Artikel Popular

Friday, February 1, 2013

Pendatang Mampu Kirim Wang

JUMAAT, 1 Februari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Kerajaan Malaysia membuat keputusan untuk melaksanakan levi semula, tetapi kali ini terhadap pekerja asing dan bukannya terhadap majikan yang mengambil mereka bekerja.  Langkah baru ini disambut baik oleh majikan kerana mereka dijangkakan dapat menjimatkan antara RM100 hingga RM150 untuk setiap pekerja, setiap bulan.  Sementara pekerja asing dijangkakan mampu membayar levi yang dikenakan terhadap mereka, lebih-lebih lagi mereka juga menikmati dasar upah minimum.

Kini, disedari bahawa aliran wang pendatang di seluruh dunia meningkat mencecah rekod kerana lebih banyak orang jika dibandingkan sebelum ini merentas sempadan dan bekerja di negara luar.  Wang yang dikirimkan untuk keluarga mereka pada tahun 2012,  menurut The Guardian, yang memetik sumber Bank Dunia, lebih AS$530 bilion. 

Amaun ini tiga kali ganda dalam satu dekad dan kini tiga kali lebih besar jika dibandingkan jumlah belanjawan bantuan global.  Jika kiriman wang pada tahap yang dicatatkan oleh Bank Dunia ialah ekonomi tunggal, ini bermakna ke-22 terbesar di dunia, lebih besar daripada Iran atau Argentina.  Bank Dunia juga menganggarkan bahawa angka sebenar adalah lebih besar kerana berbilion-bilion dolar kiriman tidak dicatatkan kerana banyak pendatang ini terus-menerus tidak menggunakan bank dan syarikat pindahan wang besar yang merupakan data Bank Dunia.  Beberapa buah negara, termasuk Filipina, Bangladesh, dan Senegal, mengambil daya usaha atau menubuhkan kementrian untuk mengurus wang tunai yang dihantar dari seberang laut.

Phillip Inman yang mengulas laporan Bank Dunia itu, menegaskan bahawa Amerika Syarikat kerugian, manakala Perancis mendapat manfaat daripada aliran masuk  kiriman wang besar, iaitu AS$18.9 bilion pada tahun 2011, lebih daripada AS$14.8 bilion yang mengalir keluar dari negara itu.  Angka Bank of England  menunjukkan bahawa Britain   juga pemenang bersih, dengan AS$8 bilion mengalir masuk berbanding AS$3.2 bilion mengalir keluar.  Walau bagaimanapun, Bank Dunia menyatakan angka itu adalah terlalu kurang anggar dan angka aliran keluar sebenar hampir AS$20 bilion.

Sementara Amerika Syarikat yang merupakan negara yang paling besar menanggung kerugian, apabila lebih AS$100 bilion mengalir keluar setiap tahun, ke pelbagai destinasi, antaranya Tonga, Ukraini, Costa Rica, dan tentunya China.  Menurut angka tahun 2010, kira-kira AS$6 bilion. 

Tatkala pekerja asing mampu mengirimkan wang ke negara asal mereka, pekerja Malaysia sering merungut bahawa upah yang mereka terima sekadar "cukup makan."  Kos sara hidup yang tinggi benar-benar menyempitkan kehidupan mereka, lalu bagi penjawat awam terutamanya, sering menuntut kenaikan gaji.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...