Artikel Popular

Monday, May 21, 2012

Cameron, "Laksanakan Jimat-cermat atau Keluar dari Zon Euro"

ISNIN, 21 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Perdana Menteri British, David Cameron, asyik  memperlihatkan keberangannya terhadap zon euro dan Greece seolah-olahnya beliau seorang yang "lebih tahu." Tindak-tanduk beliau sejak akhir-akhir ini mungkin  tidak ada kena mengena dengan kekalahan Parti Konvervatif beliau dalam pilihan raya tempatan baru-baru ini, dan para pengundi semakin tidak berpuas hati dengan prestasi beliau.  Tidak juga kerana wanita "kesayangannya," Rebekah Brooks diseret ke muka pengadilan

Namun, dalam keghairahan beliau mengajar negara lain, mungkin banyak orang beranggapan bahawa negara beliau sendiri pun "dua kali lima" kerana kini terjebak dalam kemelesetan curam berganda.  Data terbaharu menunjukkan kejatuhan yang ketara dalam perbelanjaan pengguna yang mencetuskan ketakutan terhadap pemulihan United Kingdom

Ketika menyampaikan ucapan di Chicago selepas menghadiri mesyuarat G-8 dengan para pemimpin dunia tentang krisis euro, berkata:  "Kita kini perlu menghantar mesej yang sangat jelas kepada rakyat di Greece bahawa wujud pilihan, iaitu sama ada anda  kekal dalam zon euro  dengan semua komitmen yang anda janjikan, ataupun anda mengundi cara lain bahawa anda secara berkesan mengundi  untuk meninggalkan zon euro."  

Beliau juga dilaporkan berkata bahawa para pemimpin zon euro mesti bersedia sekarang untuk, sama ada hasil dan sedia untuk  akibat pilihan raya Greece pada 17 Jun ini. Beliau memberitahu Greece, "laksanakan jimat-cermat atau keluar dari zon euro."  Gesaan beliau Greece supaya melaksanakan jimat-cermat,  bercanggah dengan pendirian para pemimpin G-8: dasar pertumbuhan ekonomi. Juga dengan menggesa Greece keluar dari zon yang dianggotai oleh 17 buah negara itu,  bercanggah dengan pendirian G-8 yang  berusaha mengekalkan negara itu kekal dalam zon tersebut.

Seperti yang diketahui, Britain tidak menganggotai zon euro, maka  mengapa David Cameron beria-ria mempertahankan mata wang tunggal itu.  Memang disedari bahawa, sama ada Greece kekal ataupun keluar, malapetaka tetap berlaku,  dan Eropah perlu bersedia untuk menghadapi realiti yang huduh   jika Greece keluar. Namun dari sudut yang,  seperti yang dihujahkan oleh Roger Bootle,  "tolak euro, sekarang!" dengan melihat kepentingan negaranya, iaitu Britain sendiri. Memang wujud pertalian antar jima-cermat dengan euro, seperti yang dibahaskan oleh Peter Boone dan Simon Johnson dalam Bloomberg, "jika jimat-cermat Eropah berakhir, demikian juga dengan euro."

Perlu dinyatakan bahwa  jimat-cermat yang dilaksanakan di Eropah dan Amerika Syarikat, menurut Paul Krugman, "eksprimen kemanusiaan yang tidak beretika secara berleluasa."  Sesuatu yang tidak wajar dipertahankan dan dilaksanakan. 

Kata dua seperti itu menimbulkan kebimbangan kemungkinan rakyat Greece bertindak balas melalui peti undi dengan  memilih parti yang menentang langkah jimat-cermat, iaitu Syriza pimpinan Alexis Tsipras.  Jika mereka mengundi untuk "ekstremis yang aneh," nescaya malapetaka akan berlaku.  Sebenarnya Greece merupakan pertaruhan yang besar, tetapi  bukan untuk negara itu sendiri, tetapi untuk zon euro dan Eropah keseluruhan.  

Rakyat Greece tidak ada apa-apa lagi yang akan hilang kerana mereka sudah kehilangan segala-galanya sejak dua tahun lalu: pekerjaan, harta, maruah, kedaulatan. Mungkin bagi mereka,   eloklah negara lain di benua turut menanggung kesengsaraan. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...