Artikel Popular

Tuesday, February 26, 2013

Krisis Hutang: Tiba Giliran Asia?

SELASA, 26 Februari 2013
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Tatkala zon euro terus bergelut dengan kemelesetan,   dilanda satu demi satu berita buruk,  dan yang terbaharu,  kebuntuan  pilihan raya Italy, yang meruncingkan lagi keadaan,  manakala mata wang paun sterling jatuh paling buruk dalam masa dua tahun akibat kejatuhan penarafan kredit, Asia secara keseluruhannya kelihatan stabil. Secara relatif, walaupun ekonomi dalam   krisis,   rantau ini boleh dikatakan cepat bingkas, iaitu keluar daripada krisis kewangan global dan kemelesetan dunia, dan seterusnya mencatatkan pertumbuhan ekonomi.

Pendek kata, tatkala banyak negara, terutamanya zon euro, kebanyakan negara Asia  berjaya mengharungi pelayaran yang bergelora.  China terus mencatatkan pertumbuhan yang tinggi, iaitu kira-kira lapan peratus, setiap tahun, manakala pertumbuhan  Malaysia pada tahun 2012 ialah   5.6 peratus, dan Singapura 3.3 peratus, sebagai contoh.

Namun, Asia tidak boleh selama-lamanya hidup dalam zon selesa, walaupun krisis kewangn 1997-1998 banyak memberikan pengajaran kepada rantau ini.  Asia berkemungkinan terjebak dalam krisis hutang, seperti yang dibayangkan oleh Michael Schuman.   Peningkatan hutang di rantau ini mula membimbangkan. 

Schuman memetik kajian terbaharu daripada bank mega HSBC yang menyatakan bahawa berasaskan nisbah kredit bank dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi rantau ini,   "umpilan kini lebih tinggi daripada tahap punck sebelum krisis Asia 1997.  Selain itu, terbitan bon adalah tinggi   dalam beberapa tahun kebelakangan ini, membiayai opsyen bukan kelaziman pada tahun 1990-an.

Menurut data daripada +Standard & Poor's, yang dipetik oleh Schuman, pemberian pinjaman daripada institusi kewangan kepada sektor korporat dan isi rumah, sebagai peratusan KDNK di Hong Kong meningkat daripada 143 peratus pada tahun 2005 kepada anggaran 202 peratus pada 2012.  Di Korea Selatan, nisbah yang sama meningkat daripada 132 peratus kepada 166 peratus dalam tempoh yang sama; Singapura, 91 peratus kepada 117 peratus; dan China daripada 112 peratus kepada 130 peratus.  Nisbah Vietnam hampir berganda, daripada 66 peratus kepada 113 peratus.  

Jika krisis hutang melanda Asia, adakah Malaysia dengan nisbah hutang  negara 52 peratus KDNK, terselamat? 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...