Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Kawasan zon euro yang terdiri daripada 17 buah negara hampir kehilangan sebuah negara anggotanya. Demikian ramalan lebih 50 peratus daripada 1253 pelabur bahawa sebuah negara bertindak keluar pada tahun ini kerana kebuntuan pilihan raya Greece mengancam mendesak krisis hutang dalam keterukan baru, menurut Bloomberg Global Poll.
Kemungkinan Greece meninggalkan zon euro semakin jelas dan nyata, manakala krisis euro semakin dalam. Silap perhitungan, euro berkemungkinan runtuh. Bahkan, Berlin dikatakan tidak dapat menyelamatkan euro jika dan apabila Greece meninggalkan mata wang tunggal itu.
Sementara itu, para pegawai euro mula mempertimbangkan Greece keluar euro lemah. Bahkan, lima langkah sukar bagaimana negara itu dapat meninggalkan zon euro telah disediakan. Pasaran dilaporkan lintang-pukang berikutan ketakutan bahawa Greece meningalkan zon mata wang bersama itu.
Walau bagaimanapun, Canselor Jerman, Angela Merkel, yang partinya, Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) yang mencapai prestasi buruk dalam pilihan raya negeri, seperti lazim, mendayu-dayu memujuk Greece supaya kekal dalam Kesatuan Eropah: "Greece sentiasa anggota Kesatuan Eropah dan lebih baik dalam kekal dalam euro." Akan tetapi, Merkel juga hilang kesabarannya akan tindak-tanduk Athens itu, lalu mengeluarkan kata dua: "Greece perlu menyokong pemotongan perbelanjaan atau berhadapan keluar daripada euro." Semakin dihantui oleh negara itu akan keluar, beliau mengingatkan "solidariti euro" terancam oleh krisis yang berlaku di Athens. Sementara Menteri Kewangan Jerman, Wolfgang Schaeuble, mencabar Greece agar meningalkan euro. Bagi beliau, kawasan euro dapat menangani pemergian Greece kerana "risiko jangkitan untuk negara lain dalam zon euro dikurangkan."
Memandangkan kebuntuan politik yang berlaku di Greece sekarang, maka Der Spiegel mengambil pendirian yang tegas bahawa Athens "mesti meningalkan euro sekarang." Selepas pilihan raya minggu lalu, negara itu terus terumbang-ambing kerana kegagalan membentuk kerajaan.
Namun, tinjauan pendapat menunjukkan bahawa 70 peratus rakyat Greece mahu kekal dalam zon euro. Hanya parti kiri dan kanan melampau mahu negara itu keluar daripada zon euro. Bahkan, diperingatkan bahawa tindakan keluar akan membawa akibat yang teruk terhadap Greece. Bahkan, Eropah diperhatikan memerlukan Greece.
Apakah drama panjang "tragedi Greece" - memetik Arianna Huffington yang menulis dalam The New York Times, - akan berakhir? Pastinya, pengakhiran itu berlaku apabila Greece meninggalkan zon euro.
Setelah menerima dua pelan penyelamat yang bernilai kira-kira 260 bilion euro untuk mengelakkan Greece daripada mungkir, dan oleh itu, menyelamatkan bank-bank pemiutang, dan bukannya menyelesaikan masalah ekonomi sebenar, iaitu kemelesetan dan kadar pengangguran yang tinggi, kini jalan keluar untuk Greece terbentang luas. Setelah dua tahun bergelut dengan krisis hutang, akhirnya ditemui jawapan yang jelas.
Krisis politik menjadi perang keazaman memungkinkan Greece meninggalkan zon mata wang bersama. Dan para pemimpin Eropah bersedia menerima hakikat ini, demikian juga dunia bahawa negara itu sedang bersiap sedia untuk keluar.
Athens begitu yakin bahawa Greece tidak menanggung apa-apa kerugian jika negara itu bertindak meninggalkan zon euro, sebaliknya Eropah dan pada takat tertentu, dunia yang menanggung padah. Memang Greece tidak ada apa-apa lagi untuk dirugikan: aset negara terpaksa diswastakan, kedaulatan dan demokrasi tergadai. Bahkan, tidak ada apa-apa lagi yang perlu dipotong lagi kerana atas desakan, troika, iaitu Kesatuan Eropah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan Bank Pusat Eropah (ECB), Greece terpaksa melakukan jimat-cermat yang keras sehingga membangkitkan kemarahan rakyat yang diterjemahkan dalam pilihan raya baru-baru ini.
"Jika Greece pergi," hujah A.P. dalam The Economist, "kacau-bilau bukan hanya terhadap Greece sendiri, tetapi juga mengundang persoalan tentang status Portugal, Ireland, dan negara lain." Sementara Eropah terpaksa membayar harga yang tinggi akibat kegagalan para penggubal dasar itu menangani krisis hutang zon euro. "Krisis euro memasuki tahap akhir," tulis Roger Bootle. "Kesakitan ekonomi kini berinteraksi dengan penentangan politik untuk mencetuskan tekanan kewangan yang sangat kuat. Saya menjangkakan Greece akan meninggalkan euro, dan mungkin pada masa terdekat."
Sememangnya, tidak memeranjatkan jika Greece mengucapkan "selamat tinggal" kepada zon euro kerana itulah antara cadangan yang dikemukakan sebaik-baik sahaja negara itu terjebak dalam krisis hutang. Keterikatannya pada mata wang bersama itu menyebabkan negara itu tidak mempunyai pilihan untuk menurunkan nilai mata wang supaya eksportnya berdaya saing.
Greece juga dicadangkan mengikuti jejak Argentina, iaitu mungkir terhadap hutang yang ditanggung. Alasannya, negara Amerika Latin itu selepas jatuh muflis, ekonominya bangkit semula, malahan baru-baru ini, berani menempelak kapitalisme yang mengamuk dengan memiliknegarakan syarikat minyak dan gas.

No comments:
Post a Comment