Artikel Popular

Thursday, February 1, 2018

Pasang Surut Demokrasi
Khamis, 1 Februari 2018
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Bersempena 60 tahun Malaysia merdeka, Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak menulis amalan dan kesuburan   demokrasi di negara ini. Dalam “Rekod Demokrasi Malaysia” yang diterbitkan dalam beberapa akhbar pada 11 September, Mohd. Najib, antaranya menulis, “sebenarnya, apabila membicarakan pilihan raya yang sengit dan kebebasan anda menyuarakan fikiran, Malaysia mempunyai rekod demokrasi yang paling kukuh dan paling lama di seluruh Asia Tenggara.” Beliau mengemukakan contoh bahawa pelbagai parti memenangi beberapa negeri dan ahli-ahli politik yang ternama kehilangan kerusi mereka.  Tambah beliau, kerana tiada keputusan yang boleh ditetapkan dalam pilihan raya yang demokratik dan bebas. Terpulang kepada rakyat kepada rakyat untuk membuat pilihan dan itu merupakan satu rekod yang seluruh rakyat Malaysia patut berasa bangga.
            Mohd. Najib  menegaskan bahawa demokrasi  yang masih hidup di Malaysia dan bawah pentadbiran beliau, demokrasi diperkukuhkan lagi dengan lagi dengan pelbagai pembaharuan paling meluas sejak kemerdekaan. Kita telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menamatkan Darurat yang wujud selama lebih 60 tahun. Sebelum itu, beliau menyerang seseorang yang beliau anggap “”diktator” yang berkuasa  selama 22 tahun. Ketika individu berkenaan  menjadi Perdana Menteri ratusan orang telah dipenjarakan di ISA.  Beberapa akhbar, termasuk sebuah akhbar harian nasional telah ditutup. Badan kehakiman diserang. Kapitalisme yang berunsur kronisme berleluasa dengan menyaksikan perjanjian yang amat  membebankan rakyat hari ini. Rakyat tidak mempunyai hak untuk berdemonstrasi dan para pelajar tidak dibenarkan melibatkan diri dalam politik. Mohd. Najib turut menyentuh badan kehakiman di Malaysia yang memperoleh semula kebebasan, berbeza dengan era kegelapan semasa krisis kehakiman pada tahun 1988.
            Sejak pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan diadakan pada tahun 1955, pilihan raya di negara ini diadakan setiap lima tahun sekali, bahkan ada kalanya lebih awal, iaitu empat tahun sekali. Dalam tempoh itu, beberapa negeri pernah jatuh ke tangan pembangkang, iaitu  Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah, Selangor, Kedah, dan Perak. Meskipun akibat Peristiwa 13 Mei 1969, Darurat telah diisytiharkan di seluruh negara  pada 15 Mei 1969, dan Parlimen digantung dan Majlis Gerakan Negara (Mageran), dan memetik Tun Dr. Ismail   Abdul Rahman, "demokrasi telah mati di Malaysia,” beberapa tahun kemudian, demokrasi dipulihkan.
 Ketika Tun Abdul Razak Hussein  menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra  sebagai Perdana Menteri pada 22 September 1970, Darurat masih dikuatkuasakan dan Parlimen masih digantung. Pemusatan kuasa adalah dalam tangan beliau, iaitu sebagai Perdana Menteri dan Pengarah Mageran,  boleh mendorong beliau untuk menjadi autokrat. Bahkan, sejak  pelantikan Tun Abdul Razak sebagai Pengarah Mageran, yang mempunyai kuasa mutlak, beliau dikhuatiri menjadi “diktator”  untuk mentadbir negara. Beliau boleh terus kekal di mercu kuasa dengan cara merancang kekacauan sekali-sekala untuk mengaburi mata rakyat bahawa negara belum aman lagi. 
 Namun begitu,  sebagai seorang diktator yang bukan atas kemahuan sendiri, Tun Abdul Razak dikatakan meminta pertolongan daripada Tun Muhammad  Ghazali Shafie,  untuk melakukan tugas memulihkan keamanan negara yang semakin memburuk akibat rusuhan kaum itu.   Tun Abdul Razak dijangkakan  dengan mudah boleh menjadi diktator waktu itu, tetapi dengan adanya  Tun Dr. Ismail yang menyertai Kabinet semula dan menganggotai  Mageran,  beliau tidak pernah menggunakan kuasa dengan maksud begitu. Sebagai seorang politikus dan pentadbir yang cukup  berpengalaman, Tun Abdul Razak cukup sedar akan bahaya menggunakan pemerintahan kuku besi dalam masyarakat majmuk yang unik seperti di Malaysia.  Tan Sri Noordin Sopiee, dalam belangsukawa yang ditulis apabila Tun Abdul Razak meninggal dunia:  “Tun barangkali bekerja lebih keras daripada mana-mana diktator dalam sejarah untuk menyingkirkan kuasa diktator dari tangannya sendiri dan berusaha menjauhinya.”
Tun Abdul Razak membuktikan komitmen untuk menghidupkan semula demokrasi, bermula dengan mengadakan pilihan raya yang ditangguhkan di Sabah dan Sarawak.  “Setelah keadaan semakin pulih, pada 12 Mei 1970, beliau memutuskan untuk menyambung semula pilihan raya di Sarawak dan Sabah yang tertangguh akibat tercetusnya Peristiwa 13 Mei.  Di Sarawak, pilihan raya disambung semula pada 6 Jun  -  4 Julai 1970, manakala di Sabah pilihan raya diadakan pada 21 – 27 Jun 1970. Keputusan pilihan raya di dua buah negeri penting untuk pemulihan demokrasi di Malaysia, seperti yang diberikan amaran  oleh Tun Dr. Ismail yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, “sekiranya keputusan pilihan raya di Sabah dan Sarawak tidak dapat memberikan majoriti dua pertiga kepada Perikatan dalam Parlimen, demokrasi berparlimen tidak mungkin diwujudkan kembali.”
            Di luar jangkaan banyak pihak, demokrasi dipulihkan, dan Tun Abdul Razak dipetik sebagai  memberitahu sidang Parlimen pertama selepas negara kembali kepada demokrasi pada 23 Februari 1971:  “Saya sentiasa memikir dan menjalankan berbagai-bagai usaha untuk memulihkan keadaan dan suasana di dalam negara ini seperti sedia kala supaya dapatlah diadakan semula sidang Parlimen di mana ahli-ahli Yang Berhormat dapat melaksanakan tugas masing-masing sebagai wakil rakyat.” 
      Sebagai Pengarah Mageran, Tun Abdul Razak pernah menjelaskan bahawa demokrasi  tidak berfungsi di Malaysia dari segi kesamaan politik semata-mata. Proses demokratik mesti diterjemahkan juga dari segi agihan saksama kekayaan dan peluang. Sememangnya,  Tun Abdul Razak bukan sekadar berjaya memulihkan keamanan dan menghidupkan semula demokrasi, tetapi juga memastikan negara bangsa Malaysia tidak runtuh dan menghindarkan Balkanization.
Tanpa komitmen dan usaha gigih Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail, Malaysia mungkin boleh dikatakan negara awal yang mengalami kegagalan demokrasi. Mungkin juga  boleh dijadikan kajian kes tentang kegagalan demokrasi di sebuah negara membangun.
Walau bagaimanapun, “kejayaan negara kita mengamalkan sistem demokrasi yang stabil” – memetik Mohd. Najib sekali lagi, tidak bermakna bahawa sistem ini terus subur di peringkat global. Di banyak negara, demokrasi seakan-akan berundur atau surut, termasuk di Amerika Syarikat sendiri. Pada Januari tahun ini, The Economist Intelligence Unit, menurunkan gred negara itu daripada “demokrasi penuh” kepada “demokrasi  bercacat,” kerana “kemerosotan seterusnya kepercayaan terhadap kerajaan dan pegawai yang dipilih.”
Kepercayaan popular terhadap kerajaan, wakil yang dipilih, dan parti politik jatuh pada tahap sangat rendah di Amerika Syarikat. Kemerosotan ini merupakan trend jangka panjang dan trend mendahului pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat. Negara itu mengalami “demokrasi bercacat” sejak beberapa tahun, dan bahkan jika tidak pilihan raya pada tahun 2016, skornya akan menyusup bawah 8.00. Pada tahun 2015, penarafan Amerika Syarikat ialah 8.05, dan pada tahun 2016, ialah 7.98, meletakkan negara itu di tangga ke-21 – hanya di belakang Jepun dan hanya di hadapan Republik  Cabo Verde. Amerika Syarikat tidak tergolong dalam kategori negara autoritarian dunia, tetapi bersama-sama Bulgaria, Perancis, India, dan Mongolia.  Akan tetapi,  Amerika Syarikat tidak lagi tergolong dalam kategori “demokrasi penuh” yang diduduki oleh Australia, Kanada, Jerman, dan United Kingdom. Daripada 165 buah negara merdeka dua  buah wilayah, Norway menduduki tangga paling atas, manakala Korea Utara kekal paling bawah. Iceland dan Sweden masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga tertinggi.  Sesebuah negara mesti mengekalkan penarafan 8.00 yang melibatkan 60 petunjuk yang merentas lima kategori luas, iaitu proses pilihan raya dan pluralisme, fungsi  kerajaan, penyertaan politik, budaya politik demokratik, dan hak kebebasan awam.
           Walau bagaimanapun, Joan Hoey, editor laporan itu memberitahu bahawa penarafan yang rendah itu bukannya akibat langsung Donald Trump. “Sebaliknya, pemilihan Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat adalah bahagian besar akibat masalah yang berlarutan tentang demokrasi di Amerika Syarikat,” jelas Hoey.
Laporan  2016 Democracy Index, memerhatikan “punca yang dalam tentang krisis demokrasi sekarang di dunia maju” dan memeriksa dengan teliti keadaan demokrasi di setiap wilayah. Menurut  laporan itu, demokrasi mempunyai tahun sukar pada tahun 2016, dengan tidak wilayah global mencapai penambahbaikan dalam skor puratanya dan hampir dua kali ganda, iaitu sebanyak 72 buah negara, merosot dari segi skor. Eropah Timur mengalami gerakan  ke belakang  yang paling teruk.
Sementara itu, dua buah negara di Asia Tenggara, iaitu Myanmar dan Kemboja jelas menunjukkan kegagalan peralihan ke arah demokrasi. Myanmar berhubung dengan layanan terhadap Rohingya, yang menurut Zeid Ra‘ad al-Hussein, Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tidak ubah seperti “pembersihan etnik buku teks”  apabila mereka dibunuh oleh pasukan keselamatan negara itu,  kediaman mereka di Rakhine dibakar, dan sepanjang tiga minggu, iaitu sejak Ogos hingga September 2017, dianggarkan 400,000 orang menjadi pelarian mencari perlindungan di Bangladesh.  
Namun begitu, tatkala warga dunia mengutuk kekejaman yang dilakukan terhadap  Rohingya, pemimpin de facto, penerima Hadiah Nobel Keamanan - yang kononnya memperlihatkan dirinya sebagai pejuang demokrasi  - Aung San Suu Kyi, sekadar mendiamkan diri. Bahkan, dia melabelkan Rohingya pengganas, dan dengan itu, merestui kekejaman terhadap mereka.  Pada April tahun ini, beliau menafikan laporan pembersihan etnik dan berjanji Rohingya akan selamat sekiranya mereka pulang semula ke Myanmar.
“Aung San Suu Kyi, bukan hanya mendiamkan diri tentang kekejaman yang menjadi-jadi terhadap 1.3 juta minoriti kuat Rohingya di negaranya, bahkan dia tidak akan menarik balik sekatan keras terhadap akses kemanusiaan kepada mangsa,” tulis Pankaj Mishra dalam BloombergView, “Our New Culture of Cruelty.”
Kini, tekanan antarabangsa terhadap Suu Kyi supaya menghentikan keganasan dan memastikan Rohingya pulang ke negeri mereka dengan selamat semakin memuncak. Wujud petisyen beliau dilucutkan Hadiah Nobel Keamanan mencapai hampir setengah juta tandatangan. “Akan tetapi, Suu Kyi yang masih popular di Myanmar, tidak mengendahkan komuniti antarabangsa dan menunjukkan bahawa dia tidak mempercayai laporan tentang keganasan etnik,” tulis Sofia Lott Persio, “Why Myanmar Hates the Rohingya” dalam Newsweek. Suu Kyi yang  ketika menampilkan dirinya sebagai pejuang demokrasi dan keamanan sibuk ke sana ke mari untuk menemui komuniti antarabangsa, mengumumkan bahawa dia tidak akan hadir sesi Perhimpunan Agung PBB ke-72 di New York yang bermula pada pertengahan September.
Di Kemboja pula, bimbang akan kalah dalam pilihan raya tahun depan, maka parti yang memerintah. iaitu Parti Rakyat Kemboja, pada bulan Ogos melancarkan beberapa serangan terhadap sesiapa sahaja yang dianggap pengancam kuasanya. Selepas kehilangan sokongan kepada Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (Cambodia National Rescue Party) dalam pilihan raya tempatan Jun tahun ini, Parti Rakyat  Kemboja  paranoid bahawa gelombang pendapat awam menentang mereka.
            Dalam “Cambodia’s Dying Democracy,”  Elliot Brennan yang menulis untuk laman web Lowy Institute mendedahkan, pada hari Isnin (4 September), akhbar bahasa Inggeris yang sangat dihormati,  The Cambodia Daily, akibat tekanan kerajaan supaya ditutup, menerbitkan edisi terakhirnya. Muka depannya dengan foto pemimpin pembangkang Kemboja, Kem Sokha, diiringi ke tempat tahanan oleh polis selepas ditahan pada hari Ahad. Dua peristiwa ini menandakan keterukan negara itu dan merupakan  pemecutan usaha Perdana Menteri Hu Sen untuk mendiamkan pembangkang dan memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum tahun depan.  Bersama-sama usaha menghancurkan kebebasan akhbar ialah penahanan dan ancaman berterusan terhadap mereka yang menentang kerajaan. Penahanan pemimpin pembangkang, Kem Sokha kerana pengkhianatan – dia dituduh berkonspirasi dengan Amerika Syarikat – adalah menandakan kematian demokrasi di Kemboja di bawah pemerintahan Hun Sen.

            Tatkala Perdana Menteri Mohd. Najib bergembira dan berbangga dengan kesuburan demokrasi di Malaysia, di banyak negara pula, demokrasi tidak lagi mekar dan indah. Untuk negara kita Malaysia,  satu harapan yang hakiki, ialah   perisytiharan beberapa dekad lalu bahawa  “demokrasi telah mati di Malaysia,” adalah yang pertama dan yang terakhir. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...