Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Paul Krugman yang baru sahaja menerbitkan bukunya, End This Depression Now! sentiasa mengkritik langkah jimat-cermat yang dijangkakan berakhir, sekurang-kurangnya di zon euro. Bagi Penerima Hadiah Nobel Ekonomi ini, jimat-cermat amat silap, seperti yang dapat melalui tulisan beliau dalam The Daily Beast pada awal bulan ini.
Memetik John Maynard Keynes supaya kerajaan tidak bimbang akan defisit jangka panjang ketika kemerosotan ekonomi, Krugman menulis dalam The New York Review of Books, bagaimana menamatkan kemelesetan yang berlaku sekarang. Merujuk hujah beliau sendiri dalam buku terbaharunya bahawa inilah masanya untuk kerajaan berbelanja lebih banyak sehingga sektor swasta bersedia untuk memacu pertumbuhan ekonomi semula.
Meskipun Krugman sentiasa mengemukakan cadangan untuk memulihkan ekonomi dan seterusnya memacu pertumbuhan dengan mengetepikan jimat-cermat, beliau juga menjadi sasaran kritikan, misalnya oleh Zachary Karabell, berhubung dengan pengangguran di Amerika Syarikat yang kini masih tinggi, iaitu 8.1 peratus. Hujah Krugman bahawa masalah pengangguran adalah sebahagian kitaran kronik dan memerlukan tindakan kerajaan dan menolak punca struktur, hujah Karabell, adalah tidak bijak.
Kritikan seterusnya terhadap Krugman datangnya daripada Gordon G. Chang yang menulis dalam Forbes berhubung dengan rangsangan. Krugman dikatakan sekali lagi menggesa Pentadbiran Obama memperkenalkan rangsangan sebanyak AS$300 bilion setahun sebagai tambahan. Dalam menyanggah gesaan itu, Chang meminta Krugman bertanya kepada China adakah rangsangan itu merupakan idea yang bagus. Negara itu, sebagaimana banyak negara lain, termasuk Malaysia, mengumumkan rangsangan pada November 2008 di tengah-tengah kegawatan global.
Pada tahun 2009, genap setahun program pengembangannya, kerajaan China mengepam kira-kira AS$1.1 trilion rangsangan ke dalam ekonominya yang ketika itu bernilai AS$4.6 trilion. Kesannya, pasaran saham yang diukur oleh Komposit Shanghai meningkat 80.0 peratus pada tahun 2009, demikian pasaran harta di seluruh China. Pada tahun itu juga, ekonomi China berkembang 9.2 peratus.
Zaman melambung berterusan kerana terus berbelanja pada tahun berikutnya. Pada tahun 2010, pertumbuhannya ialah 10.4 peratus dan 9.2 peratus pada tahun lalu.
Namun, hujah Chang, mulai tahun ini. ekonomi China merosot, iaitu menguncup pada Januari dan pada Apri, paling baik, adalah sifar. Selain itu, Beijing belum lagi membenarkan perbelanjaan langsung yang signifikan oleh kementerian kerajaan pusat. Alasannya, hujah beliau, mungkin ekonomi China kini, menanggung beban hutang.
Mungkin yang menimbulkan tanda tanya mengapa Chang memilih Krugman sasaran kritikannya, kerana Ben Bernanke, Pengerusi Rizab Persekutuan juga bersiap sedia dengan rangsangan yang baru sekiranya keadaan memerlukan. Mesyuarat G-8 di Camp David baru-baru ini dicadangkan mengambil pengajaran daripada rangsangan berbanding dengan jimat-cermat.
Perlu juga diakui bahawa sekiranya pakej rangsangan tidak dilaksanakan oleh banyak negara pada tahun 2009 ketika dunia terjebak dalam kemelesetan, nescaya dunia belum lagi dapat keluar daripada kemelesetan ini. Dalam kalangan yang menentang rangsangan, antara hujah mereka ialah "pasaran akan mencapai keseimbangan sendiri dalam jangka panjang," dan dengan itu, campur tangan kerajaan tidak diperlukan. Namun, seperti yang pernah dihujah oleh Keynes yang dipetik secara meluas, "dalam jangka panjang, kita semua mati."
No comments:
Post a Comment