Artikel Popular

Friday, February 15, 2013

Sumpah Tujuh Keturunan, Mampukah Mario Draghi Dukuni?

JUMAAT, 15 Februari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Zon euro bagaikan terkena sumpah tujuh keturunan dengan krisis yang tidak menunjukkan tanda untuk reda, dan bahkan semakin parah.  Kemelesetan zon euro semakin teruk jika dibandingkan dengan ramalan ahli ekonomi dengan prestasi terburuk dalam masa hampir empat tahun kerana tiga ekonomi terbesar dalam wilayah itu mengalami kemerosotan output yang ketara.

Keluaran Dalam  Negara Kasar (KDNK) untuk suku keempat tahun 2012 jatuh 0.6 peratus, manakala Jerman merosot 0.6 peratus, Perancis -0.3 peratus, dan Italy -0.9 peratus - semuanya merosot lebih banyak jika dibandingkan dengan ramalan.  Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Mario Draghi berkata minggu lalu bahawa keyakinan dalam blok 17 buah negara itu distabilkan dan  ECB melihat pemulihan beransur-ansur bermula akhir tahun ini, meskipun keadaan "mudah terjejas." Kemelesetan zon euro semakin dalam kerana Jerman terhuyung-hayang, dan juga Perancis yang tidak ingin lagi merendahkan defisit belanjawannya.

Dalam keluaran 28 Januari, Time muncul dengan rencana utama  "The Man Who Would Save Europe" yang ditulis oleh Catherine  Mayer dan Michael Schuman.  Tahun lalu, Mario Draghi menyelamatkan euro dan ekonomi global.  Tahun ini, bos ECB itu terpaksa melakukannya sekali lagi.  Senjata beliau yang sangat kuat, seperti yang dibahaskan oleh Matthew Brockett dan Stefan Riecher, ialah perkataan kerana euro mendengar suaranya.

Sejak zon euro dilanda krisis, beberapa nama diketengahkan yang kononnya mampu menyelamatkan Eropah, antaranya Canselor Angela Merkel dan Perdana Menteri Italy Mario Monti, namun jelas kedua-duanya gagal. Kini, harapan yang tinggi diberikan kepada Mario Draghi, yang berkemungkinan besar  mengalami nasib yang sama. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...