Artikel Popular

Sunday, February 17, 2013

Pembunuhan Kejam Hari Valentine

AHAD, 17 Februari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Kemeriahan Hari Valentine pada tahun ini sedikit sebanyak diwarnai oleh tragedi apabila Oscar Pistorius dihadapkan ke muka pengadilan atas tuduhan membunuh teman wanitanya, ratu cantik Reeva Steenkamp. Kemudian, meteorit melanda Rusia, yang disifatkan oleh Konstantin Kakaes, "tidak ada orang yang mengetahui kedatangannya."

Bagi dunia Barat, menurut pemerhatian P.W. dalam The Economist, berlaku pembunuhan kejam pada Hari Valentine, iaitu laporan ekonomi yang muram: angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku terakhir tahun 2012.  "Lubang yang zon euro terhumban semakin dalam yang di luar jangkaan."

Di seluruh zon yang dianggotai oleh 17 buah negara,  tulis P.W., output jatuh sebanyak 0.6 peratus daripada tahap suku ketiga tahun 2012, membawa KDNK 0.9 peratus lebih rendah jika dibandingkan dengan tahun sebelum ini. Sepanjang tahun 2012, KDNK kawasan euro jatuh sebanyak 0.5 peratus berbanding dengan tahun 2011.  Kegagalan ini menjejaskan negara pemiutang di pusat kawasan euro, di samping negara pemiutang di pinggir.  Di Jerman, KDNK merosot sebanyak 0.6 peratus; di Perancis sebanyak 0.3 peratus, di Belanda sebanyak 0.2 peratus; dan Finland sebanyak 0.5 peratus.

Sementara Amerika Syarikat, meskipun dunia korporat membawa berita gembira dengan penggabungan  mega dan pasaran semakin kukuh, Paul Krugman mengingatkan bahawa "negara itu separuh perjalanan ke dekad yang hilang," iaitu  lebih teruk daripada yang pernah dialami oleh Jepun yang mengalami kebekuan ekonomi pada tahun 1990-an.

Amerika Syarikat kini, bahas Krugman, lima tahun terjebak dalam kemelesetan yang bermula Disember 2007, yang dari segi teknikal, berakhir pada tahun 2009.  Kadar pengangguran pula, ialah 7.9 peratus pada Januari tahun ini, sedangkan secara purata hanya 4.6 peratus sebelum kemelesetan.

Greece yang mengalami krisis kemanusiaan,  kemiskinan semakin teruk kerana kadar pengangguran meningkat kepada 27 peratus pada November, adalah yang paling tinggi, dan negara itu terjebak dalam kemelesetan untuk tahun keenam.  Sementara Italy yang hutang awam lebih 120 peratus KDNK dan dalam empat tahun sejak krisis kewangan global melanda, kadar pertumbuhan jatuh kepada -1.2 peratus, tegas Paola Subacchi, memerlukan agenda ekonomi

Di luar kawasan euro, iaitu  United Kingdom,  Bank of England mengingatkan, dijangkakan mencatatkan pertumbuhan KDNK yang rendah sekurang-kurangnya selama dua tahun.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...