Artikel Popular

Friday, February 15, 2013

Media Sosial: Politik, Gerakan Sosial, dan Ketagihan

KHAMIS, 14 Februari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Bersempena dua  tahun Pemberontakan Arab, dengan Tunisia bukan lagi anak tempelan revolusioner dan Mesir dibina di atas pasir serta terumbang-ambing bergolak dengan kacau-bilau menempuh  hari gelap, Joseph S. Nye menulis bahawa pemberontakan global sekarang berasaskan kemajuan teknologi yang pesat yang secara dramatik mengurangkan kos penciptaan, penemuan, dan pemindahan maklumat. Akibatnya, jelas beliau, dunia politik tidak lagi semata-mata wilayah kerajaan.  Individu dan organisasi swasta, termasuk WikiLeaks, perbadanan multinasional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), atau gerakan sosial yang wujud secara spontan, diperkasa untuk memainkan peranan langsung.

Jelas Nye lagi, penyebaran maklumat bermakna rangkaian tidak formal memotong  monopoli birokrasi tradisional, dengan semua kerajaan kurang mampu mengawal agenda mereka.  Para pemimpin politik menikmati kurang darjah kebebasan sebelum mereka mesti memberikan respons terhadap peristiwa, dan kemudian mesti berkomunikasi bukan hanya dengan kerajaan lain, tetapi juga dengan masyarakat sivil.

Daripada  Pemberontakan Arab kepada revolusi global, peranan media sosial, seperti Twitter, Facebook, blog, dan YouTube, sering diperkatakan,  dan  bahkan diperbesarkan seolah-olahnya tanpa media tersebut, pemberontakan  tidak akan menjadi kenyataan.  Dalam ulasan buku Steven Johnson, Future Perfect:  The Case for Progress in an Networked Age, Evgeny Morozov, menegaskan bahawa "gerakan sosial melupakan media sosial."   Morozov mengingatkan bahawa dua cara yang silap tentang Internet.  Pertama, mendakap siber-utopianisme dan anggapan Internet sebagai memang mendemokrasikan.  Kedua, Internet akan memusnahkan kediktatoran, melemahkan fundamentalisme agama, dan menggantikan kegagalan institusi. 

Dalam ulasan itu, Morozov secara keseluruhannya mengkritik Johnson yang pandangan dunia Internet-centric adalah terlalu bias ke arah semua perkara dipencarkan, mengufuk, dan beremansipasi.  "Bagi Johnson, Internet bukannya penyelesaian, tetapi cara yang berguna untuk berfikir tentang penyelesaian."  Namun, hujah Morozov, beliau tidak menjelaskan jenis penyelesaian.

Kritikan tersebut membawa kepada debat antara kedua-duanya:  Mampukah media sosial menyelesaikan masalah dunia sebenar?

Yang tidak kurang menarik ialah media sosial, seperti Facebook dan Twitter, mewujudkan ketagihan dalam kalangan penggunanya, menurut kajian University of Chicago, yang mendapati, bahkan lebih ketagih daripada rokok dan alkohol.   Pengarang dan ilustrator Gemini Adams mengaku sendiri bahawa beliau cuba menggantikan ketagihan Facebook dengan menjauhkan diri daripada laman Web dan mengikuti senaman yoga. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...