SELASA, 22 Mac 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Berita Ahad lalu melaporkan bermulanya Operation Odyssey Dawn, iaitu dua hari selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan resolusi 1973 membenarkan tindakan ketenteraan, termasuk serangan udara terhadap kereta kebal dan meriam berat Libya, dan pengenaan zon larangan terbang. Hanya beberapa jam selepas resolusi dengan undi 10 menyokong, manakala lima lagi berkecuali, iaitu Rusia, China, Jerman, India, dan Brazil, pegawai Perancis berkata pada hari Jumaat bahawa tindakan ketenteraan akan bermula “dalam beberapa jam” dan laporan berita berkata pesawat perang British dan Perancis akan mempelopori serangan. Pelancaran operasi tersebut menandakan bahawa Amerika Syarikat dan sekutunya, tiaitu Britain dan Perancis telah menentukan peraturan permainan terhadap pemimpin Libya. Muammar Gaddafi: berundur atau digulingkan.
Kini, Pemberontakan Arab kedua menempuh detik genting lagi runcing. Angin perubahan yang sebelum ini bertiup kencang di dunia Arab mula kehilangan rentaknya dalam erti kata tiada rejim baru yang tumbang selepas Ben Ali dan Hosni Mubarak. Minggu demi minggu berlalu, perjuangan di Libya belum lagi muktamad, Gaddafi masih berkuasa, meskipun kesahannya terhakis. Beberapa negara Barat mengenakan tekanan untuk melemahkan cengkaman rejim yang memerintah selama 42 tahun itu: membekukan harta, mengiktiraf pasukan pemberontak, menarik balik kebenaran masuk beliau dan keluarganya. Selain itu, Menteri Luar G-8 yang bersidang di Paris sama ada mempertimbangkan cadangan Perancis dan British dikenakan zon larangan terbang terhadap Libya. Kelangsungan rejim yang memerintah selama 45 tahun dikhuatiri mematikan pemberontakan Arab. Jika pemberontakan di Libya ingin menempa kejayaan, maka usaha antarabangsa, melalui Liga Arab, mesti membantu rakyat yang menentang itu.
Sementara itu, Mustafa Gheriani, jurucakap Majlis Kebangsaan Revolusi, mencadangkan Barat membunuh Gaddafi. Bagi beliau, jika Gaddafi dibunuh, tiada sesiapa pun yang meratapinya. Namun, dengan pertengkaran diplomatik yang tertumpu pada isu zon larangan terbang, maka tidak banyak harapan diberikan terhadap langkah segera tentera asing menyerang tentera Gaddafi, apatah lagi untuk melancarkan serangan udara terhadap diktator Libya itu.
Sejak tercetusnya pemberontakan popular di dunia Arab, terutamanya di Mesir, burung helang di Amerika Syarikat mula berlegar-legar di sana. Seperti yang dibahaskan dalam “Mubarak Tumbang Obama Tempang” sejarawan Niall Ferguson mengencam pendirian Presiden Barack Obama yang tidak tetap yang beliau rumuskan kegagalan dasar luar Amerika. “Tragik, tidak seorang pun tahu di manakah peta Timur Tengah Barack.” Kemudian, seperti yang dibahaskan dalam “Pemberontakan Arab: Neokonservatif Serang Obama,” Paul Wolfowitz juga mengambil langkah yang sama: Pentadbiran Obama yang “terlalu lambat” mengutuk Gaddafi. Wolfowitz seterusnya muncul melalui makalahnya dalam The Wall Street Journal bahawa kedua-duanya betul dari segi moral dan dalam kepentingan strategik Amerika yang membolehkan rakyat Libya berjuang untuk diri mereka.
Tulisan beliau mengundang kritikan Maureen Dodd bahawa helang perang Iraq mendesak campur tangan di Libya adalah yakin bahawa tidak ada cara Libya boleh menjadi lagi satu Iraq. Pastikan mereka tidak pernah memikirkan juga Iraq akan jadi Iraq. “Semua yang Presiden Obama perlu lakukan, tegas Paul Wolfowitz, ialah bersikap jantan, membekalkan senjata untuk penentang Libya, menyokong penentuan zon larangan terbang, dan tunggu demokrasi segera. Ini cakewalk. Tulis Maureen dalam The New York Times, “Bukankah kita yang membekalkan senjata penentang di Afghanistan pada tahun 1980-an? Dan bukankah banyak yang menjadi Taliban dan berkesudahan menyerang kita dengan menggunakan senjata kita?” Bagi Maureen, setelah melancarkan peperangan yang membawa malapetaka di Afghanistan dan Iraq, “tetapi puak neokonservatif yang naif tidak berasa malu.”
Dalam menggasak Wolfowitz, Maureen Dodd memetik Robert Gates, Setiausaha Pertahanan yang pernah berkata pada bulan lalu: “Pada pendapat saya, mana-mana masa depan Setiausaha Pertahanan yang menasihati Presiden supaya menghantar sekali lagi bala tentera Amerika yang besar ke Asia atau Timur Tengah atau Afrika sepatutnya ‘kepalanya diperiksakan’ seperti yang Jeneral MacArthur katanya dengan lembut.”
Gates dengan berani menghentam belakang Cakewalk Brigade yang termasuk dua bekas calon Presiden, iaitu John Kerry dan John McCain, dan bekas calon Naib Presiden, iaitu Joe Lieberman yang dengan lancang memberitahu Kongres baru-baru ini: “Hanya lebih sebut penyodok ialah penyodok. Zon larangan terbang bermula dengan dengan serangan terhadap Libya untuk memusnahkan pertahanan udara. Itulah caranya anda lakukan zon larangan terbang. Dan kemudian, anda boleh terbang ke seluruh negara itu dan tidak perlu bimbang tentang tentera kita ditembak jatuh. Tetapi, itulah caranya ia bermula.”
Antara ketiga-tiga senator itu, John Kerry boleh dianggap bersungguh-sungguh mendesak Amerika campur tangan di Libya, seperti yang dapat dilihat melalui makalah yang sama yang diterbitkan dalam The Washington Post dan kemudian dalam The Guardian. Beliau merujuk tragedi di Bosnia, Rwanda, dan di bahagian selatan Iraq ketika penghujung Perang Teluk untuk berhujah kewajaran Amerika bertindak. “Kita tidak boleh menunggu tragedi yang buruk berlaku. Kita perlu mengambil langkah yang konkrit sekarang supaya kita bersedia untuk melaksanakan zon larangan terbang dengan serta-merta jika Gaddafi mula menggunakan angkatan udaranya untuk membunuh sejumlah besar orang awam. Diplomasi diperlukan segera untuk membina sokongan yang lebih luas untuk zon larangan terbang.” Beliau mengingatkan situasi di Libya kini tidak sama dengan Iraq. Diilhamkan oleh peristiwa di Tunisia dan Mesir, rakyat Libya bangkit secara spontan menentang empat dekad penindasan Kolonel Muammar Gaddafi.
Kerakusan dan keangkuhan intelektual Niall Ferguson tidak berhenti setakat Mesir: sekali lagi mengencam Presiden Barack Obama secara sinis, “jangan kirim senjata kepada rakyat Libya, hantar sekeping kertas untuk mereka.” Dalam makalah terbaharu dalam Newsweek, “How to Get Gaddafi” sejarawan neokonservatif ini mendakwa Obama enggan campur tangan dalam perang saudara yang sedang berlaku di Libya. Beliau juga mengkritik pandangan pembantu kanan Presiden bahawa revolusi terbaik adalah organik sepenuhnya. Adakah Revolusi Amerika “organik sepenuhnya?” soal Ferguson, dan seterusnya menegaskan, “hakikatnya, terlalu sedikit revolusi, baik atau buru, berjaya tanpa beberapa bantuan asing. Lenin mempunyai wang Jerman; Mao mempunhai senjata Soviet.”
Ferguson secara terang-terangan mendesak Amerika campur tangan dalam pemberontakan di Libya: “Memo kepada Presiden: revolusi organik, hanya seperti Whole Foods arugula anda memerlukan cahaya matahari dan disirami air.” Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa kesimpulan yang salah bahawa hanya bentuk bantuan yang Amerika boleh berikan untuk revolusi yang baik ialah ketenteraan. Lagipun, zon larangan terbang bukannya apakah pertolongan yang revolusi Eropah Tengah dan Timur pada tahun 1989 perlukan untuk menggulingkan pemerintah kejam mereka. Bantuan yang kita berikan kepada mereka bukannya ketenteraan, tetapi moral.
Tidak kurang juga cerdik pandai yang mencadangkan supaya Amerika campur tangan di Libya dengan alasan menghalang Gaddafi daripada melakukan kekejaman dengan berleluasa. Antaranya Christopher Hitchens yang turut menjadi “helang” yang menganggap sikap berdiam diri Amerika itu menuntungkan Gaddafi. “Respons yang tidak cukup daripada Pentadbiran Obama terhadap krisis di Libya mendedahkan kurangnya keberanian dan prinsip, tulis beliau dalam The Slate. Bagi beliau, Gaddafi yang terkenal dengan kekejaman selama empat dekad akan bertindak lebih kejam dan zalim penentangnya. “Tugas segera ialah mengehadkan amaun kerosakan yang Gaddafi dapat lakukan dan mengurangkan dengan ketara bilangan orang ramai yang beliau dapat bunuh.” Bahkan dengan nada emosi Hitchens menulis, “Saya pasti saya tidak berseorangan dalam merasakan agak tidak sedap hati tentang terpaksa menyaksikan api di Tripoli dan Benghazi seolah-olahnya sebagai penonton yang tidak berupaya. Sikap tidak acuh seperti ini terhadap nyawa orang lain boleh membawa kesan yang kasar.”
Dalam makalah seterusnya Hitchens yang kini menghidap kanser, menulis dalam nada yang lebih keras, “jangan biarkan Gaddafi menang.” Beliau mencadangkan supaya melupakan “puak realis” kerana “jika tidak melakukan apa-apa, situasi di Libya akan menjadi bertambah buruk. Gaddafi yang tua itu jelas tidak ubah seperti Ceausescu pada tahun 1989 yang cuba berperang dengan rakyatnya. “Dalam ucapan dan kehadirannya baru-baru ini, beliau memperlihatkannya teruk dengan kegilaan dan hysteria.”
“Jika ada satu pengajaran untuk dasar luar Amerika Syarikat dari 10 tahun lalu, tulis Fareed Zakaria dalam Time, “pastinya bahawa campur tangan nampaknya mudah, tetapi hakikatnya, hal ehwal yang rumit dengan potensi untuk akibat yang tidak disengajakan.” Tambah beliau lagi, “Justeru, saya berasa gembir bahawa Pentadbiran Obama mengkaji semua opsyen tentang Libya. Memang lebih penting menentukan dasar yang bijak daripada memulakan peperangan terlebih dahulu dan kemudian tanya soalan.” Bagi Fareed, “Amerika tidak boleh melepaskan peluang terbuka kerana dunia Arab mengalami kebangkitan yang tulen. Rakyat di rantau itu hilang kepercayaan terhadap orde lama. Sama ada mereka sebenarnya mampu menggulingkan kerajaan, seperti yang mereka lakukan di Mesir dan Tunisia, atau sekadar menuntut pembaharuan sebenar, seperti di Jordan dan negara Teluk, mereka mencari identiti politik baru.” Oleh sebab sejak berdekad-dekad rakyat Arab menganggap Washington sebagai musuh mereka kerana menjadi penyokong utama orde lama, maka keadaan masa kini memberikan peluang yang cukup baik untuk Amerika.
Menurut pemerhatian, sebagaimana Perang Iraq yang dikenali perang George W. Bush terhadap Saddam Hussein, kini berulang lagi dalam erti kata sokongan merentas sempadan politik dan intelektual. Kini korus yang sama mendesak Amerika Syarikat sepatutnya campur tangan secara langsung dalam perang saudara Libya: dengan zon larangan terbang, pastinya, dan mungkin dengan senjata untuk penentang Libya dan juga serang udara terhadap tentera Gaddafi. Demikian pemerhatian Ross Douthat, “Sebagaimana tahun 2002 dan 2003, kes campur tangan didesak keratan rentas luas dari segi politik dan pencetus pendapat, daripada Bill Clinton kepada Bill Kristol, Fareed Zakaria kepada Newt Gingrich, John Kerry kepada Christopher Hitchens.”
Dalam kes Libya, kehadiran puak neokonservatif yang laparkan peperangan jelas kelihatan. Puak ini sekali lagi cuba mengheret Amerika ke kancah peperangan, seperti yang mereka lakukan di Iraq. Dengan memetik apa yang pernah dikatakan oleh Voltaire terhadap anggota dinasti Hapsburg dahulu, “Mereka tidak belajar apa-apa dan lupa apa-apa,” demikian juga dengan helang Amerika yang mendesak campur tangan ketenteraan Amerika Syarikat dalam perang saudara Libya. Bahas Michael Lind, “ Senator John McCain dan Joe Liberman bersama-sama dengan yang lain, membangkitkan kemungkinan mewujudkan ‘zon larangan terbang,’ bersama-sama keselarian dengan Iraq antara akhir Perang Teluk pada tahun 1991 dengan permulaan Perang Iraq, dalam usaha mencegah diktator Muammar Gaddafi daripada menggunakan tentera udaranya untuk menyerang penentang yang berusaha menggulingkan rejim itu. Cadangan lain adalah untuk membantu penentang Libya mewujudkan permukiman yang selamat, dari sana mereka dapat menawan seluruh negara daripada tentera yang setiap pada Gaddafi.” Sebagaimana sebelum ini, seperti di Balkan, Iraq, dan Afghanistan, “helang” yang petah berkata-kata berjanji bahawa Amerika Syarikat boleh mengehadkan penyertaannya dalam perang saudara Libya pada serangan udara, membiarkan peperangan pada penentang Libya.
Leslie H. Gelb merayu agar Pentadbiran Obama tidak menggunakan tentera Amerika Syarikat di Libya atas beberapa alasan, antaranya Libya tidak boleh disamakan dengan Rwanda dan Bosnia, sikap dwistandard, iaitu tindakan yang sama tidak dikenakan di negara lain di Afrika, Suda, Ivory Coast, dan Congo, dan tiada siapa pun yang mengatakan bahawa Libya merupakan kepentingan strategik yang penting kepada Washington. Satu alasan bahawa negara itu mengeluarkan hanya satu peratus penggunaan minyak harian dunia, tidak berbaloi untuk berperang.
Meskipun penasihat keselamatan atasan mengingatkan Presiden Obama supaya mengambil pendekatan berhati-hati, Setiausaha Negara, Hillary Clinton, bersungguh-sungguh mendesak supaya Amerika campur tangan di Libya. Beliau dilaporkan bertelagah dengan Penasihat Keselamatan Negara, Tom Donilon dan Setiausaha Pertahanan, Robert Gates tentang pendirian beliau terhadap Libya. The New York Times memberikan liputan terperinci bagaimana Hillary dalam bilik hotel di Paris, mendapati dirinya menjugel ketidaktekalan dasar luar Amerika dalam pergolakan di Timur Tengah. Hanya sehari sebelumnya, Hillary bersama-sama Presiden Obama berasa waswas, sama ada Amerika Syarikat sepatutnya mengambil tindakan ketenteraan di Libya. Dalam beberapa jam, Hillary dan para pembantunya meyakinkan Obama bahawa Amerika Syarikat perlu bertindak, dan Presiden memerintahkan rancangan ketenteraan.
Selepas berminggu-minggu membiarkan dirinya kelihatan tidak melakukan apa-apa sejak berlakunya pemberontakan di Mesir, kini atas desakan “helang,” Presiden Barack Obama mengheretkan dirinya ke dalam kancah peperangan pertamanya. Kali ini, Presiden Amerika ini mempunyai rakan “helang,” iaitu Perdana Menteri Britain, David Cameron dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy. Sebagaimana Presiden Amerika sebelum ini, Obama terbabit dengan sebuah lagi negara Islam. Namun, beliau dilaporkan berasa terlalu kuat tentang keterbatasan peranan Amerika dalam operasi itu, dan beliau sedar berbanding dengan sesiapa sahaja tentang stres yang ditanggung oleh tentera.
No comments:
Post a Comment