Artikel Popular

Wednesday, August 21, 2019

KRIS dan Bayangan Kemerdekaan

RABU, 21 Ogos 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

KRIS atau Hodosho ditubuhkan pada 3 Julai 1945 di Asrama Jururawat Taiping, kemudian dipindahkan ke tingkat tiga bangunan Sekolah St. George Taiping.” Mustapha Hussein dalam memoirnya menulis penubuhan KRIS, yang menurut beliau, singkatan Kekuatan Rakyat Istimewa dan bukannya Kekuatan Rakyat Indonesia Semenanjung – nama yang terdengar selepas Jepun menyerah kalah  (Insun Sony, 1999: 363 – 364; 383, nota 2).  Mustapha menceritakan perihal  KRIS  dalam Bab 25 “Hodosho dan Pertubuhan KRIS (Kekuatan Rakyat Semenanjung) Julai – Ogos 1945.”  Catatan lain mengatakan KRIS ditubuhkan dalam mesyuarat yang berlangsung pada 4 atau 5 Mei 1945 di rumah Ibrahim Haji Yaacob di Tanjong Katong, Singapura (Cheah, 2014: 115; Ramlah, 2009: 52). Itagaki Yoichi daripada  Chosabu (jabatan penyelidikan) membantu Ibrahim Haji Yaacob menubuhkan KRIS yang bertujuan mencapai kemerdekaan nasional (Akashi dan Yoshimura,  2013: 13, rujuk juga hlm. 17).  Sementara itu, menurut Akashi Yoji, pada malam 5 Mei 1945, Akamatsu Kaname dan Itagaki Yoichi berjumpa dengan Ibrahim dan menggesa beliau mengumpulkan komrad bekas KMM beliau dan membincangkan gerakan kemerdekaan Melayu, yang mereka namakan KRIS, versi Melayu Pusat Tenaga Rakyat Indonesia  (Akashi, 2013: 166).
Dalam menyingkap latar belakang penubuhan KRIS, Cheah Boon Kheng menulis, “kesabaran Ibrahim Haji Yaacob akhirnya mendapat ganjaran apabila kedudukan Jepun dalam peperangan terus merosot.”  Jepun mempercepatkan rancangan mereka untuk kemerdekaan Indonesia pada Mei 1945, dua pegawai awam Jepun, iaitu Itagaki Yoichi dan Profesor Akamatsu bersimpati pada keputusan Kesatuan Melayu Muda (KMM) untuk menyokong idea Indonesia Raya.  Dalam mesyuarat yang berlangsung di rumah Ibrahim itu, yang dihadiri oleh tujuh atau lapan anggota KMM, termasuk Onan Haji Siraj, Itaki bermula dengan menjelaskan, “Apa yang saya katakan malam ini tidak rasmi, tetapi kemerdekaan Malaya menjelang tiba.  Supaya bersedia untuk ini, anda sepatutnya semuanya mula membuat persediaan. Hari ini saya memperoleh kebenaran Ketua Turus supaya Ibrahim dapat berfungsi sebagai pemimpin gerakan nasionalis Melayu. Saya harap anda berfikir dengan serius tentang perkara ini” (Cheah, 2014: 114 – 115).
Walau bagaimanapun, Ibrahim menjawab bahawa mereka tidak memulakan apa-apa tanpa Mustapha Hussain, Naib Presiden KMM.  Untuk menggerakkan 800 orang komrad, sokongan beliau diperlukan.  Memburukkan lagi keadaan, Mustapha tidak mahu bekerjasama dengan Jepun sejak kejadian beliau ditendang dan ditempeleng oleh askar Jepun.  Itagaki melahirkan rasa kesal atas kejadian itu dan berjanji untuk menemani Ibrahim ke Taiping, tempat Mustapha tinggal untuk memujuk beliau menyertai gerakan itu  (Cheah, 2014:  115 – 116; rujuk juga Insun Sony, 1999: 364 - 365).
Pada mulanya, Mustapha enggan menyertai KRIS kerana beliau tidak mempercayai jaminan Itagaki bahawa Jepun akan memberikan kemerdekaan kepada Malaya. Itagaki dan Profesor Akamatsu cuba meyakinkan Mustapha, dan mengatur seluruh kumpulan untuk bertemu dengan Jeneral Umezu, iaitu Somubucho Malai Gunsei Kanbu baharu.  Dalam pertemuan itu, Umezu mengaku secara jujur bahawa dasar Jepun terhadap gerakan nasionalis Melayu selama ini silap. Mereka sedar perkara ini sudah terlewat. Mereka mesti mengubah dasar mereka.  Jepun  sepatutnya kini melakukan yang terbaik untuk memberikan respons terhadap keinginan  nasionalistik  mereka (Cheah, 2014:  116; rujuk juga Insun Sony, 1999: 366).
Lima hari selepas penubuhan KRIS, Itagaki, Ibrahim, dan Mustapha mengunjungi Umezu.  Dalam pertemuan itu, Umezu membuat kenyataan yang menyebabkan para tetamu tercengang, bahawa “tentera Jepun melakukan kesilapan asas dalam dasar kerakyatan terhadap orang Melayu.  Meskipun mungkin agak terlewat untuk membetulkan kesilapan, Umezu berjanji melakukan yang terbaik dalam menggalakkan aspirasi nasional Ibrahim dan Mustapha. Pengakuan terus terang Umezu itu mendorong Ibrahim dan Mustapha menari keriangan, dan Ibrahim dengan segera memulakan pengambilan komrad untuk mengatur pejabat KRIS tempatan (Akashi, 2013: 166).
Versi Mustapha Hussain menunjukkan bahawa perbincangan itu berlangsung dalam suasana yang tegang. Mustapha menggunakan kesempatan itu untuk melanyak Jepun yang enggan memenuhi tuntutan KMM untuk kemerdekaan Tanah Melayu.  “Saya banyak bertikam lidah dengan pegawai Jepun, termasuklah juga Jeneral Umezu dan Profesor Itagaki” (Insun Sony, 1999; 372) Beliau meradang  apabila para pegawai, termasuklah Jeneral Umezu mengatakan bahawa mereka  tidak boleh memberikan kemerdekaan kepada orang Melayu begitu  sahaja sebab apa kata orang lain jika kemerdekaan diberikan tanpa apa-apa perjuangan.  Lagipun, orang Melayu tidak sanggup memperjuangkan kemerdekaan.  Bahkan, Mustapha meminta mereka menarik balik kata-kata “tidak sanggup,” dengan membangkitkan sejarah orang Melayu bersampan membuka bandar Manila dan mereka belayar ke Pulau Kyushu, di selatan kepulauan Jepun, dan membuka tanah di situ (Insun Sony, 1999: 372). 
Mustapha yang mengaku bahawa beliau memainkan peranan aktif dan secara langsung dalam gerakan KRIS (Insun Sony, 1999: 364), juga memberitahu bahawa “yang memujuk saya melibatkan diri dalam KRIS ialah Dr. Burhanuddin al-Helmy dan bukannya Ibrahim Haji Yaacob” (Insun Sony, 1999: 366).  Walau bagaimanapun, dalam kesibukan beliau dan Dr. Burhanuddin menggubal Perlembagaan Malaya Merdeka dan menyiapkan bahan untuk badan baharu, iaitu KRIS, mereka teringat akan Ibrahim.  Mereka pergi memberitahu Jeneral Umezu bahawa mereka tidak boleh berbuat sesuatu jika tanpa pimpinan Ibrahim, kerana bagi mereka, Ibrahim adalah seperti Sukarno.  Jika Sukarno ketua bagi rakyat Indonesia, maka Ibrahim  pula ketua bagi rakyat Malaya (Insun Sony, 1999: 374).
  Pada bulan Julai 1945, beberapa minggu sebelum  menyerah diri, Jepun memutuskan untuk menyegerakan rancangan mereka untuk memberikan kemerdekaan kepada Indonesia. KRIS yang muncul di bawah Ibrahim  Yaacob,    bertujuan untuk menggalakkan idea Indonesia Raya dan pada amnya, memperluas konsep kebangsaan Melayu (Comber, 2007: 51).  KRIS melalui Ibrahim Haji Yaacob, Dr. Burhanuddin al-Helmy, dan Mustapha Hussain benar-benar membuat persiapan kemerdekaan Tanah Melayu yang dijanjikan oleh Jepun. “Pada 11 Ogos 1945, pihak Hodosho membawa Ibrahim dan Dr. Burhanuddin ke Pulau Pinang untuk bertemu dengan Komodor Flotilla kapal selam Jepun yang bertanggungjawab ke atas Stesen Radio di Pulau Pinang, dan izinnya amat mustahak untuk proklamasi kemerdekaan Malaya, pada 17 Ogos.  Mustapha yang tidak turut serta kerana sibuk menguruskan penyiapan kertas kerja Kongres KRIS dan Perlembagaan Malaya Merdeka.  Jika kongres ini berlangsung di Station Hotel, Kuala Lumpur, maka ditetapkan di Taiping perisytiharan Malaya Merdeka akan dilakukan pada 17 Ogos 1945 melalui Stesen Radio di Pulau Pinang dan bukannya di Jakarta, seperti yang dimasyhurkan”  (Insun Sony, 1999: 375).
Pada 12 Ogos 1945, Sukarno dan Hatta dalam perjalanan pulang dari   pertemuan dengan Fil Marsyal Terauchi, Pemerintah Tertinggi angkatan tentera Jepun di Asia Tenggara di Saigon, singgah di Taiping.  Menurut Mustapha Hussain, pegawai Jepun menjemput beliau dan Ibrahim ke sana untuk bertemu dua pemimpin Indonesia itu.  Beliau menolak jemputan itu kerana kesuntukan masa untuk menyediakan persiapan Kongres KRIS dan kerana kakinya amat lemah (Insun Sony, 1999:  375).  Ibrahim, Itagaki, dan beberapa orang pegawai KMM yang tiba dari Singapura pergi bersama-sama Jeneral Umezu untuk mengalu-alukan rombongan Indonesia itu.  Menurut laporan Ibrahim, beliau memberitahu Sukarno dan Hatta bahawa orang Melayu ingin mencapai kemerdekaan untuk Malaya (tidak termasuk Singapura) dalam Indonesia Raya.  Beliau juga mencadangkan bahawa “kemerdekaan Malaya” akan diisytiharkan pada akhir Ogos (sama ada pada masa yang sama dengan atau selepas proklamasi Indonesia), dan lapan orang delegasi, termasuk beliau dan Sultan Abdul Aziz dari Perak, akan menghadiri upacara kemerdekaan di Jakarta.  Sukarno dan Hatta kelihatan akur dengan  semangat berkobar-kobar Ibrahim itu (Cheah, 2014: 118 – 119;  lihat juga Mohamad Muzamil, 2015: 165).  Dalam perundingan itu, kedua-dua  pihak bersetuju menetapkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu dan Indonesia adalah pada September.  Tarikh itu kemudian dipercepat ke 24 Ogos 1945 (Mohamed Salleh, 2016: 53).Walau bagaimanapun, wujud versi yang bercanggah tentang sambutan atau respons anggota rombongan bersama-sama Sukarno, yang jelas menampakkan Ibrahim yang beria-ia sangat. Hal ini demikian, kerana ada anggota rombongan Indonesia  yang menolak idea kesatuan Indonesia Raya (Cheah, 2014: 119). 

 Dr. Burhanuddin turut hadir dalam pertemuan itu (Funston, 1980: 119; Mohamad Muzamil, 2015: 165), tetapi beliau hanya mengiakan semua perundingan  (Ramlah, 2003: 27). Mohamad Muzamil Mohamad Noor nampaknya  terkeliru apabila beliau menulis, “pertemuan itu memberikan idea kepada Ibrahim dan Dr. Burhanuddin untuk menubuhkan KRIS pada tahun yang sama” (Mohamad Muzamil, 2015: 165), sedangkan KRIS telah pun ditubuhkan  sebelum  pertemuan  terebut.
Sasterawan Negara, Abdullah Hussain menceritakan detik pertemuan antara Dr. Burhanuddin dengan Harun di Singapura. Dalam pertemuan itu juga Dr. Burhanuddin menceritakan pertemuan antara beliau dan Ibrahim Haji Yaacob dengan Sukarno, Hatta, dan Hadji Kiai Mas Mansur di Taiping dahulu. Beliau memberitahu timbul masalah memilih jalan untuk memerdekakan Tanah Melayu.  Sukarno dan rombongannya  belum bersedia menerima Malaya dalam Negara Kesatuan Indonesia, sebab mereka hanya akan mengumumkan kemerdekaan bagi kawasan yang dulunya dikenali sebagai Hindia Belanda saja (Abdullah, 2006: 217).  Dengan penjelasan ini  terbukti  bahawa  Sukarno tidak mengalu-alukan gagasan  Ibrahim Yaacob.  Dan, Ibrahim sendiri ketika itu menyedari usahanya untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu bersama-sama Indonesia menemui jalan buntu.  Beliau juga “tidak sanggup mengambil langkah seperti Indonesia, iaitu mengumumkan kemerdekaan Tanah Melayu kerana beliau khuatir tindakannya itu  tidak akan mendapat sokongan padu daripada seluruh rakyat sehingga boleh mencetuskan huru-hara yang akan membuka  peluang dan memberikan alasan kepada Inggeris untuk menindas kemerdekaan tersebut sebab tidak direstui oleh rakyat berbilang kaum” (Abdullah, 2006: 217).
Dengan penjelasan  itu, maka tanda tanya tentang pendirian Sukarno terhadap cadangan Ibrahim itu telah terjawab. Ibrahim sendiri dapat merasakan harapan besarnya berkecai, dan pada waktu itulah beliau teringat akan gurunya. Seperti yang diberitahu oleh Dr. Burhanuddin kepada Harun bahawa Ibrahim berkata, “Kalau ada cikgu Harun dia tentu mahu merdeka sekarang ini juga, tanpa menunggu persetujuan kaum-kaum lain lagi, sebab negara ini negara Melayu”  (Abdullah, 2006: 217). 
(Dipetik daripada Bab Tujuh, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral) 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...