Artikel Popular

Sunday, May 6, 2012

Hujung Minggu yang Resah untuk Angela Merkel

AHAD,  6 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Pada hari ini, lima buah negara Eropah, iaitu Perancis, Greece, Jerman, Italy, dan Serbia mengadakan pilihan raya yang keputusannya membawa makna yang cukup penting untuk benua yang kesusahan itu.  Pilihan raya tempatan Italy yang melibatkan  900 buah bandar dianggap mewakili ujian pertama terhadap  langkah jimat-cermat Perdana Menteri Mario Monti. Pilihan raya Perancis dan Greece   pastinya  mendapat  perhatian dunia.  


Untuk Pilihan Raya Presiden Perancis, keputusan  dijangkakan bahawa  Presiden Nicolas Sarkozy akan tewas di tangan calon  Sosialis, Francois Hollande, meskipun beliau semakin merapatkan jarak.  Hanya sesuatu yang amat luar biasa berlaku,  menurut The Economist, kedudukan Hollande  terus  terjamin.  Penjawat kini itu bukan sahaja, seperti yang diperhatikan, pasti tumbang, tetapi juga pada saat genting ini   terpaksa "bertempur" dengan media yang memihak kepada lawannya.  Selain itu, Sarkozy   gagal mengambil kesempatan untuk  "memukul jatuh" Hollande dalam debat presiden, meskipun  lawannya juga tidak  menyerlahkan  dalam debat itu.  

Luka Sarkozy bertambah parah apabila Marine Le Pen daripada Barisan Nasional yang memperoleh 18 peratus  undi dalam pusingan pertama, memutuskan bahawa beliau tidak menyokong mana-mana calon presiden itu. Dengan memperoleh jumlah undi yang agak besar itu, parti kanan jauh Le Pen membuat kejutan yang besar, antaranya  kerana faktor ekonomi dan budaya cuba didekati oleh Sarkozy. Namun, harapan beliau  untuk meraih sokongan yang sangat diharap-harapkan akhirnya berkecai.  


Tiga  pilihan raya,  iaitu Perancis dan Greece, dan satu di negara sendiri, menurut Spiegel Online International, "meletakkan Canselor Angela Merkel dalam hujung minggu yang tidak selesa."  Pilihan raya di Perancis dan Greece boleh memusnahkan strategi beliau untuk menyelesaikan krisis euro jika para pengundi menolak calon projimat-cermat, manakala pilihan raya negeri di Jerman mungkin melemahkan konservatif beliau dari segi domestik. 


Parti Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) Angela Merkel menghadapi ujian genting di satu daripada dua pilihan raya negeri pada hari ini, yang akan  menentukan ketahanan kerajaan beliau dan peluang parti itu untuk dipilih semula.  Di negeri Schleswig-Holstein yang terletak di utara Jerman, kerajaan Pakatan semasa  CDU  dengan Parti Demokratik Bebas (FDP) yang properniagaan dijangkakan runtuh, manakala di Perancis, sekutu penting beliau di zon euro, iaitu Nicolas Sarkozy dikhuatiri tidak dapat mempertahankan kuasa dalam pusingan kedua.  Pada masa yang sama, Greece diancam yang menjurus kepada ketidakstabilan berikutan pilihan raya parlimennya.


Pilihan raya Eropah menyaksikan janji palsu populisme, tulis Jan-Werner Mueller dalam The  Guardian, "parti-parti daripada kanan jauh dan kiri menagih undi di Perancis dan Greece." Sementara di Greece, kemungkinan kumpulan neo-Nazi memperoleh kesahan politik kerana para pengundi menolak parti  arus perdana sebagai tanda protes mereka.    Di negara itu,  menurut Michael Birnbaum yang menulis dalam The Washington Post, parti-parti pinggiran memperoleh sokongan. Tambah beliau, para pengundi negara-negara  lain di Eropah juga beralih kepada parti-parti pinggiran dalam usaha mencari alternatif kepada dasar dipacu jimat-cermat yang menyakitkan yang merupakan respons dominan terhadap kesusahan ekonomi Eropah, seperti yang berlaku di Perancis dan Belanda. 

Untuk benua itu, seperti yang difikirkan keseluruhan, hujah Maria Margaronis dalam The Nation, mungkin hakikat yang paling penting tentang pilihan raya Greece adalah bahawa hampir semua calon melihat sokongan terhadap jimat-cermat sebagai bunuh diri politik. "Sebagaimana di tempat lain (Perancis, Belanda, Italy, Finland, bahkan Britain), kem antijimat-cermat termasuk kanan jauh nasionalis."

Heather Horn yang muncul dalam The Atlantic menyalahkan Jerman berikutan  trend politik  Eropah baru kerana memperkenalkan rancangan jimat-cermat dan had hutang yang keras sehingga mencetuskan kemarahan di seluruh benua itu.  Kekuatan ekonomi Jerman sebahagiannya adalah kerana kelemahan ekonomi negara jirannya

Justeru, tidak memeranjatkan jika para pengundi di Eropah menggunakan peti undi memperlihatkan kemarahan mereka terhadap mana-mana calon yang bersekongkol dengan Berlin.  Pastinya, Angela Merkel menempuh malam yang cukup panjang bersama-sama Nicolas Sarkozy. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...