Artikel Popular

Tuesday, February 5, 2013

Untuk Majalah

SELASA, 5 Februari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Menurut kebijakan konvensional, bahas Katrina vanden Heuvel, majalah mengalami kemerosotan, dengan merujuk penamatan  edisi bercetak Newsweek, manakala Gourmet dan Life sudah lama berkubur.  

Akibat pengedaran yang merosot, jelas beliau, U.S. News and World Report terpaksa mengubah sasaran pembaca.  Rolling Stone dan Omnimedia terpaksa memberhentikan pekerja; demikian juga GOOD yang mempunyai pendanaan yang kukuh. Sebelum ini, The American  Prospect  yang menanggung defisit setengah juta dolar hampir-hampir ditutup, tetapi dapat diselamatkan dengan mengorbankan kewartawanan. 

Di sebalik berita muram itu, hujah Katrina, beberapa majalah mampu meneruskan kelangsungan masing-masing, misalnya The New Republic yang mereka bentuk semula (edisi bercetak) dan melancarkan semula (dalam talian).  Majalah itu yang akan genap 100 tahun penerbitannya pada tahun 2014 merupakan "saudara" The Nation yang setahun kemudian  akan genap 150 tahun. "Sebagaimana The New Republic," tulis beliau,  kami percaya pada liputan budaya, kedua-duanya, iaitu tinggi dan rendah."  (Kami yang beliau maksudkan itu ialah The Nation,  iaitu  majalah yang beliau berkhidmat.)

Berbeza dengan kebijakan konvensional, hujah Katrina, majalah mampu bertahan, dan bahkan berkembang maju, misalnya The Nation yang kini dapat diperoleh secara mingguan dalam berbagai-bagai pentas digital dengan lebih 1.1 juta pembaca, manakala jumlah pelanggan edisi bercetak lebih banyak jika dibandingkan dengan satu dekad lalu. Sementara Mother Jones, selepas pendedahan "47 peratus" ketika kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun lalu, menyaksikan peningkatan langganan edisi bercetak; demikian juga Garden and Gun yang mencipta kejayaan. The New Republic yang edarannya terjejas teruk pada musim bunga lalu, kini beransur-ansur bangkit semula.  

Dalam pada itu, Time Inc. yang antaranya menerbitkan Time, Sports Illustrated, dan People,   yang mempunyai   tenaga kerja yang kira-kira 8000 orang, dilaporkan   akan dikurangkan kira-kira enam peratus. 

Meskipun dunia permajalahan dilanda kemuraman, misalnya kejatuhan perbelanjaan setiap orang terhadap majalah dan akhbar sebanyak 47 peratus sejak tahun 1999,  di Amerika Syarikat, pekerjaan dalam bidang media dan penerbitan menyaksikan pertumbuhan upah yang besar sejak tahun 2006.






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...