Artikel Popular

Tuesday, February 19, 2013

Orang Tiada Tempat Berteduh

SELASA, 19  Februari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Malam besok, saya dan anggota rombongan yang lain akan pulang ke tanah air  melalui  Taipei. Hari ini kami dibawa melawat +Santa Monica.  Seperti biasa, selepas sarapan di Hotel Double Tree, kami bertolak ke sana pukul 9.00 pagi, ketika itu cuaca amat sejuk dan berkabus.

Dalam perjalanan, seperti lazim, pemandu pelancong "berceloteh" di hadapan ketika bas yang membawa kami meneruskan perjalanan dalam keadaan lebuh  raya tidak berapa sibuk.  Lebuh raya mulai sibuk, sesak, selepas tanda arah Pasadena, melalui Plaza Mexico. Pemandu pelancong memberitahu bahawa di lebuh raya, bas mempunyai laluan khusus, demikian juga kenderaan yang mempunyai lebih tiga orang penumpang.  Lebuh raya tidak lagi sesak, di sebelah kanan jalan kelihatan Hotel Airpark, CocomoJoe, kedai Honda, Ford, dan pusat beli-belah Wesfield (pasar raya). Kemudian, kelihatan bangunan Volvo dan bangunan +LA Weekly.  

Pada pukul 10.15 pagi, bas yang membawa kami memasuki bandar Santa Monica, kelihatan kedai GAP. Santa Monica terletak di tepi pantai, ketika kami tiba, keadaan masih lengang. Kedai-kedai telah dibuka, tetapi tidak banyak pengunjung yang datang, kecuali rombongan kami yang belum puas membeli-belah.  Dalam kalangan lelaki, ada yang membeli +iPhone 5 yang ketika itu masih belum diedarkan di Malaysia.  Sejak beberapa hari, mereka berbincang untuk membeli telefon bimbit, dan akhirnya mereka menunaikan hajat mereka di sini.

Ketika tiba di deretan kedai, kelihatan seorang lelaki sedang bersiap untuk membaca buku.  Sambil berdiri di laluan pejalan kaki, dia mula membaca buku kuat-kuat, tetapi saya perhatikan dia tidak dipedulikan oleh orang yang lalu-lalang, yang dia harapkan menghulurkan sedekah.  Semasa isteri saya bersama-sama beberapa kaum ibu yang lain dalam kedai pakaian, saya  yang santai di luar memerhatikan lelaki itu. 

Sebenarnya, ini kali kedua saya melihat orang cuba mencari makan di jalanan.  Pertama, ketika di San Francisco. iaitu ketika saya dan anggota rombongan lain ingin menaiki bot untuk bersiar di laut di sekitar bandar itu.  Ketika itu dua orang, seorang lelaki dan seorang wanita secara berasingan mengadakan persembahan muzik, dengan beberapa orang yang lalu-lalang sudi meletakkan wang.

Selepas isteri saya keluar,  hanya membeli sehelai baju, saya mengajak dia beredar ke tepi pantai tempat kami berkumpul untuk ke restoran yang berdekatan untuk makan tengah hari.  Ketika tiba di Santa Monica, sebelum turun dari bas,  pemandu pelancong memberitahu bahawa kami akan berkumpul di pantai tempat kami tiba  pukul 11.45 pagi. 

Dalam perjalanan ke pantai, saya perhatikan beberapa orang tidur di tepi jalan, di kaki lima kedai.  Di bangku yang terletak di tepi pantai, kelihatan lelaki duduk bersama-sama beg pakain,  dengan mata terpejam rapat seolah-olah tidak mempedulikan apa-apa sahaja di keliling.  Kelihatan dua orang lelaki sedang meneliti peta.  Tiba-tiba salah seorang menghampiri saya ingin meminjam telefon bimbit.  Saya memberitahu dia yang di tangan saya ialah kamera dan bukannya telefon bimbit.  

Di Amerika Syarikat, akibat ekonomi yang lembap, kadar orang tiada tempat berteduh, dilaporkan masih tinggi, iaitu dianggarkan 633,782 orang untuk tempoh Januari 2011 hingga Januari 2012, berbanding 636,000 orang pada tahun sebelumnya.  Menurut banci yang dijalankan pada malam 25 Januari 2012, dilaporkan  264 orang tidur di atas jalan di Santa Monica, bertambah satu orang dari tahun lalu, dan 52 orang didapati tidur di dalam kereta atau perkhemahan, juga bertambah satu orang.  Santa Monica dikatakan selalu membantu orang tiada tempat berteduh, tidak seperti jirannya Los Angeles.


Hanya berjalan kaki, kami menuju ke Bubba Gump untuk makan tengah hari.  Oleh sebab kami tiba awal, maka kami perlu menunggu seketika.  Ada yang ke tepi laut, dan ada yang berlegar-legar di sekitar.  Semasa makan, saya perhatikan banyak juga pengunjung, yang pastinya berbeza dengan apa yang saya lihat sebentar tadi: orang tiada tempat berteduh.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...