Artikel Popular

Thursday, February 21, 2013

Pertumbuhan 5.6 Peratus: Faktor Kemenangan?

KHAMIS, 21 Februari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang boleh dikatakan menakjubkan,  iaitu 6.4 peratus pada suku keempat tahun 2012, menjadikan pertumbuhan  untuk tahun lalu, 5.6 peratus berbanding 5.1 peratus pada tahun 2011.  

Pertumbuhan ini adalah yang terpantas dalam masa dua setengah tahun, dan tatkala kebanyakan negara, seperti zon euro dan ekonomi maju terjebak dalam kemelesetan.  Mana-mana parti pemerintah yang menghadapi pilihan raya, pertumbuhan yang lembap dan kadar pengangguran yang tinggi, cukup membimbangkan. Silap perhitungan boleh tumbang, hanya Presiden Barack Obama yang mampu mara untuk penggal kedua, meskipun faktor ekonomi tidak memihak kepada beliau.

Bagi Perdana Menteri Najib Razak yang menghadapi Pilihan Raya Umum pada bila-bila masa dari sekarang, kadar pertumbuhan yang tinggi ini, bahkan mengatasi jangkaan, pastinya beliau dapat menarik nafas lega.  Dalam erti kata bahawa ekonomi tidak boleh dijadikan medan pertarungan oleh pembangkang dengan sewenang-wenangnya.  Fakta dan angka akan berbicara dengan sendirinya. Lazimnya, Keluaran Dalam Negara Kasar ((KDNK) merupakan persoalan utama dalam pertarungan ekonomi, di samping pengangguran, sebelum diperincikan kepada agihan kekayaan, ketidaksamaan pendapatan, dan kemiskinan.

Laporan terbaharu tentang pertumbuhan ekonomi Malaysia, sedikit sebanyak mencorakkan pilihan raya kali, tidak kira siapakah yang membuka gelanggang.  Inilah laporan ekonomi yang terakhir sebelum pilihan raya. Hal ini demikian kerana, apabila laporan pertumbuhan suku pertama tahun 2013 diumumkan kelak (lazimnya bulan Mei), pilihan raya telah pun selesai, dan parti yang mendapat mandat majoriti telah pun membentuk kerajaan yang baru.

Hanya sedikit membimbangkan parti pemerintah dari segi faktor ekonomi, ialah pasaran saham yang tidak menentukan sejak kebelakangan ini, yang menunjukkan arah penurunan.  Trend ini, secara tersirat, meluahkan keluh-kesah pasaran yang ada kaitannya dengan jangkaan keputusan pilihan raya umum kelak.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...