Artikel Popular

Thursday, February 14, 2013

Mengurus Studio

KHAMIS, 14  Februari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Penulisan kembara saya tentang pengalaman makan angin di Amerika Syarikat sepatutnya sudah lama berakhir.  Namun, berpunca daripada saya beralih penulisan kepada topik yang lain, penulisan kembara hilang rentaknya. Selepas "Pelancongan Budaya," tanpa saya sedari, sudah hampir sebulan saya tidak menulis topik yang sepatutnya dihasilkan secara berterusan. Oleh sebab lama terbantut, maka saya menghadapi kesukaran untuk "memanaskan yang dingin."

Sebelum ini, saya pernah mencatatkan pengalaman saya melawat Disneyland, yang saya terlupa memasukkan kisah  pasangan dari California yang mengunjungi Disneyland di Anaheim setiap hari pada tahun 2012 dengan menggunakan pas tahunan. 

Sebenarnya, hari-hari terakhir makan angin, saya dan anggota rombongan berkesempatan melawat Universal Studios. Kami bertolak dari hotel penginapan, iaitu Double Tree dengan menaiki bas pelancongan yang membawa kami sejak hari pertama lagi, kira-kira pukul 9.00 pagi.  Walau bagaimanapun, oleh sebab jalan sesak, kami tiba di sana agak lewat. 

Setibanya di sana, pemandu pelancong memberitahu tempat berkumpul kami berhampiran dengan globe  pada pukul 6.30 petang untuk pergi makan malam. Kami juga diberikan tiket masuk Universal Studios yang merupakan kertas fotokopi.  Sebelum memulakan perjalanan di studio itu, seperti biasa, kami diberikan peluang untuk ke tandas terlebih dahulu.  Mungkin ada yang tidak tertahan lagi mungkin kerana lama di dalam bas.

Program pertama kami, dengan panduan  pemandu pelancong, kami mengikuti studio tour. Kami dan para pengunjung yang lain terpaksa menunggu lama kerana tram yang membawa pengunjung lewat tiba.  Melalui hos video dan klip perakam HD yang disediakan di dalam tram,  saya dapat mengetahui blok demi blok bangunan dan   tempat yang dlalui itu.  Ketika melawat studio ini, saya dapat merasakan pihak Universal Studios memulihara sejarah,  warisan,  dan ikon perfileman, seperti rumah kedai, bank, pekan koboi, laut (lebih sesuai disebut kolam) jerung, kapal terbang terhempas, kereta perisai,  kereta api terbalik kerana gempa bumi, dan hujan yang turun tiba-tiba.

Sampai di sebuah tempat, hos video meminta kami memakai cermin 3-D yang dibekalkan kami menunggu tram tadi untuk menonton  King Kong 360 3-D yang agak mencemaskan.   

Seterusnya, saya dan isteri bersama-sama anggota rombongan yang lain, memasuki babak yang mencemaskan dan menakutkan, bahkan ada antara kami yang memejamkan mata mereka: Transformers the Ride 3-D.  Cukup dengan pengalaman ini, saya dan isteri tidak mengikuti Revenge of the Mummy: The Ride memandangkan kami sudah berumur, tidak ingin melakukan sesuatu yang memudaratkan kesihatan.  Pengalaman kami di Movie World di Gold Coast, Australia pada tahun 2008 mengajar kami supaya berhati-hati dalam mengikuti program penunggangan, walaupun keselamatan terjamin.

Tatkala menunggu sebilangan anggota rombongan "berjumpa Mummy," saya dan isteri bersama-sama ibu dan ibu mentua Azeil lepak di kawasan lapang sambil membantu kedua-dua mereka menjaga dua orang anak beliau. Selepas acara seram itu, kami semua dibenarkan mengikuti acara masing-masing.  Untuk sementara waktu, saya dan isteri makan tengah hari di restoran berhampiran menikmati sushi. 

Kemudian, saya dan isteri naik ke kawasan tempat kami tiba tadi.  Selepas berlegar-legar seketika, kami menonton Shrek 4-D. Seterusnya, berkesempatan bergambar dengan Shrek dan isterinya. Acara lain yang saya dan isteri ikuti, dan secara kebetulan, beberapa anggota rombongan lain juga ikut serta ialah menonton Animal Actors.

Ketika di Universal Studios, saya dan isteri berkesempatan menonton Water World, dengan para penonton yang penuh sesak, menyaksikan persembahan itu.  


Sebelum berkumpul di globe yang terletak berhampiran, saya dan isteri santai sambil menonton pertunjukan tarian.  Apabila semua anggota rombongan berkumpul, kami dibawa oleh pemandu pelancong untuk makan malam di Tony Roma's sebelum pulang ke hotel penginapan.

Walaupun hampir sehari suntuk di Universal Studios, saya dan isteri tidak membeli-belah di sini.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...