Artikel Popular

Saturday, February 23, 2013

Los Angeles Bermandikan Cahaya

SABTU, 23 Februari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Hari semakin gelap.  Memang mulai pukul 3.50 petang, saya dapati +City of Los Angeles mulai gelap.  Selepas mencari bekas tapak tangan dan tapak kaki selebriti, saya menemani isteri saya masuk ke dalam kedai yang berhampiran.  Tujuannya untuk mencari set kepala beatpro yang anak saya pesan, tetapi tidak dijual di kedai itu.  

Akhirnya, isteri saya membelek kemeja-T sehelai demi sehelai.  Walau bagaimanapun, tidak ada sehelai yang dibelinya kerana terpaksa beratur panjang di kaunter untuk bayar, sedangkan pemandu pelancong sibuk suruh beredar segera.

Oleh sebab hari semakin gelap - masuk waktu malam, sepanjang perjalanan, saya perhatikan kota Los Angeles terang benderang.  Saya memberitahu isteri saya, "suasana Krismas."

Sebenarnya, perjalanan kami seterusnya, menurut pemandu pelancong, Benny, untuk makan malam di  China Town.    Dalam kegelapan malam yang disinari oleh cahaya, saya terpandang iklan yang tertera "Obama."  

Dalam pada itu, pemandu pelancong memberitahu bahawa kami akan singgah di tempat tertentu, antaranya tempat berlangsungnya +Grammy Awards.  Dia memberitahu ada dua bangunan di tempat itu, satu untuk muzik dan satu lagi untuk filem (kalau tidak silap pendengaran saya).  


Sampai di situ, bas hanya berhenti di tepi jalan, menurunkan dan menunggu kami. Memang ada dua buah bangunan, sebelah menyebelah di deretan yang sama, dan antara dua bangunan itu, kelihatan pengawal bertugas.  

 Namun, saya tidak bertanyakan pemandu pelancong itu: mana satu untuk muzik dan mana  satu untuk filem.  Saya hanya mengambil gambar di kawasan itu yang bermandikan cahaya.  Di seberang jalan, kelihatan sebuah bangunan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...