Artikel Popular

Monday, May 14, 2012

Ratu Gila Demo

ISNIN, 14 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Jika di Gujarat wujud manusia bekas Ketua Menteri dan  bakal Perdana Menteri India, yang di dunia Barat, dia tidak lebih sebagai paria, dituduh pernah terlibat dalam pembunuhan orang Islam di negeri itu kira-kira 10 tahun lalu, di negeri Bengal Barat, juga di India, wujud Ketua Menteri yang dianggap "ratu gila demo." 

Tersenarai dalam "The 100 Most Influential People in the World,"  Mamata Banerjee tampil tahun lalu apabila beliau dan gerakan yang beliau bina daripada akar umbi menguasai negeri itu, menamatkan tiga setengah dekad pemerintahan komunis yang skelorosis.  Mamata berjuang  bertahun-tahun di pinggiran melalui Parti Kongres Trinamool, gerombolan yang resah berbanding dengan leviathan komunis Bengal Barat.  

Beliau digelar para penyokongnya Didi atau "kakak," yang selepas memenangi pilihan raya, secara mantap mengembangkan asas kuasanya dengan menyingkirkan musuhnya. Latar belakang kelas menengah bawahannya bukannya halangan di negara yang terkenal dengan dinasti. Beliau dianggap sebagai pelindung petani dan pekedai daripada rempuhan globalisasi, tetapi membimbing Bengal Barat ke arah tempat yang betul sebagai nadi ekonomi dan budaya dan pintu masuk India ke Asia Tenggara. 

Akan tetapi, selepas beberapa tindakan tidak menentu, termasuk menahan ahli akademik yang menghantar e-mel bergurau kepada kawan-kawannya tentang diri Mamata, pengkritik  melihat  beliau  sebagai  autokrat dalam pembikinan.  Majalah bulanan, India Today menggelar beliau "ratu gila demo."  Telatah beliau yang diejek secara berleluasa dan kekecewaan terhadap pentadbirannya di Bengal Barat boleh menamatkan segera bulan madu beliau dengan para pengundi.

Pengajaran yang diperoleh daripada apa yang berlaku terhadap Mamata Banerjee: jangan asyik membantah kerana suatu masa kelak anda mungkin memerintah.  Seseorang mampu menggembleng orang ramai untuk turun di jalanan untuk mengadakan demonstrasi, tetapi bagaimana pula jika anda memerintah? Sesungguhnya, membantah lebih mudah daripada memerintah. Jika anda  hanya tahu membantah, tetapi tidak tahu memerintah apabila berkuasa, maka anda, seperti Mamata digelar, "ratu gila demo."


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...