Artikel Popular

Wednesday, July 31, 2019

Penjawat Awam dan Pemimpin Etnik

RABU, 31 Julai 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Menurut laman Web Istana Negeri, Tun  Datuk Seri Panglima Haji Sakaran  Dandai dilahirkan pada 15 April 1930 di Kampung Air, yang terletak di persisiran pantai Daerah Semporna, iaitu sebuah perkampungan orang Bajau.  Nama asal Tun  Sakaran ialah Hashim (kemudian dinamakan Sakaran).  Ayah beliau,  Dandai  Ajibuddin, keturunan Bajau.  Beliau mempunyai sembilan orang adik-beradik,  iaitu dua orang lelaki dan tujuh orang perempuan. Salah seorang adik perempuannya, Bunga Suara, ibu Datuk  Seri Mohd.  Shafie Apdal, meninggal dunia akibat sakit tua  pada 16 Mac 2017.
            Orang Bajau yang menetap di Semporna dikenali sebagai etnik Bajau Pantai Timur. Kedudukan geografi Semporna dibahagikan kepada kawasan pulau dan darat, amat sesuai dengan corak hidup etnik Bajau itu sendiri.  Bajau Pantai Timur berasal dari pulau-pulau yang berbeza di sekitar Kepulauan Borneo (Md. Saffie dan Ramzah, 2012: 8). Menurut beberapa kajian, Bajau Pantai Timur berasal dari Johor (Md. Saffie dan Ramzah, 2012: 15). Bagi etnik Bajau yang menetap di Pantai Timur Sabah, khususnya di Semporna, kebanyakannya berasal dari Kepulauan Sulu. Faktor asal usul ini mempengaruhi penggunaan istilah Bajau, Sama, Samal, Pala’u, Mangat, dan Luwa’an, iaitu sebutan yang biasa digunakan untuk merujuk etnik Bajau ini. Selain itu, ada sebahagian kecil masyarakat Bajau yang menetap di kawasan Pantai Timur ini berasal dari kepulauan di Indonesia (Md. Saffie dan Ramzah, 2012: 22).
            Sakaran mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Semporna (1937-1941).  Pada masa Pendudukan Jepun, beliau sempat belajar dalam persekolahan Jepun dan menyambung semula di government vernacular school, Semporna.  Selain itu, beliau  mendalami bidang agama dari 1945-1948.  Antara guru agama yang pernah mengajarnya ialah ulama dari Arab, Indonesia dan orang tempatan.
            Dalam wawancara dengan Utusan Borneo, Sakaran pernah menceritakan pengalaman persekolahannya pada zaman pemerintahan British dan persekolahan serta pengalaman hidup semasa  Pendudukan Jepun.  Ketika pemerintahan British, sistem pelajaran pada masa itu lebih menitikberatkan agar pelajar menguasai menulis, membaca, dan mengira. Walau bagaimanapun, pelajaran beliau  terganggu ketika pencerobohan tentera Jepun pada tahun 1941.  Ketika zaman Jepun, mereka cuba menerapkan nilai-nilai patriotik dalam jiwa pelajar. Pembelajaran lebih tertumpu kepada pembelajaran bahasa Jepun. Sekolah Jepun memang agak berbeza dengan vernacular school pada  zaman British. Pemerintahan Jepun lebih keras. Mereka cuma menyerapkan budaya dan semangat patriotik dalam  kalangan pelajar sekolah dan penduduk tempatan. Pendekatan dan sistem pemerintahan yang mereka amalkan itu menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat (Abd. Naddin, 2011).
            Sakaran memberitahu,  “Kami bertolak dari rumah kira-kira jam 4.00 pagi. Mendayung perahu kecil yang diberi nama kaya-kaya. Kira-kira jam 7.00 pagi kami sampai di sekolah. Ada kalanya dari Tinagayan itu, kami diiringi oleh buaya. Ada masa kami nampak buaya. Walaupun kami takut,  itu tidak menghalang kami untuk pergi ke sekolah. Setelah sampai, perahu kami tambatkan di satu tempat yang jauh. Supaya kalau air surut kami boleh limpas. Selepas itu kami berjalan di tengah hutan. Kadang-kadang kami dikejar beruk yang pendek ekornya. Malah,  ada rakan kami pernah digigit beruk. Banyaklah kesusahan yang dialami ketika itu. Pernah pula satu ketika kena sengat ikan sembilang. Ada juga ikan kapu',  ikan berbisa yang boleh menyerupai pasir, boleh menyerupai batu” (Abd. Naddin, 2011).
            “Ketika itu bekal kami ke sekolah hanyalah sebiji ketupat dan ikan goreng. Bekal ini biasanya kami simpan di satu tempat. Kini berdekatan hospital. Kadang-kadang bekalan kami yang kami sangkutkan atau gantungkan itu diambil orang. Ketika Pendudukan Jepun, kehidupan terasa lebih teruk. Sampai tiada makanan, tiada ubat. Peperangan itu telah memberikan kesedaran mengenai makna penderitaan dan kesengsaraan hidup. Kami terpaksa mengangkat air sendiri. Bahkan, kami pernah makan ubi kayu mentah semasa kami berjalan mencari bahan-bahan makanan. Waktu itu umur saya kira-kira 12 tahun. Kehidupan sekarang berbeza dengan masa dijajah dahulu. Seperti bumi dan langit”  (Abd. Naddin, 2011).
            Menurut Sakaran, pemerintahan Jepun terkenal dengan kekerasan dan kekejamannya. Ramai penduduk Semporna yang ditangkap oleh tentera Jepun kerana mereka disyaki membantu Alliance (Tentera Bersekutu) yang ketika itu berpangkalan di Bongao. Ramailah ketua  kampung yang ditahan kerana disyaki bersubahat. Padahal mereka hanya menjalankan kegiatan tukar barang di pekan Semporna. Jepun menyangka mereka menghantar barang untuk membantu Amerika. Sebab itu mereka menangkap penduduk tempatan. Sebahagian mereka diseksa dengan pelbagai bentuk penyeksaan. Ada yang diberi minum air sabun, dikasari, ditendang, dipukul dan diseksa sedemikian rupa. Antara mereka yang ditangkap itu ialah pakcik Amat Jamli yang berkahwin dengan makcik saya. Yang lain,  termasuklah Panglima Habibuddin bin Sekati, Hani bin Jahaludin, Jabilan bin Jahaludin. Nasib ketiga-tiga bapa saudara saya ini agak  begitu malang. Panglima Habibbudin meninggal semasa dalam tahanan Jepun, Hani bin Jahaludin dan Jabilan bin Jahaludin pula  [sic] oleh tentera Jepun ke Tawau dan sehingga kini pusara mereka tidak ditemui. Selain itu, beberapa ketua kampung dan dua peniaga Cina juga telah dibunuh oleh tentera Jepun.
            Tambah Sakaran, “Kekejaman tentera Jepun bukan hanya menangkap orang dan menyeksa mereka. Mereka juga melakukan rampasan binatang-binatang ternakan yang dipelihara oleh orang kampung. Makanan penduduk juga dirampas. Apa-apa sahaja yang mereka nampak semuanya dirampas. Sebab itu, penentangan dan kebencian penduduk kampung juga semakin menebal terhadap Jepun. Tentera Jepun sentiasa memburu orang kampung. Ramai  antara mereka terpaksa bersembunyi di pulau-pulau dan beberapa buah kampung berdekatan, seperti Kampung Tinagayan, Kampung Bubul, Tampi-Tampi, Pulau Menampilik, Kampung Lihak-Lihak, Pulau Timbun Mata dan Melanta Tutup. Oleh sebab itu,  orang kampung berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Di kalangan mereka yang diburu Jepun itu termasuklah pakcik yang juga mentua saya, Datu Panglima Haji Abdullah bin Panglima Uddang. Beliau diburu Jepun kerana beliau merupakan bekas kakitangan British sebelum penjajahan Jepun ke Semporna. Oleh sebab itu, ramai ahli keluarga beliau yang turut bersembunyi daripada turut dikesan oleh tentera Jepun” (Abd. Naddin, 2011).
            Kerjaya  Sakaran  dalam perkhidmatan awam  bermula sebagai kerani Anak Negeri  di Pejabat Daerah Semporna pada 31 Ogos 1948.  Pada tahun 1950,  beliau telah ditukarkan oleh Kerajaan British untuk bertugas di Pulau Tambisan, Lahad Datu.  Beliau kemudiannya ditukar ke Semporna, dan pada tahun 1958,  sekali lagi ditukarkan ke Pejabat Daerah Tuaran (Pejabat Tanah).  Pada awal tahun 1959, beliau ditukar kembali ke Semporna dan menjabat jawatan pemangku kerani besar. Pada awal tahun 1960,  Sakaran telah dilantik menjadi ketua Anak Negeri (Native chief) di Semporna.  Jawatan ini merupakan salah satu daripada jawatan tertinggi yang dapat dicapai oleh kalangan peribumi semasa pemerintahan British di Sabah.  Sakaran merupakan ketua Anak Negeri yang paling muda pada masa itu.  Beliau selalu memberikan  perhatian terhadap pembangunan pendidikan di Semporna, khasnya kerana pada masa itu hanya 35 peratus kanak-kanak dalam lingkungan umur bersekolah dihantar ke sekolah.  Beliau kemudiannya telah membantu dalam mendirikan lebih banyak sekolah rakyat untuk meningkatkan taraf pendidikan penduduk Semporna.
            Pada tahun 1950, Pejabat Daerah Semporna berpindah dari rumah panjang ke pejabat baharu yang jauh sedikit dari pinggir laut. Ketua pentadbirnya, ialah Albert Watson, yang dibantu oleh penolong pegawai daerah pembangunan serta dibantu oleh seorang ketua Daerah Semporna, iaitu Sakaran.  Beliau juga merupakan anak jati Semporna dan orang Bajau yang banyak menyumbangkan tenaga dan idea demi melicinkan lagi pentadbiran Semporna pada zaman penjajahan British (Md. Saffie dan Sabihah, 2012: 147). Sakaran dikategorikan sebagai pemimpin muda yang banyak membantu etnik Bajau Semporna dan daerah Semporna untuk terus mengejar pembangunan sebelum Sabah merdeka (Md. Saffie dan Sabihah, 2012: 147).
            Sakaran  mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Hajah Siti Rukaiyah  Datuk Panglima Abdullah.  Mereka dikurniakan dua belas orang anak,  termasuk tujuh orang anak daripada perkahwinan pertamanya (isteri pertamanya bernama Halimah meninggal dunia pada tahun 1964).  Anak-anak mereka bernama Asiah, Asmah, Nasir, Aisah, Haji Omar, Haji Abdul Rahman, Haji Jamal, Shamsiah, Hajah Saleha, Haji Mohd. Suffian, Haji Razak,  dan Haji  Mohd.  Arif.
(Dipetik daripada Bab Enam, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid II, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)
            

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...