Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Dari dunia Arab ke Eropah ke Amerika Syarikat dan juga ke tempat-tempat lain, menyaksikan kebangkitan rakyat atau massa yang luar biasa yang menakjubkan, mengalirnya semangat revolusi dunia tahun 1968. Kebangkitan ini dikenali dengan beberapa nama, tetapi yang paling terkenal ialah Pemberontakan Arab dan Menduduki Wall Street. Meskipun berlaku di banyak tempat di dunia ini, bermacam-macam identiti, dan faktor yang mencetuskan kebangkitan itu adalah pelbagai, kesamaan juga wujud, iaitu berpunca daripada ketidaksamaan pendapatan. Golongan 99 peratus menentang golongan satu peratus yang menguasai kekayaan. Golongan satu peratus ini, seperti yang diperkatakan oleh George Monbiot, pemusnah terbaik kekayaan dunia yang pernah berlaku.
Di Amerika Syarikat, sesetengah pengulas menyebut perang kelas, iaitu ketidaksamaan pendapatan golongan kaya berbanding dengan golongan miskin. Dalam mengisytiharkan perang kelas, Emma Davis, menulis: "September ini menandakan tahun ketiga krisis kewangan global yang amat dalam. Juga menandakan kemunculan gelombang baru penentangan terhadap ketamakan global, iaitu 'Menduduki Wall Street,' gerakan antarabangsa sekarang." Sememangnya, tidak sukar untuk memahami perang kelas ini keraja "sejak tahun 1980, kenaikan produktiviti," bahas Barbara Kiviat, "tidak disertai dengan kenaikan upah dan faedah sampingan yang menyebabkan kaum pekerja hidup dalam kemiskinan dan ketidaksamaan pendapat semakin melebar."
Gerakan Menduduki Wall Street, seperti yang ditegaskan oleh Nin-Hai Tseng, mengetengahkan fokus baru terhadap isu yang banyak orang Amerika sejak lama lihat sebagai masalah: jurang yang semakin melebar antara golongan yang memiliki dengan yang tidak memiliki. Isi rumah kaya di negara ini semakin kaya, sedangkan setiap orang yang lain hidup menderita. Jelas wujud sesuatu yang silap akan hal ini, yang bagi beliau, tidak memadai menyalahkan korporat yang tamak dan bank yang jahat. Sebaliknya, beliau cuba menarik perhatian tentang lenyap pekerjaan untuk kelas menengah yang berlaku dengan begitu pantas.
Menggunakan laporan terbaharu Bank Rizab Persekutuan New York, beliau menunjukkan bahawa pada tahun 1980, tiga perempat semua pekerja Amerika Syarikat adalah dalam pekerjaan kemahiran sederhana. Pada tahun 2009, angka ini merosot kepada dua pertiga. Sementara operator mesin adalah 10 peratus daripada pekerjaan di peringkat negara lebih dekad lalu dan pekerjaan pentadbiran terdiri daripada 18 peratus, bahagian kedua-dua pekerjaan ini masing-masing jatuh kepada empat peratus dan 14 peratus pada tahun 2009.
Namun, Nin-Hai Tseng mengingatkan bahawa kehilangan pekerjaan kelas menengah tidak hanya berlaku di Amerika Syarikat, tetapi juga di banyak ekonomi maju di dunia ini. Dan, meskipun berlaku lebih tiga dekad, pekerjaan kemahiran sederhana lebih terjejas daripada kebanyakan pekerjaan yang lain ketika Kemelesetan Besar.
Untuk menjawab mengapa protes di Amerika Syarikat berlaku sekarang, mengapa tidak tahun 2008 tatkala Wall Street hampir runtuh, atau 2009 ketika pengangguran dan perampasan rumah meningkat, George Packer yang meninjau beberapa orang yang terlibat dalam protes di Zuccotti Park, menjelaskan bahawa pemilihan Barack Obama kelihatan seakan-akan berakhirnya pertarungan, dan bukannya permulaan, dan mengambil masa tiga tahun untuk kembali semula ke medan.
Packer yang menulis "All the Angry People" dalam The New Yorker keluaran 5 Disember, yang dapat diperoleh melalui dalam talian terlebih dahulu, menegaskan bahawa sebelum Menduduki Wall Street, sebelum pergolakan ekonomi beberapa tahun melahirkan gerakan tidak tersusun bagi golongan yang tidak memiliki. Bagi sesetengah orang Amerika, daya usaha perundangan Presiden Barack Obama, seperti rangsangan, pembaharuan penjagaan kesihatan, kawal selia kewangan, dan pembaharuan kredit kad, menawarkan harapan terbaik untuk meredakan kesusahan negara. Tea Party, gerakan populis puak kanan dengan sokongan kuat daripada individu dan perbadanan yang kaya-raya, menarik minat media, menguasai wacana politik, dan menjelaskan duka lara negara dari aspek yang mengabaikan peranan golongan satu peratus.
Packer yang menulis "All the Angry People" dalam The New Yorker keluaran 5 Disember, yang dapat diperoleh melalui dalam talian terlebih dahulu, menegaskan bahawa sebelum Menduduki Wall Street, sebelum pergolakan ekonomi beberapa tahun melahirkan gerakan tidak tersusun bagi golongan yang tidak memiliki. Bagi sesetengah orang Amerika, daya usaha perundangan Presiden Barack Obama, seperti rangsangan, pembaharuan penjagaan kesihatan, kawal selia kewangan, dan pembaharuan kredit kad, menawarkan harapan terbaik untuk meredakan kesusahan negara. Tea Party, gerakan populis puak kanan dengan sokongan kuat daripada individu dan perbadanan yang kaya-raya, menarik minat media, menguasai wacana politik, dan menjelaskan duka lara negara dari aspek yang mengabaikan peranan golongan satu peratus.
"Akan tetapi," jelas Packer lagi, "Pentadbiran Obama gagal memanfaat kemarahan orang ramai atau memulihkan ekonomi, dan Tea Party kelusuhan sambutan yang diterimanya selepas Pilihan Raya Separuh Penggal 2010. Apabila Menduduki Wall Street menghidupkan api, kayu kering kontang. Tiba-tiba, muncul cara awam yang dramatik untuk membicangkan masalah, iaitu wang dalam politik, ketidaksamaan pendapatan, ketamakan korporat yang orang Amerika berasa kecewa, tetapi seakan-akan sukar dipengaruhi."
Sejak kemunculan gerakan Menduduki Wall Street yang Naomi Klein pernah mengisytiharkan "perkara yang paling penting di dunia sekarang," yang kian memperoleh rentak, seperti Menduduki London, dengan kecekalan enggan berundur, turut disedari umum betapa meluasnya jurang ketidaksamaan pendapatan. Dan disedari juga bahawa ketidaksamaan pendapatan buruk untuk ekonomi. Gerakan Menduduki Wall Street, hujah Matthew P. Drennan, menolong mengingatkan bahawa bank-bank diselamatkan oleh pembayar cukai, manakala isi rumah menerima bantuan kerajaan yang tidak seberapa dalam mengelakkan perampasan rumah, mengurangkan beban cukai, atau mencari pekerjaan menerusi rangsangan ekonomi yang serius.
Seperti Packer, Drennan juga cuba menjelaskan mengapa keberangan rakyat jelata itu berlaku sekarang, sedangkan ahli ekonomi mengisytiharkan Kemelesetan Besar telah berakhir. Bagi beliau, "keadaan ekonomi berjuta-juta individu adalah sama ada semakin teruk ataupun tidak bertambah baik jika dibandingkan dengan kedalaman kemerosotan pada tahun 2009." Beliau memetik laporan terkini bahawa pendapatan isi rumah median, diselaraskan dengan inflasi, jatuh 6.7 peratus sejak perisytiharan rasmi berakhirnya kemelesetan. Angka itu mengesahkan apa yang berjuta-juta orang ketahui betul bahawa ketidaksamaan sudah tidak terkawal lagi dan tidak menunjukkan tanda akan reda.
Taraf hidup kebanyakan rakyat Amerika, jelas Drennan adalah trend ke bawah untuk satu dekad. Ketika menjelang Kemelesetan Besar, iaitu pada tahun 2007, pendapatan median lebih rendah daripada pendapatan median pada tahun 2000, menjelang kemelesetan sebelum ini. Kini, pendapatan median jatuh lebih banyak. Dalam tiga dekad sebelum 2000, pendapatan isi rumah untuk 95 peratus Amerika pada dasarnya beku, manakala lima peratus isi rumah menguasai kebanyakan pertumbuhan pendapatan. Dengan kata lain, ketidaksamaan pendapatan semakin melebar.
Untuk mempertahankan gerakan Menduduki Wall Street, Eduardo Porter, menjelaskan ketidaksamaan pendapatan secara terperinci. Orang yang di atas, menurut beliau, adalah 1.4 juta keluarga yang memperoleh secara purata AS$1 juta pada tahun 2009. Golongan kaya Amerika sentiasa menguasai pendapatan isi rumah yang meningkat sepanjang tiga dekad lalu, bahkan tatkala pendapatan majoriti besar keluarga Amerika merosot. Bahagian satu peratus atas daripada jumlah pendapatan kasar negara yang diselaraskan adalah 17 peratus pada tahun 2009, jatuh daripada 23 peratus dua tahun sebelumnya. Akan tetapi, mereka masih memperoleh pendapatan lebih tinggi jika dibandingkan seluruh separuh penduduk yang di bawah.
Antara tahun 1979 hingga 2007, menurut kajian Pejabat Belanjawan Kongres (CBO), secara keseluruhan, dari segi dolar diselaraskan dengan inflasi, purata pendapatan isi rumah selepas cukai berkembang sebanyak 62 peratus, namun Eugene Robinson mengingatkan bahawa bagi mereka yang di bawah, iaitu satu perlima isi rumah dengan pendapatan paling rendah, kenaikan hanya 18 peratus. Bagi golongan tiga perlima pertengahan, peningkatan hanya 40 peratus. Sebaliknya, golongan satu peratus, pendapatan selepas cukai mereka meningkat sebanyak 275 peratus.
Laporan kajian oleh Pejabat Belanjawan Kongres mendedahkan bagaimana golongan satu peratus memperoleh kekayaan, manakala golongan 99 peratus hidup dalam kemiskinan. Jika sebelum ini banyak pihak meragui dakwaan golongan 99 peratus, menurut The Economist pendedahan laporan tersebut menyebabkan gerakan Menduduki Wall Street mendapat suntikan semangat. Jelas bahawa ketidaksamaan pendapatan di Amerika tidak meningkat secara dramatik sepanjang 20 tahun lalu apabila golongan satu peratus atas tidak tergolong. Dengan kemasukan mereka, gambaran berbeza sama sekali. Data bukan sahaja menunjukkan ketidakadilan terhadap golongan majoriti dan golongan kaya tidak ubah seperti penjahat (bandit).
Dalam "The Globalization of Protest," Joseph Stiglitz menyusuri gerakan protes yang bermula di Tunisia pada Januari, kemudian ke Mesir, seterusnya ke Sepanyol, dan bagaimana kini menjadi global, dengan protes melanda Wall Street dan kota-kota di seluruh Amerika. Globalisasi dan teknologi moden kini membolehkan gerakan sosial untuk mengatasi sempadan, sepantas kemampuan idea. Beliau menegaskan bahawa protes sosial menemui bumi yang subur di mana-mana sahaja dalam erti kata bahawa "sistem" yang gagal, dan keyakinan bahkan dalam demokrasi, iaitu proses pilihan raya tidak menjadikan perkara betul, sekurang-kurangnya bukan tanpa tekanan kuat daripada demonstrasi jalanan.
Stiglitz yang pernah melawat tapak protes Tunisia, berbual dengan indignados Sepanyol, seterusnya berjumpa revolusioner remaja Mesir di Dataran Tahrir, dan berbual dengan penunjuk perasaan Menduduki Wall Street di New York, menemui tema bersama, dinyatakan oleh gerakan Menduduki Wall Street dalam ungkapan yang mudah: "Kami adalah 99 peratus."
Slogan tersebut, tegas beliau, meniru makalah beliau yang diterbitkan dalam Vanity Fair pernah dipetik dalam blog ini sebelum ini, "Of the 1%, by the 1%, for the 1%" yang menjelaskan kenaikan besar-besaran dalam ketidaksamaan di Amerika Syarikat: satu peratus penduduk mengawal lebih 40 peratus kekayaan dan menerima lebih 20 peratus pendapatan.
Pada satu tahap, penunjuk perasaan pada hari ini, jelas Stiglitz hanya meminta sedikit, iaitu peluang untuk menggunakan kemahiran mereka, hak untuk kerja yang agak memuaskan dengan upah yang agak memuaskan, ekonomi dan masyarakat yang lebih saksama. Harapan mereka ialah evolusioner dan bukannya revolusioner. Akan tetapi, pada tahap lain, mereka menuntut sesuatu yang lebih besar, iaitu demokrasi yang orang ramai, dan bukannya dolar, adalah penting, dan ekonomi pasaran yang memberikan manfaat yang diharap-harapkan.
Stiglitz pergi jauh untuk menjelaskan bahawa kedua-dua itu berkait. Pasaran yang dibiarkan bebas mencetuskan krisis ekonomi dan politik. Pasaran berfungsi mengikut cara yang sepatutnya apabila pasaran beroperasi di dalam rangka kawal selia kerajaan yang sesuai; dan rangka yang boleh ditegakkan dalam demokrasi yang mencerminkan kepentingan umum, dan kepentingan satu peratus. "Kerajaan terbaik yang wang boleh beli tidak lagi memadai."
Sememangnya, slogan "Kami adalah 99 peratus" kuat dan menarik perhatian umum, untuk memperlihatkan penentangan terhadap golongan satu peratus. Namun, Paul Krugman melalui kolumnya dalam The New York Times, menegaskan bahawa 99 peratus tidak memadai, sebaliknya 99.9 peratus. Slogan itu hebat dan secara betul mentakrifkan isu sebagai golongan kelas menengah melawan golongan elilt (berbanding dengan golongan kelas menengah melawan golongan miskin).
Walau bagaimanapun, Krugman menegaskan bahawa slogan 99 sasarkan adalah terlalu rendah. Pecahan besar yang satu peratus atas peroleh sebenarnya dibolot oleh kumpulan yang lebih kecil, iaitu 0.1 peratus, golongan terkaya satu per 1000 daripada jumlah penduduk. Beliau juga merujuk laporan Pejabat Belanjawan Kongres untuk menunjukkan ketidaksamaan pendapatan yang amat ketara dalam kalangan rakyat Amerika.
Mereka yang mendapat faedah yang membawa kepada krisis kewangan, seperti yang disyorkan oleh Timothy Garton Ash, memberikan pampasan sekarang. Melakukan amal jariah adalah bukannya pengganti untuk pembaharuan sistemik, tetapi banyak membantu. "Di antara langkah St Paul's Cathedral (tempat penunjuk perasaan Menduduki London berkumpul) dengan mesyuarat G-20 di Cannes, saya mempunyai mesej kepada banker: beri balik sesetengahnya."
Kemarahan yang memarakkan perkembangan pantas gerakan Menduduki Wall Street tidak akan padam. Tinjauan pendapat menunjukkan sehingga separuh rakyat Amerika menyokong penunjuk perasaan atau sekurang-kurangnya percaya bahawa mereka mencerminkan pendapat awam. Tanpa mengambil kira apakah yang berlaku terhadap golongan 99 peratus dan perkhemahan mereka, bahas John Cassidy, pemimpin perniagaan Amerika perlu mengambil serius apakah pengajaran untuk mereka. Tambah beliau, sejak akhir-akhir ini, sesetengah pemimpin membuktikan bahawa mereka memahami apakan yang mendorong rintihan itu.
Setelah sejak sekian lama, golongan satu peratus, atau disebut oleh David Harvey, "Parti Wall Street" tidak dicabar di Amerika Syarikat, kini mereka "bertemu buku dengan ruas." Apabila golongan kaya mengaut dan mengumpulkan kekayaan mereka dengan tamak haloba, sedangkan golongan majoriti terus dihimpit oleh kemiskinan, pastinya kesabaran golongan ini ada batasnya.
Dari Dataran Tahrir ke Wall Street, ketidaksamaan pendapatan yang kian melebar jika tidak dibendung, dan bahkan golongan elit politik bersekongkol dengan satu peratus, nescaya akan membawa padah. Paling tidak perang kelas, dan pada tahap yang paling serius, pemberontakan atau revolusi.
Pengajaran untuk para penggubal dasar dan pihak berkuasa di negara kita, pertumbuhan ekonomi mesti disertai dengan pengagihan, mesti wujud kesan lelehan. "Kek yang mengembang" mesti diagihkan sama rata mengikut hak dan kelayakan." Bahaya jika terlalu terpasung dalam polemik meritokrasi melawan tindakan afirmatif, sedangkan ketidaksamaan pendapatan kian melebar.
No comments:
Post a Comment