Artikel Popular

Sunday, May 6, 2012

Paul Krugman, Ahli Ekonomi "Kaki Lawan"

AHAD, 6 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Bagi sesiapa yang mengikuti Paul Krugman, penerima Hadiah Nobel Ekonomi, baik melalui kolumnya dalam The New York Times mahupun di tempat-tempat lain, pastinya dapat merasakan  isi hati beliau.   Topik perbincangan ahli ekonomi ini memang luas, merangkumi krisis ekonomi, kemelesetan, rangsangan ekonomi, pemulihan ekonomi,  pengangguran, krisis zon euro, defisit belanjawan jimat-cermat, ketidaksamaan pendapatan,  Pentadbiran Obama, dan Republikan, sering kali berbaur dengan nada berang.   

Dalam wawancara dengan majalah Playboy, Krugman pernah mencadangkan supaya  "orang yang menyebabkan berlaku krisis kewangan disumbatkan ke dalam penjara."  Namun, kemarahan beliau  bukannya berdasarkan emosi dan sentimen, sebaliknya berdasarkan rasional dan kebijakan beliau. "Paul Krugman agung," tegas Megan McArdle dalam The AtlanticKrugman yang menemui politik menyedari bahawa beliau keseorangan.

Krugman pernah melanyak David Brooks yang juga kolumnis The New York Times yang mempertahankan rancangan belanjawan Paul Ryan daripada Republikan.  Walau bagaimanapun, Krugman tidak keseorangan dalam mengkritik belanjawan itu kerana Ryan didapati mengkhianati pandangannya sendiri tentang ketidaksamaan pendapatan.   Krugman juga menggasak Ron Paul, seorang calon Presiden daripada Republikan:  "Anda hidup di dunia yang  150 tahun lalu." Dalam reaksinya, Paul mengingatkan Krugman bahawa "inflasi ialah pencurian."

Yang jelas, Krugman gemar berlawan, dan bahkan pernah dianggap,  "Paul Krugman lawan dunia." Beliau juga terlibat dalam pertelagahan yang berpanjangan dengan Niall Ferguson, sejarawan neokonservatif dari Harvard University hampir  dua tahun lalu. Sebelum ini,    Justin Wolfers mengingatkan kedua-dua ahli akademik itu, "biarkan data berbicara" dan mencadangkan kedua-duanya berdebat secara beradab. Pada Januari tahun lalu, Krugman lawan Ferguson dianggap sebagai   "rangsangan lawan jimat-cermat." 

Baru-baru ini, Paul Krugman berlawan dengan Ben Bernanke, Pengerusi Rizab Persekutuan,  yang mendapat ulasan Ezra Klein dalam blog The Washington Post. Krugman yang menulis dalam kolumnya mengkritik Bernanke yang dianggap sebagai "wira" oleh The Atlantic keluaran April,  sangat berbeza antara apa yang Profesor Bernanke perjuangkan  dengan Pengerusi Bernanke sebenarnya lakukan.  Krugman menyalahkan isu ekonomi negara yang berterusan terhadap kegagalan Bernanke untuk mengambil tindakan yang beliau dijangkakan akan mengambil tindakan, seperti membeli bahagian besar hutang kerajaan. Ketika muncul dalam program ABC, Krugman sekali lagi  menggasak Bernanke yang beliau dakwa "diasimilasikan oleh borg" dan sepatutnya berusaha lebih banyak untuk menangani pengangguran yang tinggi.

Dalam buku terbaharunya, End This Depression Now!, beliau menegaskan hanya perkara yang memanjangkan krisis kewangan ialah ketakutan kita untuk mengambil tindakan yang muktamad. Dalam wawancara dengan Ezra Klein, Krugman berbicara, sama ada Bernanke sebenarnya mampu menamatkan kemelesetan ini, prospek Mitt Romney dapat  menjadi Keynesian kamar kecil, dan apakah yang bimbang dalam masa 10 tahun. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...