Artikel Popular

Wednesday, May 16, 2012

Jerman Bantu Zon Euro Elak Kemelesetan

RABU,  16 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tatkala krisis zon euro masih berpanjangan dan jalan penyelesaiannya kian sukar, Greece yang menempuh kelumpuhan ekonomi dan kebuntuan politik, terpaksa mengadakan satu lagi pilihan raya,  dan Canselor Angela Merkel dan Francois Hollande  mencari kesepakatan, Jerman dilaporkan membantu  zon euro mengelak daripada kemelesetan. 


Prestasi eksport yang kuat daripada Jerman membantu ekonomi 17 buah negara yang menggunakan euro daripada nyaris-nyaris terjebak dalam kemelesetan pada suku pertama tahun ini.  Eurostat, pejabat perangkaan Kesatuan Eropah, melaporkan bahawa ekonomi zon euro adalah datar apabila dibandingkan dengan suku tahun sebelumnya, meskipun sesetengah negara anggota dalam blok mata wang tunggal mencapai pertumbuhan yang lebih baik daripada negara anggota yang lain. 


Carta harian The Economist yang turut memetik laporan itu menyatakan bahawa sedikit berita baik, iaitu data lebih baik daripada yang dijangkakan untuk sesetengah negara, terutamanya Jerman.  Ekonomi negara itu mengatasi jangkaan dengan mampu untuk tumbuh sebanyak 0.5 peratus pada suku pertama tahun ini.  Secara keseluruhan, kawasan euro mencatatkan pertumbuhan yang lembap, dan tanpa Jerman, ekonomi zon mata wang bersama itu merosot sebanyak 0.2 peratus.


Jerman mewakili kira-kira 28 peratus output kawasan euro, tetapi sumbangannya kepada pertumbuhan kawasan itu meningkat dengan  ketara sejak tahun 2004.  Jerman juga bertanggungjawab untuk 65 peratus pertumbuhan output kawasan itu secara purata sejak tahun 2007.   Sementara negara pinggir kawasan euro, iaitu Portugal, Ireland, Italy, Greece, dan Sepanyol menyaksikan sumbangan mereka merosot daripada purata prakrisis 45 peratus kepada berlarutan 10 peratus sejak 2007. 





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...