Artikel Popular

Wednesday, February 13, 2013

Barack Obama: "State of The Union"

RABU, 13 Februari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Dalam masa kurang daripada sebulan, Presiden Barack Obama menyampaikan dua ucapan yang sangat penting, bukan sahaja menjadi tumpuan rakyat Amerika, tetapi juga oleh warga dunia.   Pertama, ucapan bersempena pelantikan beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat untuk penggal kedua untuk membina legasi,  memburu keagungan,  untuk negara yang lebih baik, dan menetapkan beberapa matlamat yang terlalu tinggi. Obama juga, tegas Timothy Noah,  mahu melakukan lebih terbaik terhadap kesamaan. 

Beliau menggunakan kesempatan tersebut untuk menyampaikan "manifesto progresif"  dan "membuka pintu untuk dasar luar Amerika baru" - memetik Robert Dreyfuss.  Namun, beliau dikatakan lupa bahawa pertumbuhan ekonomi adalah hanya satu cara untuk kemajuan sosial.

Dalam ucapan tersebut,  Obama  memperlihatkan dirinya Presiden yang tidak apologetic, sebaliknya "beliau mempunyai wawasan yang berani untuk masa depan Amerika," ulas David A. Fahrenthold. "Obama," tulis Lexington dalam The Economist, "mahu menyempurnakan projek Masyarakat Agung."  Ucapan itu, bahas David Corn, ialah pengesahan semula tradisi progresif negara dan pengiktirafan komponen teras Amerika Obama; atau menurut John Cassidy, "puak tengah yang muncul sebagai liberal."    Obama selalunya liberal, kini beliau mempertahankan liberalisme. "Era liberalisme kembali semula," tegas Pemimpin Minoriti Senat, Mitch McConnell yang mengulas ucapan tersebut. Namun, agenda Obama bukannya liberal, meskipun beliau berbangga dengan liberalisme.

Obama, bahas John Dickerson, menyampaikan ucapan politik, iaitu beliau menyeru perpaduan, tetapi mengikut istilah beliau sendiri sambil mengacah-acah puak Republikan.  Namun,  gara-gara tulisannya, maka puak konservatif benci akan Dickerson, manakala Obama bertelagah dengan  Paul Ryan, calon Naib Presiden daripada Parti Republikan tentang "pembuat dan pengambil."  Bagi puak Republikan, Obama menyampaikan ucapan kepartian.


Dalam ucapan itu yang pada pemerhatian Ezra Klein,   "agenda penggal yang bercita-cita tinggi,"  Obama  antara lain, mengemukakan pelan induk ekonomi progresif.  Beliau juga berjanji memberikan harapan baru kepada  kelas menengah, sesuai dengan kempen beliau tahun lalu,  golongan yang dikatakan membeku, dan menjadi perhatian di seluruh dunia. Obama ingin memberikan tumpuan terhadap pekerjaan dan ekonomi  yang merupakan cabaran utama terhadap beliau kerana kadar pengangguran di Amerika Syarikat masih tinggi, yang terbaharu 7.9 peratus dan pertumbuhan masih lemah, walaupun keadaan lebih baik jika dibandingkan dengan sebelum ini.  Hakikat berita gembari ini diakui sendiri oleh Obama dalam mukadimah ucapannya itu. Gesaan beliau terhadap pertumbuhan ekonomi dan peluang untuk kelas menengah, diulas oleh Alex Altman.


Mengulas ucapan State of The Union itu, David Corn yang menulis dalam Mother Jones, menegaskan bahawa Obama mengemukakan agenda progresif yang sangat berkuasa yang merangkumi prasekolah universal, pencegahan senjata api, dan upah minimum. Namun, peningkatan upah minimum yang beliau cadangkan itu, bahas Timothy Noah, masih tidak cukup.  

Ucapan itu mengandungi beberapa perkara penting, seperti yang ditegaskan oleh Jonathan Chait, namun semakan fakta oleh The Daily Beast, menunjukkan Barack Obama ada kalanya berdusta.  Walau bagaimanapun, ucapan tersebut mendapat liputan yang meluas, antaranya oleh The Washington Post.

Setelah menang selesa dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2012, Obama nampaknya bertindak menyerang balas Republikan yang sering menjadikan beliau "tebusan" dalam tempoh penggal pertama beliau.  Pendekatan Republikan ini berkesan apabila parti itu berjaya menguasai semula Dewan Perwakilan dalam Pilihan Raya Separuh Penggal 2010.  Namun, selepas pilihan raya tahun lalu, Obama kelihatan lebih bertenaga dan sering mengacaubilaukan Republikan, seperti yang dapat dilihat dalam cenuram fiskal dan siling hutang.  Demikian juga dalam kedua-dua ucapan itu apabila beliau mengambil kesempatan untuk mengacah-acah atau mengenakan Republikan.  

Lebih daripada itu, seperti yang dibahaskan oleh Robert Shrum, Obama bersiap sedia untuk kempen penggal ketiga, iaitu Pilihan Raya Separuh Penggal tahun 2014, dengan harapan Demokratik menguasai semula Dewan Perwakilan dan mengekalkan kedudukan dalam  Senat.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...