyapa antara satu sama lain dengan tabik Heil Hitler, menyanyikan lagu yang diharamkan, iaitu Third Reich, dan menikmati idea Holokaus baru terhadap orang Yahudi.  Di kampung yang sunyi, Lutheen di wilayah Mecklenburg bahagian Timur Jerman, dilaporkan wujud kumpulan remaja lelaki yang berpakaian kemas dan rapi dalam kemeja-T jingga bercampur dengan khalayak dan mengagihkan belon serta risalah.  "Kemeja yang mereka pakai, benar-benar sama warnanya dengan yang dipakai oleh Canselor Angela Merkel yang konservatif semasa rapat umum kempen.  Akan tetapi, tiada sesiapa yang terbuka idea bahawa lelaki itu semuanya neo-Nazi hingga mereka beredar dan orang ramai mempunyai masa untuk mengkaji propaganda keji mereka.


Pilihan raya Sweden pada September tahun lalu,  cerita kemenangan besar  ialah kejayaan Demokrat Sweden (SD), parti kanan jauh yang antiimigran yang muncul daripada perkumpulan neo-Nazi pada tahun 1980-an yang memenangi 20 kerusi.  Kasar, kadangkala hujah rasis secara terbuka sesetengah calon SD semasa kempen mengejutkan pendapat orang Sweden arus perdana.  Kira-kira 10,000 orang Sweden, pendirian politik yang berbeza, mengadakan rapat umum di Stockholm untuk menentang parti itu apabila kejayaannya menjadi jelas.


Balik kepada Anders Brevik, yang dituduh merancang dan melancarkan serangan ganas di Oslo dan Pulau Utoya, yang bercita-cita mengubah dunia dan merancang revolusi. Hingga Jumaat lalu, dunia memang tidak mengetahui apa-apa tentang Anders Breivik.  Dia dikatakan salah seorang daripada 22,000 anggota forum Web  pro-Nazi, terbesar di Scandinavia.  Dengan serangan yang dahsyat di bumi Norway itu, maka wujud persoalan bahawa neo-Nazisme ialah  kegilaan baru Eropah.




"Setakat ini, suspeks Anders Behring Breivik,"   tulis James Ridgeway dalam Mother Jones, lebih berhubung langsung dengan arena neo-Nazi sezaman di Scandinavia.  Dalam manifestonya dan laman Web yang dia secara tetap poskan, Breivik memperlihatkan dirinya sebagai Kristian konservatif dan waris salibi Knights Templar.  Pada masa yang sama, ideologi Breivik dilaporkan dipengaruhi oleh Norwegian Defence League yang anti-Islam, antiimigran,  dan rasis, dan inspirasi ideologinya, English Defense League."  

Kini, lebih-lebih lagi dengan serangan di Norway jelas bahawa neo-Nazi sedang berkeliaran di Eropah mencari pengikut dan mangsanya.  Dan, tiba-tiba banyak perhatian diberikan terhadap ancaman neo-Nazi di benua itu.  Memang sukar dibayangkan bagaimana Norway, negara yang aman dan terbuka, akhirnya menjadi sasaran keganasan neo-Nazi.




































Wednesday, July 27, 2011

Perubahan Cuaca Ancam Kestabilan

KHAMIS,  28  Julai 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Buruh kanak-kanak meningkat di Pakistan dalam setahun sejak negara itu dilanda banjir terburuk kerana sesetengah keluarga miskin terus kehilangan mata pencarian mereka dalam ekonomi tempatan  yang menunjukan sedikit tanda pemulihan.  Seperti yang dilaporkan oleh The Independent,  banjir monson telah menenggelamkan Pakistan pada skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dengan 10 tahun hujan turun dalam masa seminggu.  Sebanyak 2000 orang terkorban dan 20 juta yang lain terjejas.  Sebanyak dua juta rumah dan 10,000 buah sekolah  musnah.  
Ketika Pakistan dilanda banjir terburuk pada tahun lalu, meskipun air telah surut di barat laut, impaknya amat berat terhadap situasi keselamatan, tulis Rania Abouzeid dalam Time pada November tahun lalu bahawa bayang Taliban menjadi panjang.  "Banyak orang dari kampung terpencil ini yang kehilangan segala-galanya kerana banjir dan terpaksa datang ke kota untuk mencari pekerjaan.  Mereka ini mudah terdedah dan merupakan situasi sempurna yang Taliban tunggu.  Wujud lohong, ketakutan adalah di sana, dan lohong mungkin diisi dengan mudah oleh janji wang  oleh Taliban.
Imran Khan, pemain kriket yang beralih kepada ahli politik pernah memberitahu bahawa banjir yang melanda mengancam kestabilan dalaman Pakistan, kecuali Barat menghulur bantuan segera.  "Anda melihat 20 juta orang yang kelaparan, orang ramai yang marah, anda akan lihat negara yang lemah," jelas beliau.  "Keadaan ini akan mengubah Pakistan, seperti 9/11 mengubah dunia.  Negara ini tidak boleh bergerak kerana kerajaan kita yang korup dan lemah terdedah."  Meskipun beliau menyerlahkan impalikasi keselamatan akibat bencana, Imran Khan mencemuh pemimpin Pakistan kerana cuba menakutkan negara penderma supaya percaya bahawa jika mereka tidak menghulur bantuan, Taliban akan mengambil kesempatan.  "Ini cara mudah untuk mendapat wang daripada rakyat kami sendiri yang sengsara.  Sememangnya, karut untuk mengatakan bahawa orang ramai yang terselamat daripada banjir mengambil senjata dan berjuang untuk Taliban.  Bahaya sebenar datangnya daripada ancaman yang lebih besar, iaitu kestabilan keseluruhan negara kami."  
Dalam "Pakistan One Year After the Floods,"  Christian Parenti menulis bahawa bagi mereka yang prihatin tentang impak manusia akibat perubahan cuaca, Pakistan yang dilanda banjir, menjadi pengarak, amaran, dan ujian.  "Di Pakistan, seseorang dapat melihat bagaiman krisis cuaca dituras menerusi masalah sosial yang wujud terlebih dahulu, dan dengan itu, menuntut respons bahawa rangkaian strategi pengurangan bahawa orang yang berkempen cuaca pada amnya, menekankan program penyesuaian keadilan sosial.  Lagipun, sememangnya, kemiskinan melampau yang menyebabkan banyak rakyat Pakistan sangat mudah terjejas pada cuaca yang melampau."



Dalam wawancara dengan Martin Bashir daripada MSNBC, Parenti menegaskan bahawa perubahan cuaca muncul di dunia membubuhi krisis ekonomi dan alam sekitar.  Di negara, seperti  Afghanistan, Kyrgyzstan, dan Somalia, kemarau dan banjir yang berkait dengan perubahan cuaca telah pun memburukkan lagi konflik awam yang sedia berlaku dan membangkitkan rusuhan kaum.  


Para pegawai pada debat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendengar amanat yang menggerunkan tentang impak perubahan cuaca terhadap keamanan antarabangsa dan menggesa tindakan global untuk menangani konflik masa depan akibat kepanasan planet.  Achim Steiner, Setiausaha Rendah PBB, dipetik sebagai berkata, "Skala dan kadar tindakan perubahan cuaca sebagai pengganda yang  boleh mengakibatkan kesan serentak dan tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap di manakah kita akan tinggal, menanam tumbuhan makanan, mengekalkan infrastruktur kita yang berbina, atau bergantung padaa ekosistem berfungsi."  Beliau memberikan amaran bahawa kuantiti dan kualiti sumber manusia akan semakin menanggung risiko daripada perubahan cuaca dan impaknya.  "Tanpa tindakan yang luas dan  secara kerjasama, titik hujung tidak boleh ditarik balik boleh berlaku dengan mungkin tiba-tiba dan tiba-tiba mendadakn mengejutkan komuniti dan negara.  Keadaan ini boleh menyadung ketegangan dan huru-hara ke dalam konflik dan peperangan." 
Selepas Jerman dan penyokongnya menghabiskan banyak masa dalam perundingan sebelum Majlis Keselamatan mengeluarkan kenyataan ringan tentang kesan perubahan cuaca terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa, seperti yang dilaporkan oleh  Evelyn Leopold.  Kira-kira 60 buah negara bercakap, kebanyakannya memberikan tumpuan terhadap kemusnahan yang perubahan cuaca kenakan di wilayah mereka dan perlu dihentikan.  Pada 20 Julai lalu, kenyataan Majlis Keselamatan mengaitkan untuk pertama kali "kemungkinan kesan buruk perubahan cuaca" dengan keamanan dan keselamatan antarabangsa dan meminta Setiausaha Agung melaporkan  implikasi keselamatan perubahan cuaca.  Pada mulanya, kenyataan yang keras menyediakan hubungan yang jelas antara perubahan cuaca dengan konflik, memetik kemarau, penghijrahan yang bertambah, kekurangan makanan, dan potensi bencana lain. 


Berikutan berlakunya kebuluran di Afrika Timur, Rajiv Shah,  pentadbir Agensi Amerika Syarikat untuk Pembangunan Antarabangsa (USAID), memberitahu The Huffington Post mengancam kestabilan rantau itu.  Beliau memberitahu bahawa krisis makanan di negara, seperti Etiopia, Kenya, dan Somalia meletakkan berjuta-juta nyawa pada risiko, dan mengancam nyahstabil seterusnya wilayah berkocak di dunia.


Pada minggu lalu, PBB mengiystiharkan dua kawasan kebuluran di selatan Somalia, menyatakan krisis makanan terburuk di Afrika sejak tahun 1991 -1992.  Faktor segera krisis tersebut ialah kegagalan berulang-ulang hujan bermusim di seluruh Tanduk Afrika.  Akan tetapi, Carne Ross menegaskan bahawa akan diperburukkan lagi oleh ketidakstabilan yang berpanjangan di Somalia, yang kerajaan yang diiktirafkan (dan dilantik) di peringkat antarabangsa mengawal beberala blok ibu negara itu, iaitu Mogadishu.  Tempat-tempat lain di negara itu dikuasai oleh kumpulan lain, termasuk militia al-Shabaab. Bagi kebanyakan orang Somalia, kebuluran menunjukkan jurang yang amat dalam yang telah wujud dan kesengsaraan berterusan kemiskinan dan ketidakstabilan yang hina.  Dasar antarabangsa untuk menstabilkan Somalia gagal keseluruhannya.


Robert D. Kaplan adalah antara penulis yang melihat alam sekitar sebagai salah satu faktor yang mengancam kestabilan.  Dalam bukunya, The Ends of the Earth:  A Journey to the Frontiers of Anarchy - From Togo to Turkmenistan, From Iran to Cambodia, daripada kembaranya ke Afrika Barat, Mesir, Turki, Iran, Caucasus, Asia Tengah, India, dan bahagian Asia Tenggara, beliau menegaskan tempat yang kebanyakan konflik sosial, politik, dan alam sekitar dipertontonkan bermulanya abad ke-21.  Ramalan beliau berasaskan hujah bahawa pertumbuhan penduduk, penghijrahan, kemerosotan alam sekitar, ketaksamaan ekonomi yang semakin menjad-jadi, dan faktor lain bergabung untuk menundukkan negara miskin, terutamanya negara yang ditakrifkan oleh geografi politik yang ketinggalan zaman.  Bahkan, semasa berbaring di atas katil di sebuah hotel di Danane beliau membayangkan:  "Kemungkinan Perang Dingin kedua  mungkin berada di atas diri kita, iaitu perjuangan yang berpanjangan antara diri kita dengan syaitan jenayah, tekanan penduduk, kemerosotan alam sekitar, penyakit, dan konflik budaya."
Sementara dalam bukunya, The Coming Anarchy:  Shattering the Dreams of the Post Cold War, Kaplan mencadangkan inilah masa untuk memahami "alam sekitar dari segi isu keselamatan negara pada awal abad ke-21.  Politik dan impak strategik akibat pertambahan penduduk, penyakit  yang merebak, pembasmian hutan dan keterhakisan tanah,  pengurangan air, pencemaran udara, dan kemungkinan kenaikan paras laut, wilayah yang sesak penduduk, seperti Delta Nil dan Bangladesh, perkembangan yang akan menyebabkan penghijrahan massa, dan seterusnya, mengapi-apikan konflik kumpulan akan menjadi  teras cabaran dasar luar.  Beliau memetik makalah Thomas Fraser Homer-Dixon yang diterbitkan dalam jurnal International  Security  pada musim luruh 1991 bahawa perang dan keganasan awam pada masa depan akan sering tercetus daripada kekurangan sumber, seperti air, tanah tanaman, hutan, dan ikan.  


Thomas Homer-Dixon yang menulis "Disaster at the Top of the World," mengakui bahawa bukan mudah untuk menyelesaikan masalah perubahan cuaca.  Dari segi global, tahun 2010 pada laluan ke tahun yang paling panas dari segi rekod.  Di wilayah seluruh dunia, menunjukkan  banyak sekali bahawa cuaca bumi berubah dengan cepat, seperti banjir lumpur yang mengakibatkan kemusnahan di China dan minggu-minggu kepanasan yang seolah-olahnya membakar di Rusia.  Akan tetapi, di ibu negara dunia, gerakan tentang dasar cuaca hampir terhenti.


Dasar cuaca adalah kunci grid, dan wujud pada hakikatnya tiada peluang untuk menembusinya.  Tulis  Homer-Dixon, "Banyak faktor bergabur untuk mewujudkan situasi ini. Manusia yang terkenal kerana miskin bertindak balas terhadap masalah yang berkembang secara meningkat,  Dan kebanyakan kita tidak ghairan menukar gaya hidup kita dengan mengurangkan secara ketara penggunaan tenaga kita.  Akan tetapi, ahli sains sosial mengenal pasti alasan utama yang lain.  Perubahan cuaca menjadi isu yang dipolarisasikan dari segi ideologi... Kepentingan istimewa yang sangat berkuasa, seperti industri arang batu dan minyak telah belajar bagaimana untuk menyekat gerakan tentang dasar cuaca dengan mengeksploitasi ketakutan orang ramai rasakan apabila identiti mereka diancam."




Beliau mengingatkan dalam kemungkinan besar senario, perubahan cuaca akan menyebabkan beberapa jenis gangguan wilayah atau benua, seperti kegagalan tanaman utama; gangguan akan lata seluruh dunia yang sistem ekonomi dan politik  berhubung dengan erat untuk menghasilkan kesan global.  Banjir yang teruk menggendalakan berjuta-juta orang di negara yang paling miskin, seperti yang kita lihat di Pakistan,  mungkin membolehkan puak radikal merampas kuasa dan mengheret wilayah yang penting dari geopolitik ke kancah peperangan. Atau kemarau boleh menyebabkan wilayah yang kritikal dari segi ekonomi, seperti dataran China Selatan kehabisan rizab airnya, memaksa orang ramai meninggalkan kawasan itu beramai-ramai dan mencetuskan krisis yang bergema menerusi ekonomi dunia.


Selain mewujudkan ketidakstabilan, perubahan cuaca juga diikaitkan dengan beberapa wabak penyakit.  Wabak yang terjadi, kedua-dua dalam kalangan rodensia dan manusia, dikaitkan dengan keberubahan cuaca.


Perbincangan dalam makalah ini  mungkin tidak akan sempurna tanpa merujuk John Bellamy Foster yang boleh dikatakan banyak menulis tentang ekologi dan alam sekitar.  Dalam "Why Ecological  Revolution?" yang diterbitkan dalam Monthly Review, beliau berhujah bahawa kegagalan ekologi global boleh dianggap berpunca daripada keengganan golongan yang berkuasa untuk menangani akar umbi masalah ekologi dalam pengeluaran kapitalis dan mengakibatkan perlunya revolusi ekologi dan revolusi sosial.  Bagi beliau, masyarakat egalitarian mesti mentakrifkan perjuangan sosial masa kini; bukan hanya kerana dari segi ekologinya perlu untuk kelangsungan manusia, tetapi juga kerana dari segi sejarahnya perlu untuk pembangunan kebebasan manusia.  Hari ini, kita berhadapan dengan cabaran untuk menempa revolusi organik baru yang perjuangan untuk kesamaan manusia dan untuk bumi yang akan muncul kelak.  Wujud hanya satu masa depan: iaitu pembangunan manusia mapan.


Selalunya konflik antarabangsa berpunca daripada pertikaian sempadan, tuntutan  bertindih terhadap wilayah atau pulau, dan perebutan sumber, terutamanya minyak dan kini, termasuk air.    Namun, punca konflik semakin luas kerana melibatkan tapak warisan, seperti yang berlaku antara Thailand dengan Kemboja dan pemujaan wira, seperti Alexander the Great yang mencetuskan pertikaian antara Greece dengan Macedonia.  Juga yang melibatkan  warisan seni dan tarian, seperti yang terjadi antara Indonesia (lebih tepat sebilangan rakyat Indonesia) dengan Malaysia.   Kini, alam sekitar dan perubahan cuaca turut mencetuskan konflik antarabangsa dan mengancam kestabilan serantau. 
























Norway: Pertembungan Peradaban?



RABU,  27 Julai 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Dua serangan yang dilakukan oleh orang yang sama, iaitu Anders Behring Breivik, pada mulanya mendorong sesetengah menuduh perbuatan itu dilakukan oleh pejuang jihad Islam.  Respons tidak masuk akal, tulis Christopher Hitchens  apabila banyak "pakar" mengisytiharkan serangan Oslo itu adalah angkara pengganas Islam.  Meskipun sepatutnya sayap kanan Eropah dipersalahkan atas berlakunya serangan itu, seperti yang ditegaskan oleh Joshua   Foust,  respons awal adalah terhadap al-Qaeda yang dituduh menjadi dalang. 

Pembunuh orang ramai itu didapati menghantar e-mel dokumen  setebal 1518 halaman kepada kawan-kawannya sebelum dia melancarkan serangan keganasan yang teruk di Norway, yang dia mendesak orang lain mengikuti contohnya dengan membunuh sesiapa sahaja bertolak ansur dengan Islam, termasuk bekas Perdana Menteri Britain Gordon Brown dan Putera Charles yang dianggap "pengkhianat." 

Melalui komen yang dia tulis pada laman Web menunjukkan dia sangat tidak menyukai fahaman pelbagai budaya, budaya imigran, idea sayap kiri atau Marxis, dan merasakan bahawa nilai Norway tradisional diancam oleh pendukung fahaman pelbagai budaya, orang Islam, dan politik sayap kiri.  Dalam hubungan ini, Jalees Rehman, M.D, melihat komen Breivik itu benar-benar bercirikan gerakan politik kanan jauh di Eropah, dan dengan itu, besar kemungkinan bahawa tindakan keganasannya mungkin sebahagiannya dipengaruhi oleh ideologi pelampau sayap kanan.

GlobalPost menganggap tindakan dahsyat yang dilakukan oleh Anders Behring Breivik nampaknya didorong oleh kebencian terhadap orang Islam dan rasa benci terhadap kepelbagaian budaya. Meskipun Breivik menjauhkan dirinya daripada politik tersusun, retoriknya meletakkan parti-parti kanan jauh menjadi tumpuan utama.  GlobalPost  meringkaskan apa yang berlaku terhadap puak  kanan melampau di beberapa negara Eropah utama, iaitu Bulgaria, Perancis,  Jerman, Greece, Hungary, Belanda, Rusia, Sweden, dan United Kingdom.  Demikian juga  Ujala Sehgal yang menganggap serangan dahsyat itu sebagai kebangkitan  fahaman pelampau sayap kanan di Eropah.  Apabila dunia percaya bahawa serangan tersebut adalah tindakan keganasan Islam antarabangsa, pemimpin negara, daripada Barack Obama kepada David Cameron, semua menyatakan bahawa mereka berdiri bersama-sama Norway dalam perjuangan, Aslak Sira Myhre yang menulis dalam The Guardian bertanya:  Yang mana satu perjuangan sekarang?  Semua pemimpin Barat mempunyai masalah yang sama dalam sempadan mereka sendiri.  Adakah mereka kini melancarkan serangan terhadap faham pelampau puak kanan?  Terhadap Islamofobia dan rasisme?

Tidak memadai dengan tuduhan melulu terhadap Islam, Bruce Riedel muncul dengan tafsiran pertembungan peradaban di Oslo bahawa fundamentalis Kristian yang matlamat adalah sama dengan al-Qaeda yang menamatkan dialog dan kembali kepada cara Zaman Pertengahan.  "Tragedi yang dahsyat di Norway mengingatkan bahawa puak pelampau Kristian dan Islam, kedua-duanya mencri pertembungan peradaban.  Mereka membiakkan kebencian terhadap satu sama lain, dengan harapan memusnahkan dialog dan perdamaian demi mewujudkan semula fantasi Zaman Pertengahan mereka."

Tambah Riedel, "pejuang jihad berasa seronok terhadap pembunuhan mencerminkan pertemuan puak pelampau dalam kedua-dua komuniti dalam mengalu-alukan pertembungan antara Islam dengan Kristian.  Kedua-dua terlalu ekstrem mahu dunia dipolarisasikan ke dalam kem berperang.  Untuk mereka perdamaian antara Islam dengan Kristian adalah musuh, dialog bahaya yang patut dihalang dengan apa-apa sahaja."  Selain itu, puak pelampau pada kedua-dua belah pihak mahu dunia dipolarisasikan.  Dalam fantasi al-Qaeda, Kristian dan Yahudi tidak akan hidup di dunia Islam; Amerika dan Barat akan diusir keluar dari semua tanah yang dari sejarah kepunyaan Islam, dari Sepanyol ke Palestin ke Kashmir.  Dalam fantasi puak kanan pelampau, Islam akan diusir keluar dari Eropah dan Amerika.


Memilih Norway sebagai kancah pertembungan peradaban nampaknya berlebih-lebihan, meskipun berlaku tragedi ngeri baru-baru ini yang berpunca daripada kebencian terhadap Islam dan fahaman pelbagai budaya. Selain itu, Behring Brevik benci akan Marxisme atau idea sayap kiri, senarai golongan yang dibenci, seperti yang dinyatakan manifestonya yang tebal itu, merangkumi Islam dan bukan Islam, dan serangan dahsyat yang dilancarkannya bukannya terhadap orang Islam.

Serangan ini, tulis Mohammad Usman Rana, "mengubah negara saya dan bagaimana dunia menanggapi negara yang biasanya aman, indah, dan harmoni yang selalu menduduki tempat di atas dalam penarafan kualiti hidup Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).  Serangan ini, menurut Behring Breivik, adalah kerana ciri masyarakat Norway: terbuka, progresif, dan yang paling penting pelbagai budaya."

Beliau tidak menjangkakan Norway merupakan negara Eropah pertama diserang  sedemikian rupa oleh pelampau antipelbagai budaya.  Hal ini demikian kerana Norway berfungsi dengan baik, masyarakat pelbagai budaya.  Sikap politik terhadap golongan minoriti adalah bersifat integrasi dan inklusif.  Jelas beliau, di ibu negara Oslo, 20 - 25 peratus penduduk mempunyai latar belakang bukan orang Norway.  Imigran dari Pakistan, Turki, dan Maghribi pada akhir tahun 1960-an dan awal 1970-an memperkenalkan Islam di Norway, dan mencerminkan komposisi semasa penduduk Islam.  Angka terbaharu menunjukkan bahawa jumlah penduduk Islam di Norway adalah antara 120,000 hingga 150,000 orang.  Norway berbeza daripada negara, seperti Denmark, Belanda, Switzerland, dan Perancis yang antifahaman pelbagai budaya memperoleh kuasa politik dan yang ketegangan antara golongan minoriti dengan majoriti adalah sengit.

Yang boleh disimpulkan daripada tafsiran dan penjelasan Usman Rana, Norway bukan bumi yang subur untuk mencetuskan pertembungan peradaban.  Demikian juga bagi Keshi Kashyap yang mencintai negara itu.  "Saya tertarik kepada tiadanya kebimbangan budaya. Ketenangan datangnya daripada penjagaan kesihatan yang baik, wang minyak, dan adalah kesan leluhur anda yang tinggal di sini  sejak  beribu-ribu tahun."

Samuel Huntington pernah mengingatkan bahawa Perang Dingin merupakan peristiwa sekejap jika dibandingkan dengan perjuangan zaman lama antara Barat dengan Islam.  Pada Zaman Pertengahan, tentera Islam mara menerusi Iberia hingga ke Perancis, dan menerusi Balkan hingga ke Pintu Kota Vienna.  Proses kemaraan yang sama berlaku, menerusi demografi bukannya ketenteraan, adalah kini sedang berlaku di Eropah.  "Bahaya pertembungan masa depan," tulis Huntington, "kemungkinan daripada interaksi keangkuhan Barat,  tidak bertoleransi Islam, dan  Sinic (orang Cina) yang sifat pendesak."  Sikap anti-Islam yang berlaku di Eropah mungkin mengesahkan jangkaan Huntington ini yang melalui demografi membanjiri benua itu, menjadi penduduk kedua terbesar di beberapa buah negara di rantau itu.

Namun, seperti yang dikatakan sebelum ini, untuk mengatakan Norway terjebak dalam pertembungan peradaban adalah berlebih-lebihan.  Untuk mengatakan bahawa negara itu terjebak dalam  pertembungan kejahilan atau pertembungan fundamentalisme, bahkan kurang cocok.   Sememangnya amat malang seandainya angkara individu yang bermotivasi, seperti  Behring Breivik, dunia terheret ke kancah pertembungan peradaban. 





































Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...